HARI KE-6 PAGI
📖 Masa membaca: 129 minit
📊 Bilangan kata: 26,606 kata
17HB MAC 2026 PAGI
(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)
Yang Mulia Jurutulis
Bismillahir Rahmanir Rahim. Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari keenam pada hari ini, Selasa, 27 Ramadan 1447 bersamaan 17 Mac 2026 dan didahului dengan Doa Selamat.
DOA SELAMAT
(Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustafa bin Haji Murat, Imam Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warrahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, kita dapat bersama-sama berkumpul lagi pada pagi ini untuk bersidang bagi hari keenam dalam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara.
Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Sayyidina Muhammad Sallahu’alaihi Wassalam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita akan memulakan hari ini dengan urusan seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis
Waktu Pertanyaan bagi Jawab Lisan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita sekarang beralih kepada Waktu Pertanyaan. Sebagaimana lazimnya waktu ini akan dihadkan pada satu jam dan Yang Berhormat Menteri diberikan masa sepuluh minit bagi menjawab setiap pertanyaan.
Dihadapan kita sekarang terdapat senarai pertanyaan yang dikemukakan. Saya mulakan dengan soalan pertama iaitu soalan yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Silakan.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola memohon izin untuk menjawab sekali gus soalan nombor 1 iaitu PL009 dan soalan nombor 2 iaitu PL112 memandangkan isu yang dibangkitkan adalah berkait rapat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Jadi soalan pertama dan soalan kedua.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
Kaola Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan kedua ialah soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim. Silakan.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Kaola terlebih dahulu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim dan Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam atas soalan-soalan yang diajukan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Bagi memastikan tidak berlakunya penyalahgunaan penindasan atau ekploitasi tenaga kerja di sektor swasta, Jabatan Buruh telah dan akan terus melaksanakan beberapa mekanisme, pengawalseliaan serta penguatkuasaan secara berterusan seperti berikut:
Pertama, melalui pelaksanaan National Labour Management System iaitu NLMS yang mula digunakan pada 4 April 2023 dimana sistem ini membolehkan proses permohonan lesen pengambilan pekerja asing atau LPA dilaksanakan secara dalam talian bagi menggantikan kaedah manual yang sebelum ini dikeluarkan secara fizikal. Pelaksanaan sistem ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan permohonan malah turut membolehkan perkongsian data dilaksanakan secara lebih berkesan bersama agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan termasuk Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan bagi tujuan pengeluaran visa. Melalui perkongsian data ini sebarang kemungkinan penyalahgunaan LPA dapat dikenal pasti dan dicegah lebih awal di samping membolehkan semakan terhadap pekerja yang tersenarai dalam pangkalan data dilaksanakan dengan lebih berkesan;
Kedua, dari segi perlindungan undang-undang kepada pekerja di bawah Bab 10 - Akta Pekerjaan Penggal 278, setiap majikan hendaklah mentandatangani kontrak perkhidmatan iaitu Employment Contract antara majikan dan pekerja. Kontrak ini mengandungi terma-terma asas pekerjaan termasuk butiran pekerjaan seperti nama majikan, nama pekerja, jawatan, tempat pekerja, tarikh mula bekerja, kadar gaji, bayaran kerja lebih masa, waktu bekerja dan rehat, kelayakan cuti, notis penamatan kontrak perkhidmatan serta aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Keperluan ini bertujuan untuk memastikan hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak dinyatakan dengan jelas bagi mengelakkan sebarang bentuk eksploitasi atau salah guna kuasa oleh majikan.
Berdasarkan perangkaan daripada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Buruh, jumlah kesalahan berkaitan kontrak perkhidmatan menunjukkan peningkatan daripada 34 kes pada tahun 2023 kepada 44 kes pada tahun 2024 dan seterusnya meningkat kepada 64 kes pada tahun 2025. Kesalahan ini antara lain melibatkan kegagalan majikan menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis serta penyediaan terma kontrak yang menyalahi undang-undang yang mana kutipan kompaun adalah sebanyak BND85,200.00 telah dikutip. Mana-mana majikan yang didapati gagal menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis boleh dikenakan kompaun tidak melebihi BND1,000.00 dan sekiranya kompaun tidak dijelaskan, majikan boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi BND3,000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.
Jabatan Buruh juga melaksanakan pemeriksaan premis-premis sama ada melalui operasi sendiri atau operasi sepadu bersama agensi penguatkuasaan yang lain seperti Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan. Dalam tempoh tahun 2023 hingga tahun 2025, sejumlah 3,463 premis telah diperiksa. Kesalahan yang dikesan meningkat daripada 348 kes pada tahun 2023 kepada 450 kes 2025. Tiga kesalahan tertinggi yang dikenal pasti pada tahun 2025 adalah seperti berikut:
Pertama, 344 kesalahan di bawah Bab 112 (2) – Akta Pekerjaan Penggal 278 iaitu menggaji pekerja asing tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh atau menggunakan LPA yang telah mansuh serta melanggar syarat-syarat lesen;
Yang kedua, 100 kesalahan di bawah Bab 86 – Akta Pekerjaan Penggal 278 iaitu gagal mendapatkan kebenaran tempat pekerjaan-pekerjaan buruh serta gagal membuat penyusunan semula penempatan pekerja buruh tambahan;
Ketiga, 85 kesalahan di bawah Bab 70 – Akta Pekerjaan Penggal 278 iaitu kegagalan majikan memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan. Daripada jumlah kesalahan ini sebanyak 529 kompaun telah dikeluarkan dengan nilai keseluruhan BND228,600.00.
Dari segi tindakan pendakwaan pada tahun 2024, dua individu telah disabitkan kesalahan kerana menjalankan kegiatan agensi pekerjaan tanpa lesen manakala pada tahun 2025, tiga majikan telah didakwa kerana gagal membayar gaji pekerja.
Empat individu telah didakwa di bawah Perintah Agensi Pekerjaan 2004 atas kesalahan menjalankan kegiatan agensi pekerjaan tanpa lesen dan tiga pemilik lesen agensi pekerjaan telah didakwa kerana meminjam lesen kepada pihak lain. Berikutan kesalahan tersebut majikan yang didapati gagal membayar gaji pekerja telah diarahkan untuk membaik jelaskan bayaran gaji yang tertunggak kepada pekerja berkenaan.
Selain itu, Jabatan Buruh juga telah membatalkan lesen agensi pekerjaan, mengarahkan individu iaitu freelancer untuk pulang ke negara asal manakala individu freelancer pekerja tempatan dikenakan denda oleh mahkamah. Jabatan Buruh juga menyediakan pelbagai saluran bagi pekerja dan orang ramai untuk membuat aduan termasuk melalui kaunter Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, emel rasmi Jabatan Buruh iaitu LED@buruh.gov.bn atau info.buruh@buruh.gov.bn atau melalui platform aplikasi WhatsApp di talian (673) 729 8989.
Perangkaan menunjukkan bahawa pada Tahun Kewangan 2024/2025 sebanyak 165 aduan telah diterima dan kesemuanya berjaya diselesaikan. Manakala pada Tahun Kewangan 2025/2026 sebanyak 175 aduan telah diterima dengan 153 daripadanya telah diselesaikan manakala selebihnya masih dalam proses penyiasatan dan tindakan. Aduan-aduan ini kebanyakannya melibatkan kelewatan pembayaran gaji, kegagalan majikan menghantar pulang pekerja selepas tamat kontrak serta pemotongan gaji tanpa kebenaran Pesuruhjaya Buruh. Mekanisme aduan ini memainkan peranan penting dalam menyokong operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta memperkukuh pencegahan kesalahan perburuhan.
Di peringkat antarabangsa pula, dua memorandum persefahaman iaitu MOU telah ditandatangani iaitu bersama Republik Demokratik Timor Leste pada 06 November 2023 dan bersama Republik Rakyat Bangladesh pada 16 Oktober 2022. Kerjasama ini juga mewujudkan mekanisme yang lebih berkesan bagi mengawal selia pengambilan pekerja serta memastikan hak dan kewajiban pekerja dan majikan dilaksanakan selaras dengan undang-undang Negara Brunei Darussalam.
Sebagai makluman, jumlah syarikat yang memohon pekerja dari Bangladesh meningkat daripada 115 syarikat pada tahun 2024 kepada 637 syarikat pada tahun 2025 dengan jumlah pekerja yang dibenarkan meningkat daripada 473 kepada 1929 orang manakala bagi Timor Leste setakat ini 3 syarikat yang memohon dengan 3 pekerja telah dibenarkan pada tahun 2024.
Seterusnya, antara langkah yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan bagi memastikan pengawalan bilangan pekerja asing dilaksanakan secara teratur iaitu melalui Immigration and National Registration System. Sistem ini merupakan sistem pengurusan utama Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dalam menguruskan data serta pergerakan warga asing di Negara Brunei Darussalam.
Melalui sistem IMS maklumat disimpan dalam satu pangkalan data melalui proses pendaftaran kad pengenalan yang berfungsi sebagai People Hub dan membolehkan agensi kerajaan berkenaan mengakses maklumat mengikut keperluan masing-masing. Pangkalan data ini turut menyokong pelaksanaan projek BruneiID iaitu digital ID iaitu platform identiti digital kebangsaan yang membolehkan pengesahan identiti pengguna serta akses yang selamat kepada perkhidmatan kerajaan secara dalam talian.
Selain itu, data pekerja asing daripada National Labour Management System di bawah Jabatan Buruh juga diintegrasikan ke sistem ini bagi memperkukuhkan pemantauan secara menyeluruh. Dalam tempoh 3 tahun kebelakangan, sebanyak 862 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan melibatkan pemeriksaan ke atas 1101 lokasi termasuk kawasan hotspot, premis-premis perniagaan dan tempat tinggal pekerja asing. Hasil daripada operasi ini, 142 individu didakwa di mahkamah, 6,748 individu dikenakan kompaun dengan jumlah kutipan kompaun BND3.25 juta, 4,344 individu dipulangkan atau diusir ke negara asal.
Secara keseluruhannya, kerajaan akan terus memperkukuhkan tadbir urus pengurusan tenaga kerja melalui pendekatan yang bersepadu merangkumi pengukuhan sistem digital, penguatkuasaan undang-undang, kerjasama antara agensi serta kerjasama dua hala dengan negara-negara sumber pekerja.
Langkah-langkah ini bukan saja bertujuan memastikan penggajian pekerja asing dilaksanakan secara sah, teratur dan terkawal malah bagi menjamin pelindungan hak serta kebajikan pekerja disamping memastikan pasaran buruh negara sentiasa terpelihara sekian yang dapat kaola sampaikan bagi menjawab soalan Ahli-Ahli Yang Berhormat berkenaan, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Kaola terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin atas pertanyaan mengenai kejayaan skim-skim perantisan seperti SkiPPA, i-Ready serta skim-skim berkaitan.
Dalam perkara ini skim-skim perantisan yang dilaksanakan melalui Pusat Pekerjaan Brunei, PPB, Jabatan Perdana Menteri terus memainkan peranan penting sebagai platform peralihan yang efektif daripada alam pengajian ke alam pekerjaan. Secara khususnya skim ini menekankan pengalaman bekerja sebenar, pembangunan kemahiran teknikal serta kebolehpasaran graduan di samping memberikan pendedahan kepada persekitaran industri. Setiap program perantisan dirangka secara khusus untuk memenuhi keperluan pelbagai sektor termasuk sektor swasta, perkhidmatan awam serta bidang klinikal dan profesional.
Pada masa ini PPB sedang melaksanakan 3 skim perantisan utama iaitu Program Perantisan i-Ready, Skim Perantisan Perkhidmatan Awam, SkiPPA dan Clinical Supervisory Programme, CSP. Sehingga 31hb Disember 2025 seramai 11,588 orang perantis telah menyertai ketiga-tiga skim ini. Bagi program i-Ready yang diperkenalkan sejak tahun 2017 dan sentiasa dikemaskini mengikut keperluan pasaran kerja serta maklum balas perantis dan majikan.
Pelaksanaannya menunjukkan impak positif terhadap pembangunan tenaga kerja dan kebolehpasaran graduan. Daripada 9,167 orang lepasan perantis, seramai 6,458 orang iaitu 70 peratus telah berjaya memperolehi pekerjaan dengan 1,365 orang ditempatkan di sektor kerajaan dan 5,093 orang di sektor swasta. Ini menunjukkan bahawa pengalaman kerja dan pendedahan industri semasa tempoh perantisan secara signifikan meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan peserta.
Sementara itu, bagi program SkiPPA seramai 1,358 orang perantis telah menyertai skim ini sejak diperkenalkan pada Disember 2024. Sehingga 31 Disember 2025, daripada 115 orang perantis yang menarik diri lebih awal, seramai 82 orang iaitu 71 peratus berbuat demikian kerana telah menerima tawaran pekerjaan tetap di sektor kerajaan dan swasta. Selain itu, 526 orang perantis telah berjaya menamatkan tempoh perantisan selama 12 bulan baru-baru ini dan pemantauan susulan terhadap status pekerjaan mereka sedang giat dijalankan bagi menilai keberkesanan program secara menyeluruh. Menurut kajian kepuasan perantis SkiPPA yang dijalankan dari April hingga September 2025, 79 peratus daripada perantis berpuas hati dengan pengalaman perantisan secara keseluruhan.
Manakala 99 peratus menyatakan minat untuk berkhidmat di sektor kerajaan. Oleh itu, skim ini bukan sahaja menyediakan pendedahan kerja yang bermakna tetapi juga membantu membentuk aspirasi kerjaya yang lebih jelas dalam kalangan belia. Bagi Clinical Supervisory Programme, CSP pula ianya merupakan usaha sama dengan Kementerian Kesihatan sejak Oktober 2024, di mana seramai 45 perantis telah menyertai program dalam bidang Allied Health Professions dan farmasi. Setakat Disember 2025, seramai 30 perantis sedang aktif menjalankan program, manakala 15 perantis menarik diri daripada program. Daripada 15 perantis tersebut seramai 14 orang telah memperoleh pekerjaan tetap di sektor kerajaan dan swasta.
Ini jelas mencerminkan permintaan tinggi terhadap bidang tersebut. Selain menunjukkan keberkesanan pendekatan latihan berasaskan tempat kerja, work-based learning dalam memenuhi keperluan sektor kesihatan. Secara keseluruhan kadar pekerjaan bagi skim-skim berkenaan menunjukkan bahawa pendekatan perantisan berasaskan tempat kerja berkesan dalam meningkatkan kebolehpasaran belia.
Lebih daripada itu, skim perantisan bukan sahaja menyediakan pendedahan dan pengalaman kerja secara langsung tetapi juga berfungsi sebagai platform pembangunan kompetensi menyeluruh. Melalui latihan dan bimbingan berterusan perantis berpeluang meningkatkan kemahiran teknikal serta kemahiran insaniah yang diperlukan oleh majikan.
Oleh itu skim ini terbukti berperanan sebagai laluan efektif dan berdaya saing ke arah penempatan pekerjaan tetap sama ada dalam sektor kerajaan mahu pun sektor swasta. Bagi langkah berterusan, PPB dengan kerjasama Pejabat Perancangan Tenaga Manusia, JPM akan terus memperkukuh dan memantau keberkesanan program melalui sistem pemantauan hasil pekerjaan bagi merekod status lepasan perantis dan menganalisis kadar penyerapan.
Kajian kepuasan dan maklum balas perantis serta majikan bagi menilai kualiti pelaksanaan dan kesesuaian kemahiran dengan keperluan industri. Menambahbaikan dasar dan struktur program secara berkala termasuk penyelarasan tempoh perantisan, skop latihan dan penekanan terhadap kemahiran kebolehkerjaan, employability skill seperti komunikasi, disiplin kerja dan pemikiran kritikal. Penjajaran dengan keperluan industri dan agensi berkaitan bagi memastikan bidang latihan selaras dengan sektor yang mempunyai permintaan tenaga kerja tinggi dan penglibatan aktif majikan termasuk menggalakkan penyerapan perantis ke jawatan tetap selepas tamat perantisan.
Kesimpulannya, pendekatan ini memastikan skim-skim perantisan bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran dalam jangka pendek tetapi juga menyumbang kepada kestabilan pekerjaan dan pembangunan kerjaya jangka panjang belia tempatan. Langkah ini adalah selaras dengan aspirasi pembangunan tenaga kerja negara dan Wawasan Brunei 2035.
Sekian sahaja yang dapat kaola sampaikan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Seterusnya soalan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed yang ditujukan Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Alhamdulillah, terima kasih atas pertanyaan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed berhubung dengan perancangan bagi Penubuhan Pusat Pemulihan Komuniti atau sokongan penjagaan berterusan khususnya bagi pesakit strok, warga emas dan kes kronik bagi mengurangkan kebergantungan kepada rumah sakit serta memastikan kesinambungan penjagaan jangka panjang.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Negara kita sedang berdepan dengan perubahan demografi yang besar. Menjelang tahun 2050, hampir 29 peratus penduduk Brunei dijangka berumur 60 tahun ke atas. Penuaan penduduk ini memberi kesan bukan sahaja kepada sektor kesihatan tetapi juga kepada kebajikan, perumahan, tenaga kerja dan sokongan keluarga. Isu ini tidak boleh ditangani oleh Kementerian Kesihatan sahaja. Ia memerlukan pendekatan seluruh negara melibatkan kementerian dan agensi berkaitan, sektor swasta, NGO, komuniti dan keluarga. Di pihak kementerian usaha memperkukuh perkhidmatan geriatrik sedang dijalankan. Pada masa ini perkhidmatan geriatrik masih banyak tertumpu di hospital kerana kekangan tenaga kerja.
Namun perancangan sedang dibuat untuk mengembangkan sokongan ke komuniti. Salah satu inisiatif ialah Projek Step-Down di Daerah Tutong, menggunakan bangunan National Isolation Centre extension ataupun NICe di Hospital Tutong. Projek ini bertujuan menyediakan sokongan sementara selepas rawatan hospital memberi peluang rehabilitasi sebelum pesakit pulang ke rumah. Ia akan menjadi jambatan antara hospital dan komuniti. Projek ini kini dalam fasa perancangan termasuk reka bentuk fasiliti, pengambilan tenaga kerja dan penyusunan rangka kerja operasi.
Cabaran utama ialah kekurangan tenaga kerja khusus dalam bidang geriatrik dan keperluan latihan yang lebih mendalam untuk memastikan kualiti penjagaan. Selain itu Unit Geriatrik juga telah mula menggunakan telemedicine melalui aplikasi BruHealth untuk warga emas yang terlantar di rumah. Sesi mingguan dijalankan bagi semakan perubatan, saringan fungsi dan cognitive serta perancangan penjagaan. Ini dilengkapi dengan GeriHelpline untuk komunikasi dengan penjaga. Klinik fizikal juga dijalankan di hospital RIPAS dan Pusat Amal Cerah Sejahtera, Subok. Manakala lawatan di rumah dibuat bagi kes tertentu.
Penekanan ini menunjukkan komitmen kementerian untuk memperkukuh penjagaan jangka Panjang, mengurangkan kebergantungan kepada hospital dan memastikan kesinambungan penjagaan bagi pesakit strok, warga emas dan kes kronik. Insya Allah dengan usaha bersepadu ini kita dapat menyediakan persekitaran yang lebih inklusif dan sistem sokongan yang lebih mampan untuk penduduk yang semakin berumur. Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola mengucapkan terima kasih atas pertanyaan yang telah diajukan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim berhubung dengan usaha kementerian dalam menjana lebih banyak lagi peluang pekerjaan.
Usaha-usaha bagi menjana lebih banyak peluang pekerjaan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi adalah tertumpu antara lainnya melalui 3 pemacu utama ekonomi iaitu pertama, melalui peningkatan aktiviti Pelaburan Langsung Asing, FDI. Kedua, melalui pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana tempatan. Serta ketiga, dengan adanya perkembangan operasi bagi syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan, GLCs di Negara Brunei Darussalam.
Pertama, dari segi menarik FDI, kerajaan terus mempergiat usaha promosi pelaburan yang strategik bagi menarik kemasukan pelaburan berkualiti ke Negara Brunei Darussalam, sekaligus menyokong perwujudan lebih banyak peluang pekerjaan. Setakat bulan Januari 2026, lebih kurang 4,000 peluang pekerjaan telah dijana melalui 25 buah syarikat FDI yang sedang beroperasi di Negara Brunei Darussalam, yang mana proses pelaksanaannya juga telah membantu menjana pelbagai peluang pekerjaan spin-off kepada syarikat-syarikat tempatan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Hasil daripada usaha ini anak-anak tempatan yang terlibat berpeluang untuk mendapatkan manfaat daripada pemindahan, pengetahuan dan teknologi ataupun knowledge and technology transfers dan peluang pekerjaan melalui program-program pembangunan sumber tenaga manusia dalam pelbagai bidang.
Sebagai contoh syarikat Brunei Fertilizer Industry Sendirian Berhad, syarikat Hengyi Industries Sendirian Berhad dan Barramundi Asia Sendirian Berhad terus menyediakan berbagai kursus latihan kemahiran asas, teknikal dan pengkhususan termasuk program-program penempatan di dalam industri masing-masing sebagai rancangan jangka panjang pembangunan kapasiti dan persiapan bagi anak-anak tempatan untuk mengambil alih operasi syarikat-syarikat berkenaan di masa hadapan. Pendekatan ini bertujuan memastikan rakyat tempatan bukan sahaja mendapat peluang pekerjaan tetapi juga berkembang menjadi tenaga kerja yang lebih berkualiti dan berdaya saing dalam jangka panjang.
Kedua, kementerian juga memberi penekanan kepada pembangunan PMKS tempatan dalam usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tempatan. Berbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk program-program pembangunan keusahawanan dan peningkatan perniagaan. Hasil daripada pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini, sejak tahun 2018 sebanyak 797 peluang pekerjaan termasuk self-employment telah dijana melalui penubuhan 519 buah syarikat baharu hasil daripada penyertaan dalam program Micro Bootcamp.
Manakala 869 peluang pekerjaan lagi termasuk self-employment telah diwujudkan melalui 174 syarikat baharu hasil daripada penyertaan dalam program Accelerate Bootcamp. Selain itu beberapa buah syarikat start-up telah mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan baharu, memperkenalkan produk dan perkhidmatan tambahan serta peroleh kontrak baharu. Perkembangan ini insya Allah akan dapat menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan.
Ketiga, GLCs turut memainkan peranan penting dalam menyokong mewujudkan peluang pekerjaan tempatan melalui perkembangan operasi, pembangunan projek baharu serta pelaksanaan pelaburan strategik dalam sektor-sektor keutamaan. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, sepanjang 6 tahun kebelakangan iaitu dari akhir Tahun Kewangan 2020/2021 hingga suku ketiga Tahun Kewangan 2025/2026 prorata peningkatan pekerjaan secara keseluruhan bagi kumpulan syarikat Darussalam Assets adalah sebanyak 6.61 peratus dengan jumlah pekerjaan tempatan meningkat dari 5,585 di Tahun Kewangan 2020/2021 ke 7,811 setakat suku ketiga Tahun Kewangan 2025/2026 di mana 86 peratus daripada tenaga kerja tersebut terdiri daripada warga tempatan.
Usaha ini diperkukuhkan lagi dengan adanya pelancaran Centralised Recruitment System iaitu sebuah platform pengambilan pekerja bagi Darussalam Assets dan kumpulan syarikat Darussalam Assets. Setakat ini, sebanyak 33,467 bilangan pengguna telah mendaftar dan sebanyak 1,207 daripada 1,743 jawatan pekerjaan telah diisi melalui platform tersebut. GLCs jua digalakkan untuk menawarkan gaji yang bersesuaian dengan tahap kelulusan dan kemahiran serta mengikut kadar pasaran dengan struktur imbuhan yang sentiasa dikaji dan ditambah baik tertakluk kepada kemampuan dan prestasi kewangan syarikat. Pada masa yang sama penekanan turut diberikan kepada latihan pemindahan teknologi dan pembangunan bakat bagi memastikan rakyat tempatan bersedia mengisi jawatan selaras dengan keperluan industri dan Wawasan Brunei 2035.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat terlebih dahulu kaola merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof atas soalan yang telah diajukan iaitu berhubung dengan inisiatif pembaharuan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan serta Jabatan Buruh dalam menyokong dasar ease of doing business.
Sejak tahun 2022, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan Jabatan Buruh telah melaksanakan beberapa inisiatif pembaharuan bagi memudah cara urusan pelabur dan pelaburan, peniaga dan perniagaan termasuk majikan dan pekerja sekali gus menyokong usaha kerajaan dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih cekap dan kondusif. Di antara inisiatif dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan termasuklah pengenalan dasar baharu iaitu long term pass yang berkuatkuasa pada 31 Disember 2024. Selain itu, proses pengeluaran visa kerja juga telah dipermudahkan di mana kebenaran visa kini boleh dikeluarkan secara terus selepas kelulusan Lesen Pekerja Asing iaitu LPA dari Jabatan Buruh. Langkah ini telah berjaya memendekkan tempoh pemprosesan visa daripada sekitar 14 hari bekerja kepada kira-kira 3 hari bekerja.
Di samping itu, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan turut memperluaskan aturan pengeluaran visa bagi memudahkan kemasukan warga asing ke Negara Brunei Darussalam di mana setakat ini sebanyak 67 buah negara telah mempunyai aturan pengecualian visa dengan Negara Brunei Darussalam, manakala 5 buah negara telah diberikan kemudahan visa on arrival. Selaras dengan usaha memudah cara aktiviti pelaburan dan penerokaan peluang perniagaan, visa profesional atau visa perniagaan akan diberikan kepada warganegara dari negara yang mempunyai aturan pengecualian visa dengan Negara Brunei Darussalam dengan syarat adanya surat penjamin yang terdiri daripada syarikat-syarikat swasta yang berdaftar di negara ini. Walau bagaimanapun, kemasukan adalah tertakluk kepada peraturan dan penilaian dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan. Manakala, bagi warga negara asing yang berhasrat untuk meneroka peluang pelaburan di Negara Brunei Darussalam akan diberikan profesional visit visa atau pass bagi tempoh 12 bulan dengan syarat permohonan mereka mendapat sokongan daripada Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, BEDB, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Di samping itu, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan telah juga melaksanakan Pusat Kaunter Setempat, one stop counter, yang dikenali sebagai kaunter perkhidmatan visa dan pass yang terletak di tingkat 2 Bahagian Visa dan Pas, Bangunan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan yang menggabungkan kaunter-kaunter permohonan bagi perkhidmatan persendirian visa dan penyambungan kerajaan, permohonan visa lawatan dan penyambungan pas lawatan yang dahulunya ditempatkan di tingkat 1 dan 2, Bangunan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan. Ianya bertujuan untuk meningkatkan efisiensi perkhidmatan kepada orang ramai.
Alhamdulillah, penggunaan sistem E-Gate yang mula digunakan pada 10 Disember 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei turut membantu mempercepatkan proses keluar masuk di mana setakat 5 Mac 2026 seramai 39,490 orang telah menggunakan E-Gate berkenaan. Di bawah Jabatan Buruh, antara pembaharuan utama termasuklah pelaksanaan National Labour Management System, NLMS yang membolehkan permohonan berkaitan pekerja asing dilaksanakan atau pun dipohonkan secara atas talian, menggantikan kaedah permohonan secara manual di kaunter. Inisiatif ini memudahkan urusan peniaga, majikan serta agensi pekerjaan berdaftar dalam menghadapkan permohonan dengan lebih cepat dan cekap.
Selain itu, pelaksanaan jaminan insuran takaful pekerja asing turut diperkenalkan sebagai alternatif kepada kaedah deposit keselamatan bagi pengambilan pekerja asing. Melalui kaedah ini, majikan hanya perlu membayar premium insuran sebagai jaminan keselamatan berbanding kaedah jaminan bank atau deposit tunai yang sebelum ini memerlukan jumlah bayaran yang lebih tinggi. Inisiatif ini didapati dapat membantu mengurang kos operasi perniagaan khususnya bagi syarikat yang menggaji bilangan pekerja asing yang ramai.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Secara keseluruhannya, pelaksanaan pelbagai inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam melalui pendigitalan sistem, penyelarasan proses antara agensi serta penambahbaikan prosedur yang sedia ada. Selaras dengan usaha kerajaan dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih cekap, telus dan kondusif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Negara Brunei Darussalam serta menarik pelaburan berkualiti di negara ini. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 di bawah Matlamat 3 iaitu Ekonomi Yang Dinamik dan Berdaya Tahan.
Sekian yang dapat kaola sampaikan bagi menjawab soalan Yang Berhormat berkenaan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Bismillahir Rahmanir Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Terima kasih atas pertanyaan Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee berhubung dengan jika Kementerian Kesihatan akan mempertimbangkan untuk memperluas akses ubat-ubatan kesihatan mental terpilih kepada farmasi atau klinik swasta, khususnya mengambilkira pesakit yang memerlukan rawatan alternatif atau rawatan jangka panjang yang melebihi rawatan barisan utama, first-line treatment.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Keadaan kesihatan mental memerlukan penilaian klinikal yang menyeluruh sebelum rawatan dimulakan bagi memastikan diagnosis yang tepat dan pengurusan yang selamat. Pada masa ini, penyakit yang lazim seperti kemurungan dan gangguan kebimbangan boleh diuruskan di peringkat pusat kesihatan termasuk di klinik swasta. Ubat antidepressant juga tersedia di beberapa klinik swasta di negara ini dengan syarat pesakit berada di bawah jagaan doktor berkelayakan serta mendapat rawatan susulan yang sewajarnya. Bagi keadaan yang lebih kompleks seperti gangguan psychotic dan gangguan bipolar, rawatan memerlukan penilaian pakar, permulaan yang teliti dan pemantauan berterusan. Kes-kes ini lebih sesuai diuruskan dalam perkhidmatan kesihatan mental pakar bagi menjamin keselamatan pesakit dan kesinambungan rawatan.
Kementerian Kesihatan sentiasa menyokong pendekatan holistik dalam menangani isu kesihatan mental. Rawatan yang disediakan adalah berasaskan amalan bukti termasuk rawatan psychiatry, kaunseling dan intervensi psikososial yang dikendalikan oleh profesional terlatih. Dalam masa yang sama, negara ini juga meneroka pendekatan sokongan lain yang selaras dengan nilai agama dan budaya setempat. Kerjasama telah dijalankan bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali, UNISSA, dalam pembangunan modul berkaitan rawatan berteraskan kerohanian sebagai pelengkap kepada rawatan sedia ada. Pendekatan ini masih dalam peringkat pembangunan dan penelitian dan sebarang pelaksanaan rasmi akan tertakluk kepada penelitian teliti bagi memastikan keselamatan, keberkesanan dan kesesuaiannya dengan kerangka perkhidmatan kesihatan negara.
Insya Allah, dengan gabungan rawatan klinikal, psikososial dan sokongan berteraskan nilai setempat, usaha memperkukuhkan kesihatan mental akan terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih atas pertanyaan Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, berhubungan dengan langkah bagi memastikan bekalan ubat konsisten terutamanya bagi penyakit non-communicable disease seperti kencing manis, darah tinggi dan kolestrol yang lazimnya dibekalkan dengan ubat selama tiga bulan, hanya dapat menerima bekalan secukupnya untuk sebulan ke sebulan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Bagi pesakit-pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, tinggi darah dan kolestrol, setiap preskripsi lazimnya sah sehingga tarikh temu janji doktor yang seterusnya iaitu antara tiga bulan hingga satu tahun. Bekalan ubat biasanya diberikan untuk tempoh dua hingga tiga bulan. Dalam keadaan tertentu, bekalan mungkin hanya untuk satu bulan bergantung kepada ketersediaan stok di farmasi serta faktor lain seperti tahap kepatuhan pesakit ataupun compliance terhadap rawatan.
Antara sebab ubat kadang-kadang dibekalkan secara bulanan ialah stok yang terhad di stor perubatan negara sementara menunggu penghantaran baharu, had kapasiti penghantaran daripada pembekal luar negara, ruang penyimpanan yang terhad di farmasi bagi ubat tertentu serta sebagai langkah mengelakkan pembaziran apabila berlaku perubahan rawatan atau ketidakpatuhan pesakit.
Untuk menangani perkara ini, Kementerian Kesihatan telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif seperti meningkatkan pemantauan dan kerjasama rapat dengan pembekal dalam pengurusan stok dan penghantaran, membuat perancangan awal bagi memastikan peruntukan pembelian ubat adalah tepat termasuk bagi penggunaan mendadak, memperkukuh keupayaan forecasting mengikut tren penggunaan semasa, meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pengambilan ubat secara betul dan teratur, memastikan pemantauan bekalan dua hingga tiga bulan di semua farmasi serta mengawal pembaziran ubat di dalam kalangan pesakit yang tidak mematuhi rawatan. Insya Allah, dengan langkah-langkah ini, bekalan ubat untuk pesakit penyakit kronik akan lebih konsisten dan terjamin sekaligus menyokong kesinambungan rawatan yang selamat dan berkesan. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin juga kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Alhamdulillah. Terima kasih atas pertanyaan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin berhubung dengan cadangan untuk memasukkan anxiety sebagai indikator kesihatan mental dalam sistem Epidemic Intelligence and Response Unit, EIRU.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kesihatan mental merupakan antara keutamaan utama Kementerian Kesihatan. Kita menyedari bahawa isu seperti keresahan atau anxiety boleh memberi kesan signifikan terhadap kesejahteraan individu, keharmonian keluarga dan produktiviti negara. Untuk makluman, sistem EIRU pada masa ini memberi tumpuan utama kepada pemantauan penyakit berjangkit selaras dengan fungsi asal penubuhannya. Walaubagaimanapun, dalam hala tuju transformasi kesihatan awam, skop pemantauan ini akan diperluaskan secara berfasa bagi merangkumi penyakit tidak berjangkit termasuk aspek kesihatan mental.
Dalam iterasi BruMAP seterusnya, kesihatan mental akan dijadikan sebagai salah satu komponen teras dalam perancangan strategik negara. Ini bermakna, aspek kesihatan mental akan dinilai dan dipantau sebagai sebahagian daripada keutamaan nasional. Berhubung cadangan untuk memasukkan anxiety sebagai indikator khusus, perkara ini akan dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira beban penyakit dan tren semasa serta impaknya terhadap masyarakat dan sistem kesihatan. Penilaian ini adalah penting bagi memastikan setiap indikator yang digunakan benar-benar mencerminkan keutamaan kesihatan awam serta membolehkan tindakan yang berkesan diambil.
Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan memperkukuh pemantauan kesihatan mental melalui pengumpulan dan analisis data daripada fasiliti kesihatan Kerajaan, perkhidmatan komuniti dan sistem rekod elektronik. Data ini akan digunakan untuk mengenalpasti tren dan merancang intervensi awal, menilai keberkesanan program dan menyokong agar peruntukan sumber dapat dibuat secara lebih menyeluruh serta berasaskan bukti. Setakat ini, belum ada perancangan untuk memasukkan anxiety secara khusus di dalam sistem EIRU.
Walau bagaimanapun, kementerian sedang menilai dan mengemaskini perancangan penggunaan platform evidence melalui aplikasi BruHealth dan Health Index bagi membangunkan sistem pemantauan kesihatan mental secara menyeluruh. Perancangan ini selaras dengan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Negara Brunei Darussalam 2022-2025 dan akan diteruskan kepada Pelan 2025-2030. Melalui sistem ini, pelbagai data penting seperti penggunaan perkhidmatan, tempoh masa rujukan, hasil rawatan, tren penggunaan talian sokongan serta kejadian mencederakan diri atau bunuh diri akan direkodkan dan dipantau secara berterusan.
Insya Allah, dengan pendekatan ini, perancangan dasar, intervensi awal dan peruntukan sumber dalam bidang kesihatan mental akan dapat diperkukuhkan secara lebih tersusun, holistik dan berasaskan bukti demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara. Sekian. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih pertanyaan Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub berhubung dengan mekanisma maklum balas pesakit yang digunakan untuk menilai tahap kepuasan orang ramai terhadap perkhidmatan hospital-hospital kerajaan. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kementerian Kesihatan menggunakan beberapa mekanisma maklum balas pesakit untuk menilai tahap kepuasan orang ramai terhadap perkhidmatan hospital dan fasiliti kesihatan. Mekanisma ini merangkumi saluran penerimaan maklum balas, proses pengurusan kes serta pemantauan tren bagi tujuan penambahbaikan yang berterusan. Antara lain, saluran-saluran utama ialah aplikasi MOHcares untuk aduan, cadangan, penghargaan dan pertanyaan; Talian Darussalam 123, saluran 24 jam ini adalah untuk aduan dan pertanyaan; saluran bersemuka dengan pegawai bertugas di fasiliti Kesihatan; emel rasmi Kementerian Kesihatan; kotak-kotak cadangan di fasiliti kesihatan dan pemantauan media sosial khususnya isu yang dapat perhatian orang ramai. Dengan adanya saluran konvensional dan moden ini, maklum balas dapat diperoleh daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk mereka yang mempunyai akses digital yang terhad.
Selain itu, kementerian juga menyokong perlaksanaan Sistem Pemedulian Perkhidmatan Awam yang diperkenalkan oleh Jabatan Perdana Menteri iaitu sistem kaji selidik kepuasan hati pelanggan yang memperkukuh mekanisma maklum balas melalui pemantauan digital, dashboard pelaporan dan analisis data.
Sistem ini melengkapkan saluran penerimaan maklum balas kementerian yang sedia ada yang seterusnya boleh dan menyumbang kepada budaya penambahbaikan yang berterusan dalam perkhidmatan awam. Setiap maklum balas yang diterima akan dicatat, dinilai dan disalurkan kepada jabatan berkaitan untuk siasatan dan tindakan. Kes-kes yang melibatkan isu klinikal atau keselamatan pesakit akan ditangani mengikut prosedur yang ditetapkan.
Berdasarkan kepada data MOHcares 2025, lima isu utama yang paling banyak dibangkitkan. Pertama, waktu menunggu yang lama, 40 peratus aduan khususnya di Jabatan Kecemasan, Kaunter Pendaftaran dan Klinik Pakar. Kedua, sikap dan komunikasi petugas Kesihatan, 25 peratus termasuk nada komunikasi, kurang empati dan isu etika. Seterusnya, kualiti perkhidmatan klinikal, 18 peratus melibatkan kelewatan rawatan dan isu keselamatan pesakit. Proses pendaftaran dan penjadualan 10 peratus termasuk temu janji yang ditunda tanpa makluman dan kemudahan dan infrastruktur 7 peratus termasuk kebersihan dan penyelenggaraan.
Sebagai respon kepada isu-isu berkenaan, kementerian telah melaksanakan beberapa inisiatif seperti penambahbaikan sistem pengurusan giliran dan aliran pesakit, memperluaskan penggunaan aplikasi BruHealth untuk tempahan temu janji secara dalam talian, mengukuhkan komunikasi antara jabatan dan meningkatkan latihan perkhidmatan pelanggan serta memperbaiki mekanisme pelaporan keselamatan pesakit. Kementerian Kesihatan sentiasa komited untuk menjadikan setiap maklum balas sebagai asas penambahbaikan berterusan, demi meningkatkan kepuasan pesakit dan orang ramai.
Dalam masa yang sama kementerian menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dan kesabaran khususnya dalam situasi jumlah pesakit yang tinggi atau kes kecemasan yang tidak dijangka. Walaupun cabaran kapasiti tenaga kerja wujud, usaha penambahbaikan sistem dan kualiti perkhidmatan akan terus diperkukuh demi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan berintegreti.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin kepada Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih juga atas soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin, mengenai dengan bagaimana dapatan penyelidikan institusi pengajian tinggi tempatan dalam bidang pertanian, perikanan dan perhutanan dapat diaplikasikan kepada kecerdasan perniagaan dan menyokong penggubalan dasar, keputusan operasi, pembangunan rantaian nilai ekonomi serta penciptaan peluang pekerjaan berkualiti.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan sememangnya memberi perhatian kepada penggunaan dapatan penyelidikan daripada institusi pengajian tinggi tempatan bagi menyokong pembangunan sektor pertanian, perikanan dan perhutanan secara lebih berasaskan data dan bukti, evidence-based.
Kerjasama ini bukan saja bertujuan menghasilkan pengetahuan baharu tapi juga untuk memastikan dapatan penyelidikan dapat diaplikasikan kepada kecerdasan perniagaan, business intelligence, penggubalan dasar, keputusan operasi dan pembangunan rantaian nilai ekonomi. Dalam sektor pertanian dan agrimakanan, Kementerian melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan dalam menjalankan kajian berkaitan teknologi pengeluaran, kelestarian tanah dan peningkatan nilai produk.
Dapatan pengajian ini akan diuji melalui projek rintis bersama pengusaha dan peladang tempatan sebelum dijadikan sebagai garis pandu atau amalan industri. Sebagai contoh kajian dengan UNISSA berkaitan dengan regenerative agriculture memberi tumpuan kepada pemulihan kesuburan tanah, peningkatan biodiversity serta pengurangan penggunaan bahan kimia dalam pengeluaran tanaman. Pendekatan ini bukan saja menyokong kelestarian pertanian tetapi juga meningkatkan kualiti produk dan potensi nilai tambah dalam pasaran. Selain itu penyelidikan berkaitan pemprosesan makanan turut dijalankan bagi menentukan jangka hayat produk serta meningkatkan standard pembungkusan dan keselamatan makanan. Dapatan ini membantu pengusaha meningkatkan kebolehpasaran produk serta menyokong pengembangan pemasaran.
Dalam sektor perikanan, penyelidikan bersama institut pengajian tinggi memberi tumpuan kepada penggunaan industri akuakultur yang lebih berdaya tahan dan berasaskan teknologi. Antara fokus utama termasuk penerapan teknologi akuakultur pintar dilaksanakan dengan kerjasama UTB termasuk sistem pemantauan, kualiti air dan pengurusan kolam berasaskan data bagi meningkatkan produktiviti serta mengoptimumkan penggunaan sumber. Kedua ialah kajian berkenaan dengan biosekuriti dan pemantauan Antimicrobial Resistance, AMR yang dilaksanakan dengan Universiti Brunei Darussalam di kawasan industri ternakan ikan dalam sangkar bagi memperkukuhkan jaminan kesihatan dan kelestarian industri.
Dapatan penyelidikan ini membantu penyediaan maklumat penting yang boleh digunakan oleh pengusaha dalam membuat keputusan operasi yang lebih tepat serta menyokong pembangunan industri akuakultur yang lebih berdaya saing. Dalam sektor perhutanan, dapatan penyelidikan yang dijalankan oleh institut pengajian tinggi tempatan seperti Institute for Biodiversity and Environmental Research, IBER, Universiti Brunei Darussalam telah membantu memperkukuhkan asas data dan pengetahuan dalam pengurusan sumber hutan negara.
Penyelidikan tersebut merangkumi pemantauan biodiversiti hutan tropika, kajian hidupan liar di Taman Negara Ulu Temburong serta kajian berkaitan ekosistem hutan paya gambut dan habitat semula jadi. Dapatan ini digunakan sebagai rujukan dalam menyokong penggubalan dasar, perancangan guna tanah serta pelaksanaan pengurusan hutan yang lebih mampan. Dengan memanfaatkan keunikan khazanah alam semula jadi negara ini dapat diketengahkan sebagai produk pelancongan berasaskan penyelidikan yang bernilai tinggi sekaligus mempromosikan produk eko pelancongan.
Selain itu, dapatan penyelidikan seperti pengiraan asas karbon melalui inventori sumber hutan negara turut menyediakan data penting mengenai stok karbon hutan yang berpotensi menyokong pembangunan inisiatif karbon hutan serta memperkukuhkan rancangan strategik kementerian terutama sekali bagi membolehkan negara melaksanakan carbon trading initiative.
Pendekatan berasaskan penyelidikan dan data ini seterusnya menyokong pembuatan keputusan yang lebih berinformasi, memperkukuhkan pembangunan rantaian nilai ekonomi berasaskan sumber hutan serta membuka peluang baharu dalam ekonomi hijau.
Secara keseluruhannya kerjasama penyelidikan antara kementerian dan institusi pengajian tinggi tempatan memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan sumber-sumber utama negara didorong oleh data inovasi dan pengetahuan saintifik. Pendekatan ini bukan sahaja menyokong penggubalan dasar yang lebih berkesan malah membantu meningkatkan produktiviti industri, mengukuhkan rantaian nilai ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor-sektor berkenaan.
Sekian sahaja yang dapat kaola sampaikan berkenaan soalan yang diajukan. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamua’laikum dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Terutama sekali ingin mengucapkan terima kasih atas pertanyaan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed. Berhubung dengan tindakan kementerian dalam menangani ketidakmampuan kewangan bagi individu yang menghadapi halangan mendapatkan rawatan selain kemudahan bayaran ansuran dan skim bantuan sedia ada.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kementerian ingin menegaskan bahawa setiap individu berhak mendapatkan rawatan di hospital tanpa sebarang halangan. Bagi pesakit yang menghadapi kesukaran kewangan, pihak hospital akan terlebih dahulu membuat penelitian terhadap keadaan pesakit dari latar belakang keluarga.
Sekiranya keluarga mempunyai kemampuan, mereka boleh membantu melunaskan bil sama ada secara tunai atau melalui ansuran. Namun jika hasil penilaian menunjukkan pesakit dan keluarga benar-benar tidak mampu, pesakit akan dirujuk kepada perkhidmatan kerja sosial perubatan.
Di sana permohonan bantuan akan diproses melalui skim-skim yang sedia ada seperti Skim Kebajikan Negara, SKN dan Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitumal, JUZWAB. Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan akan membuat penilaian lebih terperinci termasuk lawatan ke kediaman pesakit dan semakan status kewangan. Jika didapati pesakit atau keluarga masih mampu, bayaran ansuran akan diaturkan. Bagi pesakit yang sudah menerima bantuan JUZWAB atau SKN, mereka boleh dirujuk untuk permohonan tambahan bagi melunaskan bil perubatan.
Sekiranya permohonan bantuan ditolak oleh agensi berkaitan, hospital akan menggunakan tabung amal bantuan pesakit tertakluk kepada baki tabung tersebut, bagi memastikan pesakit tetap mendapat rawatan. Bagi memastikan proses permohonan bantuan dilaksanakan dengan teratur, pihak hospital akan memastikan semua dokumen sokongan dikemukakan termasuk maklumat insurans, borang akur janji, butiran perbelanjaan bulanan serta dokumen pengenalan pesakit dan penjamin.
Dengan langkah-langkah ini, kementerian akan dapat memastikan bahawa pesakit yang benar-benar tidak berkemampuan tetap mendapat rawatan tanpa halangan. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih. Ahli-Ahli Yang Berhormat, waktu Pertanyaan sudah selesai dan sekarang kita beralih kepada urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis
Kenyataan Menteri.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya telah memberikan izin bagi Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri untuk membuat Kenyataan Menteri yang bertajuk Sinergi Kerajaan dan Komuniti sebagai Tunggak Keselamatan Awam dan Kesejahteraan Sosial di Negara Brunei Darussalam. Saya persilakan Yang Berhormat Menteri.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Pertama sekali, kaola mengucapkan terima kasih di atas kebenaran Yang Berhormat Yang Di-Pertua untuk kaola menyampaikan Kenyataan di Dewan yang mulia ini. Kenyataan yang akan kaola sampaikan bertajuk Sinergi Kerajaan dan Komuniti sebagai Tunggak Keselamatan Awam dan Kesejahteraan Sosial di Negara Brunei Darussalam.
Tajuk ini dipilih adalah bertujuan untuk mengongsikan tindakan dan komitmen berterusan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh keselamatan awam dan meningkatkan kesejahteraan sosial, masyarakat dalam konteks pentadbiran dalam negeri. Usaha ini bukan sekadar suatu hasrat atau ungkapan aspirasi, malah merupakan teras penting dalam kerangka strategik kementerian yang memandu perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan dasar serta program di bawah bidang tanggungjawab Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Dalam hubungan ini, keselamatan awam dan kesejahteraan sosial dapat diperkukuhkan secara berkesan melalui tindakan kerajaan dan komuniti berasaskan semangat tanggungjawab bersama, kepercayaan, penglibatan aktif dan kerjasama yang berterusan. Inilah pendekatan yang terus menjadi tunjang kepada usaha kementerian dalam memelihara keamanan awam, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat dan serta penduduk Negara Brunei Darussalam.
Sehubungan itu, pelbagai inisiatif telah dirangka dan dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi jabatan-jabatan di bawah kementerian termasuk melalui pendigitalan proses kerja, pengukuhan tahap kesiapsiagaan serta keupayaan respons terhadap kecemasan dan bencana, penambahbaikan kemudahan awam dan pemerkasaan sistem sokongan komuniti di bawah pentadbiran daerah dan perbandaran.
Dalam masa yang sama, kementerian turut memberi perhatian kepada pemerkasaan kepimpinan di peringkat akar umbi, termasuk dengan membuka ruang kepada penyertaan generasi baharu dalam menyandang jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung agar kesinambungan kepimpinan komuniti terus terpelihara secara lebih dinamik, responsif dan berkesan. Pemimpin akar umbi inilah yang menjadi penghubung terdekat antara kerajaan dan rakyat sekaligus memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan, kesejahteraan serta keharmonian masyarakat di peringkat mukim dan kampung.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Bagi memastikan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dapat memberikan impak yang lebih tersusun, berfokus dan menyeluruh, pelbagai inisiatif telah dirangka dan dilaksanakan melalui 7 bidang tumpuan utama yang selaras dengan peranan serta tanggungjawab Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan untuk menangani keperluan semasa masyarakat, malah turut menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh keselamatan negara, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan penduduk, memperkasa pembangunan komuniti dan memperkukuh keupayaan institusi pentadbiran negara supaya terus relevan, responsif dan berdaya tahan.
Setiap bidang tumpuan ini dilaksanakan secara bersepadu melibatkan kerjasama pelbagai pihak yang berkepentingan termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat setempat. Pendekatan yang menyeluruh ini penting bagi memastikan setiap dasar dan program yang dilaksanakan benar-benar berkesan, inklusif, berimpak serta mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat dan penduduk di negara ini.
Sehubungan itu, kaola sukacita mengongsikan beberapa inisiatif utama yang telah dilaksanakan oleh kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya berdasarkan bidang-bidang tumpuan tersebut. Kaola terlebih dahulu ingin menyentuh mengenai usaha kementerian dalam memperkukuh keselamatan awam dan kesiapsiagaan yang merupakan antara keutamaan dalam memastikan keselamatan rakyat dan penduduk sentiasa terpelihara. Dalam hubungan ini, kementerian melalui jabatan-jabatan yang berkaitan terus mempertingkatkan keupayaan operasi, kesiapsiagaan serta respons terhadap sebarang insiden kecemasan dan bencana.
Sebagaimana yang pernah kaola kongsikan dalam perbahasan di peringkat dasar pada 16 Mac 2026 yang lalu, pembekalan 10 daripada 30 jentera Water Tender Ladder secara pajak sewa pada bulan November 2025, kini telah ditempatkan di balai-balai bomba di seluruh negara.
Pembekalan ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan operasi, memperkukuhkan keberkesanan pengerahan jentera serta mempercepatkan respons terhadap insiden kecemasan demi memastikan perlindungan nyawa dan harta benda dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan efektif.
Alhamdulillah, semasa insiden ketiadaan bekalan air baru-baru ini, 10 buah jentera Water Tender Ladder ini telah turut dikerahkan bagi membantu Kementerian Pembangunan untuk mengisi tangki-tangki air di tempat-tempat strategik seperti Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Pusat Kesihatan Berakas, Pusat Dialisis, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Bangunan Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas dan beberapa buah bangunan-bangunan kerajaan lainnya sehingga kerja-kerja pembaikan paip di Kampung Layong selesai dilaksanakan dan pembekalan air stabil.
Selain itu, usaha memperkukuhkan kesiapsiagaan infrastruktur kebombaan turut dilaksanakan melalui projek penggantian pili-pili bomba di seluruh negara di mana fasa pertama telah selesai dilaksanakan pada Jun 2024 melibatkan penggantian 350 buah pili bomba dengan kos sebanyak BND598,786. Manakala fasa kedua telah mula dilaksanakan pada 23 Disember 2023 yang turut melibatkan penggantian 350 buah pili bomba termasuk di kawasan Kampong Ayer juga telah selesai dilaksanakan pada Februari tahun ini.
Dalam masa yang sama, keupayaan operasi penyelamat turut dipertingkatkan melalui penaiktarafan pasukan Urban Search and Rescue, USAR Kebangsaan yang kini dikenali sebagai SATREA iaitu Special Technical Rescue Assistance sejak 13 Mei 2025. Langkah ini bertujuan untuk melengkapkan pasukan berkenaan dengan keupayaan yang lebih mantap dalam bidang urban search and rescue di samping mempersiapkan pasukan ini ke arah mendapat pengiktirafan antarabangsa di bawah International Search and Rescue Advisory Group iaitu INSARAG.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Di samping pengukuhan keupayaan operasi, kementerian juga memberi perhatian serius dalam meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat melalui pelaksanaan program kesedaran dan latihan keselamatan awam antaranya melalui Program Lifesaver 995 yang diperkenalkan sejak tahun 2020 dan setakat ini telah disertai oleh seramai 1,541 orang peserta.
Program ini bertujuan melatih pemimpin akar umbi serta penduduk kampung sebagai first responder bagi membantu menangani insiden kecemasan sebelum ketibaan pasukan Bomba dan Penyelamat di samping memberi pendedahan kepada penggunaan peralatan pemadaman kebakaran dengan betul dan teratur.
Usaha ini turut diperkukuhkan lagi melalui pembekalan peralatan pemadaman kebakaran berupa set hos dan nozzle pada 17 buah mukim iaitu 18 buah kampung daripada keseluruhan 30 buah mukim di Negara Brunei Darussalam termasuk 3 buah kampung di kawasan Kampong Ayer iaitu Kampung Saba, Kampung Setia dan Kampung Bolkiah.
Usaha memperkukuh pengurusan bencana di peringkat kebangsaan juga dipertingkatkan melalui pelancaran Disaster Management Strategic Policy Framework iaitu DMSPF pada 11 Oktober 2025 sebagai merangka strategi bagi memperkukuh penyelarasan antara agensi serta meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana. Inisiatif ini turut disokong melalui penerbitan buku 'Buku Panduan Asas Keselamatan Awam: Panduan Kesiapsiagaan Bencana dan Mitigasi Kecemasan, Edisi 2025' yang diselaraskan bersama 19 buah agensi kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan.
Insya Allah, Latihan Bencana Kebangsaan 2026 atau LBK-26 juga dirancang untuk diadakan pada tahun ini yang merupakan satu perancangan strategik yang amat signifikan bertujuan untuk memvalidasi kebolehoperasian Prosedur Operasi Standard Kebangsaan iaitu NASOP Edisi 2012 yang kini dalam fasa pengemaskinian. Langkah ini adalah penting bagi menjamin dokumen tersebut kekal kalis cabaran iaitu future-proof serta responsif dalam menghadapi landskap risiko bencana moden yang semakin kompleks dan rencam.
Melalui LBK-26 ini nanti selain memperkukuhkan lagi mekanisme penyelarasan SOP rentas kementerian dan agensi secara holistik dan komprehensif ianya juga diharap akan membolehkan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan mengenal pasti jurang operational serta meneroka keperluan pembangunan protokol baharu, tadbir urus pengurusan bencana negara akan sentiasa berada pada tahap kecemerlangan yang optimum dan bersepadu.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Selain usaha memperkukuh keselamatan kesiapsiagaan awam, kementerian juga memberi perhatian kepada peningkatan kemudahan awam serta infrastruktur komuniti yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan persekitaran yang selamat, selesa, kondusif kepada rakyat dan penduduk. Di antara tahun 2022 sehingga sekarang kerja-kerja membaik pulih telah dilaksanakan ke atas sejumlah 12.5 kilometer jambatan kayu serta empat buah jeti di Kampong Ayer dengan peruntukan melebihi BND1.4 juta.
Pada masa ini kementerian sedang melaksanakan projek menaik taraf Pasar Gadong secara berperingkat-peringkat merangkumi kerja-kerja pembaikan struktur bangunan, pendawaian elektrik, sistem perpaipan dan saliran serta penambahbaikan sistem pengudaraan dan pencahayaan. Langkah ini bertujuan memastikan kemudahan pasar awam sentiasa berada dalam keadaan bersih, selesa dan selamat sekaligus menyokong kelancaran aktiviti perniagaan dan ekonomi setempat.
Kementerian melalui jabatan-jabatan daerah turut melaksanakan kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan 16 buah dewan kemasyarakatan secara berperingkat-peringkat bagi tempoh empat tahun. Inisiatif ini bertujuan memastikan kemudahan berkenaan terus dapat dimanfaatkan sebagai pusat kegiatan sosial, kemasyarakatan dan pembangunan komuniti di peringkat kampung.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kementerian juga terus memberi perhatian kepada usaha memperkasa serta meningkatkan pembangunan sosioekonomi di peringkat setempat khususnya melalui penglibatan aktif masyarakat dalam pelbagai inisiatif pembangunan komuniti. Pendekatan ini bertujuan memperkukuh daya tahan komuniti serta membuka lebih banyak peluang kepada penduduk tempatan untuk menyertai aktiviti ekonomi secara lebih inklusif dan mampan.
Dalam hubungan ini, kementerian melalui jabatan-jabatan daerah terus menyokong secara berterusan inisiatif di bawah Program Satu Kampung Satu Produk. Antara sokongan yang telah dilaksanakan termasuk penubuhan pusat 1K1P di Kuala Belait melalui pengubahsuaian bangunan bekas Pejabat Pos lama yang telah dirasmikan pada 9 haribulan November 2025.
Pusat ini berfungsi sebagai platform pemasaran bagi produk-produk tempatan yang dihasilkan oleh pengusaha komuniti, sehingga penghujung Februari 2026 seramai 109 orang pengusaha tempatan termasuk peserta Projek TUNAS BIBD, Bruneian Made telah menyertai pusat tersebut dengan jumlah jualan berjumlah BND17,245 bagi tempoh bulan November 2025 sehingga Februari 2026. Selain itu beberapa buah Kedai Kampung turut diwujudkan di beberapa daerah sebagai platform tambahan untuk memasarkan produk tempatan yang dihasilkan oleh usahawan tempatan.
Antaranya termasuk Kedai Kampung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan yang mula beroperasi pada 1 haribulan Februari 2026 serta Kedai Kampung di Kantin Dewan Muhibbah di Daerah Brunei Muara yang mula beroperasi pada 24 haribulan November 2025. Sementara itu di Daerah Temburong Bangunan Kedai Rakyat Jati di Pekan Bangar telah dinaik taraf sebagai Kedai Kampung yang menempatkan sekitar 200 pengusaha produk tempatan dengan purata jualan sekitar BND40,000 sebulan.
Dikesempatan ini, kaola ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Perundingan Mukim dan Kampung yang berkenaan serta beberapa orang Ahli-Ahli Yang Berhormat mewakili daerah atas sumbangan pemikiran serta keterlibatan langsung mereka dalam mengungkayahkan pelbagai usaha sehingga terwujudnya kedai-kedai kampung ini yang setentunya memberi manfaat kepada masyarakat serta menyokong perkembangan aktiviti sosioekonomi di peringkat komuniti.
Bagi terus menyokong perkembangan usahawan tempatan, kementerian juga telah mengadakan program pop-up market dua kali sebulan sejak Jun 2024 di perkarangan Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha baru bahkan termasuk golongan-golongan yang berkeperluan untuk mempromosikan dan memasarkan produk makanan mereka serta produk tempatan mereka.
Setakat ini jumlah pendapatan keseluruhan yang diperolehi para vendor adalah sebanyak BND60,646.70. Peluang ekonomi kepada komuniti juga diperkukuhkan melalui pemberian kontrak perkhidmatan kepada Majlis Perundingan Mukim dan Kampung bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan termasuk pemotongan rumput di kawasan tertentu.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu menjana pendapatan kepada komuniti setempat malah turut menggalakkan perkhidmatan aktif masyarakat dalam menjaga dan memelihara persekitaran kampung masing-masing. Melalui pelbagai inisiatif ini kementerian berusaha memastikan bahawa pembangunan komuniti tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal semata-mata, malah turut memberi perhatian kepada pengukuhan kapasiti ekonomi masyarakat sekaligus menyokong kesejahteraan rakyat yang lebih inklusif dan mampan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam memastikan aspek kesejahteraan sosial dan sokongan kepada golongan rentan terus dipelihara, kementerian turut memberikan perhatian kepada usaha memperkukuh bantuan kepada golongan yang memerlukan termasuk melalui pelaksanaan program pemulihan serta pengintegrasian semula individu ke dalam masyarakat. Sebagai contoh, Program Kemasyarakatan dan Sokongan Keluarga Penghuni Penjara telah diadakan di Daerah Belait dan Tutong dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim dan Kampung masing-masing pada 17 haribulan Jun 2025 dan pada 27 haribulan September 2025 bagi tujuan pengintegrasian semula bekas banduan ke dalam masyarakat dan seterusnya menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat dan positif.
Manakala program yang sama turut diadakan di Daerah Brunei dan Muara pada 5 hingga 7 haribulan Disember 2025 dan di Daerah Temburong pada 12 hingga 14 Disember 2025. Pelaksanaan program pendidikan serta latihan kemahiran bagi penghuni institusi penjara juga terus dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan mereka mendapatkan pekerjaan selepas tamat tempoh pemenjaraan.
Antaranya termasuk Program Pemerkasaan Pemulihan Akademik Peringkat 'O' Level yang telah dimulakan pada Oktober 2024 dengan kerjasama dari Kementerian Pendidikan. Selain itu pelbagai latihan vokasional turut dilaksanakan seperti latihan bakeri, kemahiran pertanian, car detailing, IBTE Life-Long Learning Studies, seni tenunan, pembinaan rumah tenunan, pensijilan dalam meningkatkan kemahiran industri seperti rigger, scaffolding, heavy vehicle driving, heavy vehicle operation dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan. Aftercare Support Association atau AFSA, Bank Islam Brunei Darussalam dan syarikat-syarikat yang berkenaan bagi membantu bekas banduan membuat persediaan menghadapi dunia pekerjaan dan membina semula kehidupan mereka secara lebih terarah dan bermaruah.
Alhamdulillah, sejak tahun 2018 hingga kini sebanyak 91 sektor swasta dan 23 pertubuhan bukan kerajaan telah bekerjasama dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada 26 bekas banduan. Bagi tahun 2025 sahaja sebanyak 8 kerjasama tambahan telah berjaya dimetrai melibatkan tiga NGO dan lima sektor swasta. Pendekatan kolaboratif ini amat penting dalam membantu bekas banduan membina kehidupan baru yang lebih stabil serta mengurangkan risiko pengulangan kesalahan.
Kementerian melalui jabatan-jabatan daerah dengan kerjasama strategik dengan sektor perbankan turut mengungkayahkan Projek Teduh iaitu kolaborasi antara Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Bank Islam Brunei Darussalam, Kementerian Pembangunan, sektor swasta bagi menyediakan kediaman yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada golongan fakir dan miskin yang tinggal dalam keadaan daif, sempit atau tempat tinggal yang tidak selamat untuk didiami. Setakat ini, sebanyak 4 buah rumah telah berjaya dibangunkan dan diserahkan kepada penerima.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam usaha untuk memperkukuhkan tadbir urus komuniti di peringkat akar umbi, kementerian turut memberikan perhatian kepada usaha memperkasa peranan serta kapasiti kepimpinan penghulu mukim dan ketua kampung sebagai penghubung penting antara kerajaan dan masyarakat.
Rangka kerja kompetensi penghulu mukim dan ketua kampung iaitu PMKK-HRCF telah mula dilaksanakan pada bulan Mac 2025 dapat memperkukuh keupayaan kepimpinan komuniti melalui penetapan kompetensi yang jelas serta penilaian yang lebih sistematik terhadap prestasi pemimpin akar umbi.
Berdasarkan penilaian pertama bagi mengenal pasti jurang kompetensi yang dilaksanakan melalui Jawatankuasa Penilai di peringkat daerah, sebanyak 12.3 peratus penghulu mukim dan ketua kampung adalah berada di tahap melebihi jangkaan dan kompeten. Manakala, majoriti 73 peratus berada pada tahap hampir bersedia. Di samping itu, kementerian juga turut melaksanakan penilaian prestasi pemimpin akar umbi melalui lapan Petunjuk Prestasi Utama iaitu KPI yang merangkumi 5 aspek utama termasuk aspek keselamatan dan kesejahteraan komuniti. Setakat Februari 2026, sebanyak 81 peratus jawatan penghulu mukim dan 58 peratus jawatan ketua kampung telah berjaya diisi.
Dari jumlah tersebut, seramai 18 orang atau 19 peratus daripada golongan belia sekaligus mencerminkan usaha kementerian dalam menyediakan pelapis kepimpinan komuniti yang lebih dinamik dan responsif. Pendekatan ini adalah pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang antara lainnya menekankan bahawa pemimpin akar umbi daripada kalangan belia wajar diberi keutamaan dalam pengisian jawatan penghulu mukim dan ketua kampung sebagai langkah strategik bagi melahirkan barisan pemimpin akar umbi yang berwibawa dan berdaya tahan bagi masa hadapan.
Sesungguhnya pemimpin akar umbi bukan sahaja berperanan sebagai penyampai maklumat atau pelaksana dasar di peringkat tempatan, bahkan mereka ialah nadi penghubung antara kerajaan dan masyarakat. Keberkesanan sinergi kerajaan dan komuniti banyak bergantung kepada kekuatan kepimpinan mereka dalam memahami denyut nadi rakyat, menyantuni keperluan masyarakat dan mengerakkan tindakan bersama di peringkat lapangan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam memastikan persekitaran awam yang bersih, selamat dan teratur, kementerian melalui jabatan-jabatan daerah dan jabatan-jabatan bandaran terus mempergiatkan usaha dalam aspek kebersihan awam, penguatkuasaan serta pengurusan persekitaran bandar.
Dalam hubungan ini, penguatkuasaan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian iaitu Pindaan 2021 telah dipertingkatkan oleh perlaksanaan rondaan dan operasi penguatkuasaan oleh jabatan-jabatan daerah, jabatan-jabatan bandaran serta Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, JASTRE. Dari Januari hingga Disember 2025, sebanyak 2,468 rondaan penguatkuasaan telah dilaksanakan dengan 468 kesalahan direkodkan dan denda kompaun berjumlah BND310,900 telah dikeluarkan.
Di samping penguatkuasaan, pelbagai program kesedaran awam termasuk kempen kebersihan, aktiviti gotong-royong yang melibatkan penyertaan aktif masyarakat setempat juga dilaksanakan. Pendekatan ini penting bagi memupuk rasa bertanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan dan kelestarian persekitaran. Usaha mengawal anjing terbiar juga dilaksanakan secara berterusan.
Setakat ini, sebanyak 1,468 aduan telah diterima dan daripada jumlah tersebut 763 operasi pemindahan anjing-anjing terbiar iaitu pemasangan sangkar bagi tujuan pemindahan anjing terbiar ini telah dilaksanakan oleh jabatan-jabatan daerah dan jabatan-jabatan bandaran yang menangani isu tersebut secara lebih terselaras dan berkesan.
Setakat 10 Mac 2026, terdapat 224 ekor anjing liar telah dipindahkan ke pusat pelelongan kebangsaan bagi haiwan terbiar di bawah kendalian Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Usaha-usaha ini turut mendapat pengiktirafan serantau apabila Pekan Seria dianugerahkan Anugerah 6th ASEAN Environmentally Sustainable Cities pada 3 September 2025 di Langkawi, Malaysia. Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan inisiatif kebersihan dan pengurusan bandar yang dilaksanakan secara bersama antara pihak berkuasa dan masyarakat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam, kementerian turut memberikan penekanan kepada pengukuhan kapasiti organisasi serta pembangunan keupayaan sumber manusia di bawah kementerian. Antaranya melalui Program Peningkatan Kemahiran serta Latihan Profesional secara berterusan termasuk pelaksanaan Kursus Teknologi Maklumat secara mingguan bagi memperkukuh kemahiran digital pegawai.
Di samping itu, usaha memperkukuh profesionalisme anggota-anggota jabatan di bawah kementerian turut dilaksanakan melalui pengemaskinian skim perkhidmatan. Alhamdulillah, Skim Perkhidmatan Jabatan Penjara dan Skim Perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dikemaskini dan berkuatkuasa masing-masing pada 17 September 2025 dan 24 September 2025.
Kementerian juga terus memberi perhatian kepada usaha meningkatkan kualiti kemudahan awam melalui pengauditan tandas awam. Berdasarkan pengauditan terkini pada Ogos 2025, sebanyak 72.5 peratus daripada tandas awam yang diaudit telah mencapai piawaian yang ditetapkan, iaitu berada dalam gred A hingga C.
Selain itu, pelaksanaan Banci Majikan dan Pekerja 2025, melalui Jabatan Buruh turut membantu kerajaan memperoleh maklumat yang lebih komprehensif mengenai struktur tenaga kerja di sektor awam. Maklumat ini penting bagi menyokong perancangan dasar tenaga kerja negara secara lebih berasaskan data.
Melalui pelbagai usaha yang dilaksanakan ini, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria telah menerima pengiktirafan empat bintang melalui penilaian Penggredan Prestasi Sektor Awam iaitu 3PSA sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-32 pada tahun 2025. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan jabatan-jabatan berkenaan dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Usaha-usaha yang telah kaola huraikan mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam memperkukuh keselamatan awam serta meningkatkan kesejahteraan sosial masyarakat secara bersepadu, inklusif dan mampan. Setiap inisiatif yang dilaksanakan, sama ada dalam aspek kesiapsiagaan, pembangunan komuniti, sokongan sosial, pengukuhan kepimpinan akar umbi, pengurusan persekitaran mahupun peningkatan kecekapan organisasi, semuanya digerakkan dalam satu matlamat yang sama, iaitu untuk memastikan rakyat dan penduduk negara ini terus menikmati kehidupan yang aman, selamat, teratur dan sejahtera.
Sesungguhnya, kekuatan sebuah negara tidak hanya terletak pada keupayaan institusi kerajaan menggubal dasar dan melaksanakan program, tetapi juga pada keupayaan rakyat untuk sama-sama mendukung, menghayati dan menjayakan usaha-usaha tersebut. Oleh itu, sinergi kerajaan dan komuniti sebagai tonggak keselamatan awam dan kesejahteraan sosial di Negara Brunei Darussalam hendaklah terus diperkukuh sebagai tonggak utama dalam memelihara keselamatan awam dan kesejahteraan sosial negara.
Dalam hal ini, peranan pemimpin akar umbi, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta setiap anggota masyarakat amatlah penting di mana keselamatan awam bukan bertanggungjawab satu pihak sahaja. Kesejahteraan sosial juga bukan beban yang digalas oleh kerajaan semata-mata. Sebaliknya, kedua-duanya merupakan amanah bersama yang menuntut iltizam kolektif, semangat kebersamaan dan tindakan bersepadu seluruh lapisan masyarakat.
Pendekatan ini adalah selaras dengan konsep whole of government dan whole of nation yang menegaskan bahawa pembangunan yang mampan, keselamatan yang kukuh dan kesejahteraan yang menyeluruh hanya akan dapat dicapai apabila wujud kesepaduan antara dasar kerajaan, keberkesanan institusi, kekuatan komuniti dan penglibatan aktif masyarakat.
Insya Allah, dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala serta berkat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, segala usaha yang dilaksanakan ini akan terus menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih mampan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam selaras dengan Matlamat Kedua Wawasan Brunei 2035, iaitu Kehidupan Rakyat yang Berkualiti Tinggi.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Hal Ehwal Dalam Negeri. Sebelum kita beralih ke urusan seterusnya. Saya kira adalah sesuai sekarang bagi kita untuk berehat selama 15 minit dan kita akan menyambung semula mesyuarat ini.
(Majlis Mesyuarat berehat sebentar)
(Majlis Mesyuarat bersidang semula)
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekarang majlis bersidang semula bagi menyambung perbincangan ataupun perbahasan kita dengan urusan seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis
Rang Undang-Undang (2026) Perbekalan, 2026/2027 dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan. Perbahasan peringkat dasar.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Persidangan Majlis Mesyuarat Negara masih lagi membincangkan mengenai Rang Undang-Undang (2026) Perbekalan, 2026/2027 dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan dalam perbahasan peringkat dasar.
Sebelum kita berhenti semalam, kita telahpun memberi, mendengar beberapa orang Ahli-Ahli Kerana Jawatan, memberikan, turut serta dalam perbahasan ini dalam menyokong Rang Undang-Undang yang berkenaan.
Sekarang, saya ingin memberikan peluang kepada beberapa orang lagi Ahli-Ahli Yang Berhormat yang belum memberikan, yang belum turut menyertai perbahasan ini untuk berbuat sedemikian. Saya mulakan dengan menjemput Yang Berhormat Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Dayang Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh. Silakan Datin.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terlebih dahulu kaola ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada kaola pada hari ini untuk menyampaikan ulasan berhubung pembentangan Rang Undang-Undang (2026) Perbekalan, 2026/2027 dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, pada hari Sabtu, 24 Ramadan 1447 bersamaan dengan 14 Mac 2026 serta beberapa isu berkaitan pendidikan yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat semasa sesi perbahasan dasar pada hari Ahad, 25 Ramadan 1447 Hijrah bersamaan dengan 15 Mac 2026 dan juga pada hari Isnin, 26 Ramadan 1447 bersamaan dengan 16 Mac 2026.
Di kesempatan ini, kaola/saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II atas pembentangan yang terperinci dan menyeluruh. Ucapan terima kasih juga kaola/saya sampaikan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat atas pandangan, pengamatan serta cadangan yang telah dikongsikan dalam usaha untuk memperkukuh dan memajukan sistem pendidikan di negara ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Tema Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2026/2027 iaitu ‘Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035’ adalah amat bertepatan memandangkan negara kini berada dalam tempoh kurang 9 tahun menuju tahun 2035. Dalam konteks pendidikan, kementerian akan terus memainkan peranan yang amat penting sebagai pemacu utama pembangunan model insan negara dengan memastikan sistem pendidikan sentiasa relevan, berkualiti dan responsif terhadap keperluan masa hadapan.
Kementerian akan terus memastikan setiap peruntukan yang disalurkan kepada sektor pendidikan digunakan secara strategik dan berkesan bagi menyokong peningkatan kualiti pendidikan, pembangunan kapasiti tenaga pengajar serta penyediaan kemudahan pembelajaran yang relevan dengan keperluan semasa.
Mengikut tren perbelanjaan biasa sebanyak 71 peratus adalah disediakan untuk emolumen iaitu bagi lebih 12,000 jawatan tenaga pengajar dan bukan tenaga pengajar. Baki 29 peratus adalah untuk perbelanjaan berulang-ulang di mana hampir 80 peratus anggaran perbelanjaan berulang-ulang adalah tertumpu kepada 3 akaun utama seperti berikut:
Pertama, Akaun Bantuan Geran Pemindahan dan Subsidi, yang mana berikut adalah antara inisiatif dan projek yang terkandung dalam akaun itu. Seperti elaun penuntut, biasiswa, pembayaran pendaftaran peperiksaan, pembayaran balik insentif Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan, SBPP dan Geran SEAMEO VOCTECH;
Kedua, Akaun Perkhidmatan, yang mana antara inisiatif dan projek utama terkandung dalam akaun ini termasuk CFBT, perancangan pemakanan sekolah dan institusi pengajian tinggi, penyelidikan, perkhidmatan keselamatan dan pakar penasihat pensyarah tambahan yang diambil secara separuh masa di Institusi TVET dan pengajian tinggi sebagai adjunct lecturer dan locum tenens bagi mengajar modul-modul yang memerlukan kepakaran, ilmu pengetahuan dan kemahiran dari sektor swasta dan industri; dan Ketiga, Akaun Penyelenggaraan dan Pembaikan Aset. Ianya merangkumi inisiatif dan projek seperti facilities management iaitu salah satu program fiscal consolidation Kementerian Pendidikan yang memastikan penyelenggaraan teratur bersepadu bagi prasarana dan persekitaran pendidikan kekal selamat dan kondusif, pemeliharaan, pembaikan dan menaiktaraf bangunan, pengangkutan sampah dan pemotongan rumput, kelengkapan peralatan kebakaran dan pembinaan padang sukan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Seterusnya, izinkan kaola/saya memberikan ulasan kepada isu pendidikan yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli-Ahli Yang Berhormat semasa sesi perbahasan dasar. Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawtty binti Haji Abdul Mumin, Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin, Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam dan Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman. Dalam kenyataan Yang Berhormat-Yang Berhormat telah menyarankan supaya Kerajaan memastikan anak-anak tempatan dapat menyumbang kepada peluang pekerjaan yang diwujudkan melalui Pelaburan Langsung Asing ataupun FDI.
Kaola, saya mengongsikan beberapa usaha yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan ke arah memastikan penyediaan tenaga kerja tempatan bagi menyokong keperluan projek-projek FDI tersebut.
Selain usaha yang telah disebutkan dalam Kenyataan Menteri pada hari Sabtu, 24 Ramadan 1447 Hijrah bersamaan dengan 14 Mac 2026 yang lalu mengenai persediaan pekerjaan masa hadapan, future of work seperti memperluas literacy digital dan AI merentas program pengajian, memperkukuh kaedah pembelajaran berasaskan projek, memperkasa latihan industri yang lebih tersusun serta menggalakkan pendidikan keusahawanan.
Kementerian Pendidikan juga melaksanakan pendekatan yang lebih terarah melalui penyelarasan perancangan tenaga manusia bersama pihak industri dan agensi kerajaan yang berkaitan.
Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan bekerjasama rapat dengan Pejabat Perancangan Tenaga Manusia ataupun PPTM, Jabatan Perdana Menteri serta Manpower Industry Steering Committee, MISC bagi memastikan program pendidikan dan latihan yang ditawarkan adalah selaras dengan keperluan kompetensi industri serta permintaan sebenar pasaran pekerjaan.
Pendekatan ini turut dilaksanakan melalui perbincangan secara berfokus bersama pihak industri bagi mengenal pasti keperluan tenaga kerja secara lebih terperinci serta memastikan program pendidikan dan latihan dapat diselaraskan lebih awal bagi memenuhi permintaan tersebut. Sebagai contoh, bagi projek Petrokimia Hengyi Fasa I, Kementerian Pendidikan telah mengadakan perbincangan bersama Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Brunei Economic Development Board, PPTM serta pihak Hengyi bagi meneliti secara khusus keperluan tenaga kerja bagi fasa pembinaan operasi projek tersebut.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh pihak industri, Kementerian Pendidikan melalui Universiti Brunei Darussalam, Politeknik Brunei dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei telah menyediakan 17 program pendidikan dan latihan yang relevan merangkumi 10 program bagi fasa operasi dan 7 program bagi fasa pembinaan projek tersebut. Sejak tahun 2018, seramai 2092 graduan tempatan telah berjaya menamatkan pengajian dalam program-program berkaitan dan menyumbang kepada penyediaan tenaga kerja tempatan bagi projek Hengyi.
Pendekatan kolaboratif ini menunjukkan bahawa perancangan tenaga kerja yang berpandukan keperluan industri serta kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan dan pelabur dapat memastikan penyediaan bakat tempatan yang lebih terarah. Berpandukan kejayaan Hengyi Fasa I, pendekatan ini kini dijadikan sebagai amalan terbaik dalam menyokong penyediaan tenaga kerja tempatan bagi Hengyi Fasa II serta projek-projek FDI yang lain.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengenai perlaksanaan Manpower Blueprint diwujudkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bersama pihak Pejabat Perancangan Tenaga Manusia bagi memastikan aspirasi Wawasan Brunei 2035 khususnya matlamat satu dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Perkara ini disokong dengan kerangka pemantauan dan pengukuran prestasi yang jelas;
Pertama, dari segi pengukur aspirasi di peringkat antarabangsa, kemajuan pembangunan modal insan negara dipantau melalui Global Talent Competitiveness Index ataupun GTCI iaitu satu indeks global yang menilai keupayaan sesebuah negara untuk membangun, menarik dan mengekalkan bakat yang berkualiti tinggi melalui beberapa dimensi utama seperti enable, attract growth, retain vocational and technical skills serta global knowledge skills;
Kedua, di peringkat nasional. Perlaksanaan Manpower Blueprint dipandu oleh satu struktur yang holistik merangkumi dan empat aspirasi utama iaitu: Pendidikan dan Latihan Dinamik, Rakyat yang siap siaga masa depan, Pembangunan modal insan yang efektif dan Pemudahcara sistem dokongan dan struktur. Tiga belas (13) hasil strategik dan 15 haluan dasar yang memandu perlaksanaan inisiatif. Enam (6) national key performance indicators ataupun NKPI yang memantau pencapaian pembangunan tenaga manusia di peringkat makro. Dan empat action key performances indicators AKPI yang memantau keberkesanan perlaksanaan inisiatif secara lebih terperinci di bawah setiap aspirasi. Struktur ini membolehkan kemajuan perlaksanaan Manpower Blueprint dipantau secara berperingkat, berasaskan data dan berfokus kepada hasil.
Ketiga, bagi memastikan Manpower Blueprint responsif cabaran masa hadapan, beberapa AKPI baharu juga telah diperkenalkan bagi memperkukuhkan pelaksanaan antaranya peratus pelajar institusi pengajian tinggi yang mempunyai kemahiran dalam teknologi baharu dan kelestarian bagi memastikan graduan dilengkapi kemahiran seperti artificial intelligence, data science dan inovasi hijau.
Program sahsiah pelajar yang mengukur tahap penglibatan aktif sekolah dalam pembangunan sahsiah kepimpinan dan nilai, pemantauan kes disiplin pelajar termasuk insiden buli, pergaduhan dan penyalahgunaan dadah bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat. Kadar belia NEET, Not in Employment, Education or Training bagi memantau golongan belia yang berisiko terpinggir daripada sistem pendidikan dan pasaran pekerjaan dan Indeks Kesediaan Smart Education, SERE yang menilai tahap kesiapsiagaan industri institusi pendidikan dalam menghadapi transformasi teknologi dan revolusi industri keempat.
Di samping itu, bagi beberapa indikator baharu ini, data tahun 2026 akan dijadikan sebagai penanda aras bagi memperkukuhkan pemantau berasaskan bukti ataupun evidence-based terhadap perlaksanaan Manpower Blueprint. Melalui pengukur aspirasi di peringkat global, struktur NKPI dan AKPI yang komprehensif serta indikator baharu yang lebih responsif terhadap keperluan masa hadapan, Insya Allah dengan izin-Nya jua Manpower Blueprint akan dapat dilaksanakan secara berkesan dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berdayasaing selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof dalam kenyataan Yang Berhormat telah menyarankan bagi penyelidikan dan innovasi dikukuhkan sebagai salah satu dasar kerajaan dengan meningkatkan peratus peruntukan bagi research and development, R&D dalam menyumbang kepada pembangunan negara.
Kementerian Pendidikan menyambut baik saranan tersebut dan sentiasa memanfaatkan peruntukan yang disediakan secara optima bagi menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan sosioekonomi negara. Salah satunya ialah Projek Innovasi Hub yang dilaksanakan oleh Universiti Brunei Darussalam melalui peruntukan Rancangan Kemajuan Negara Ke-12. Setakat ini UBD dan institusi pengajian tinggi awam tempatan telah menghasilkan penyelidikan yang hanya mampu mencapai tahap kesiapan teknologi ataupun technology readiness level TRL 4 sahaja.
TRL adalah satu kaedah untuk menganggarkan kematangan teknologi ataupun kesediaan penggunaan teknologi baharu. TRL 4 hingga 6 adalah peringkat pembangunan ataupun development and TRL 7 hingga 9 adalah peringkat pelaksanaan ataupun deployment. Untuk makluman, berikut adalah penyelidikan dalam kluster teknologi UBD yang mengandungi pattern yang telah mencapai sekurang-kurangnya technology readiness level TRL 4.
Yang pertama, biosensor and immunosensor, advanced functional materials, yang mana ianya berjaya dilesenkan. Tenaga bersih termasuk teknologi tenaga hydrogen dan inovasi dan peranti penjagaan kesihatan ataupun healthcare innovation and device. Project Innovation Hub UBD ini akan menyediakan makmal-makmal khusus yang berteknologi tinggi dilengkapi oleh kemudahan reka bentuk dan pembangunan prototype serta ruang penglibatan industri dan pejabat pemindahan teknologi. Ekosistem Innovation Hub UBD ini akan dijangka dapat meningkatkan TRL penyelidikan ke sekitar ke peringkat 8 atau 9 yang menjana inovasi dan menghasilkan teknologi baharu yang boleh diaplikasi dunia sebenar. Pihak UBD akan bekerjasama dengan institusi dan agensi yang berkepentingan termasuk Brunei Innovation Lab untuk mempromosi dan mengetengahkan teknologi yang dihasilkan. Ini seterusnya akan membawa kepada komersialan penjanaan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Merujuk kepada kenyataan Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee mengenai potensi sektor pelancongan. Kaola, saya ingin mengongsikan bahawa Kementerian Pendidikan bersama Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan sedang meneroka pembangunan pelancongan dan pendidikan sebagai satu sektor niche yang dapat menyokong perkembangan sektor pelancongan serta usaha kepelbagaian ekonomi negara selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dan Brunei Economic Blueprint.
Inisiatif ini memanfaatkan kekuatan serta pencapaian sistem pendidikan negara serta reputasi dan pengiktirafan global institusi pengajian tinggi tempatan.
Bagi memancu usaha ini satu task force pelancongan pendidikan telah ditubuhkan bagi merangka strategi serta membangun package program pelancongan pendidikan yang merangkumi program jangka pendek seperti kursus intensif bahasa dan program mobiliti pelajar, program jangka sederhana seperti kursus TVET dan mobiliti akademik serta program jangka panjang termasuk Program Ijazah, Ijazah berkembar, Ijazah Sarjana Muda II dan penyelidikan kolaboratif di antara kalangan institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa. Kehadiran pelajar antarabangsa melalui program-program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada institusi pendidikan malah turut menyumbang kepada sektor hospitaliti, pengangkutan dan aktiviti pelancongan tempatan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub dengan kenyataan Yang Berhormat telah menyokong usaha kerajaan dalam menangani perubahan iklim. Terima kasih atas pengamatan tersebut. Selain memberi tumpuan kepada mitigasi dan adaptasi, adalah juga penting untuk kita menekankan literasi iklim serta perubahan tingkah laku masyarakat dalam menangani cabaran perubahan iklim.
Dalam konteks ini, Pelan Pendidikan Hijau atau Greening Education Plan 2025–2035 yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 2025 merupakan komitmen kementerian untuk menerapkan prinsip kelestarian dalam keseluruhan ekosistem pendidikan negara, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035. Sehingga Mac 2026, sebanyak 92 inisiatif aktif sedang dilaksanakan di bawah dua fokus utama iaitu Pendidikan Kelestarian dan Operasi Mampan, merentasi semua peringkat pendidikan daripada prasekolah hingga pengajian tinggi. Usaha ini bertujuan memastikan generasi muda bukan sahaja memahami konsep kelestarian, malah memiliki kemahiran hijau yang relevan dengan keperluan masa hadapan.
Kementerian Pendidikan juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri melalui inisiatif Skills and Capacity for Alternative Low Carbon Energy, SCALE, bagi membangunkan tenaga kerja tempatan dalam sektor tenaga rendah karbon, termasuk dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga serta teknologi tenaga masa hadapan. Sebagai contoh, pelajar Politeknik Brunei dan IBTE telah mengikuti latihan industri solar di Projek Solar PV Kampung Belimbing.
Selain itu, satu inisiatif perintis pengurusan tenaga di sekolah-sekolah juga akan dilaksanakan bermula tahun ini dengan kerjasama Jabatan Tenaga, yang melibatkan audit tenaga serta latihan pengurusan tenaga kepada guru dan pelajar. Melalui pelaksanaan Greening Education Plan serta kerjasama strategik ini, Kementerian Pendidikan berharap dapat memperkukuh kesedaran dan amalan kelestarian, membangunkan laluan kerjaya hijau, serta memastikan sistem pendidikan negara terus menyokong agenda pembangunan mampan Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Demikianlah sahaja yang dapat kaola, saya kongsikan setakat ini. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sekian, wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Sekarang saya menjemput Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan
Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Alhamdulillah, kita panjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan rahmat, izin dan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat berkumpul bersama pada hari ini bagi Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bagi tahun 2026 bersamaan 1447.
Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam, keluarga Baginda, para sahabat, serta pengikut setia Baginda yang jujur dan taat hingga ke akhir zaman. Kita juga bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala atas kepimpinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang memastikan negara ini terus berada dalam keadaan aman, damai dan diberkati Allah Subhanahu Wata'ala.
Terlebih dahulu, kaola merakamkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas peluang untuk menyampaikan ulasan mengenai peruntukan Belanjawan Kementerian Kesihatan bagi Tahun Kewangan 2026/2027 di Dewan yang mulia ini.
Kaola ingin merujuk kepada Titah Perutusan Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena menyambut bulan Ramadan tahun ini, di mana Baginda bertitah mengenai betapa pentingnya menjaga kesihatan kerana ia adalah anugerah yang tidak ternilai. Kesihatan bukan sahaja amanah bersama dan membolehkan kita beribadah dan berkhidmat dengan lebih sempurna, malah turut menyumbang kepada perkembangan dan pertumbuhan sosioekonomi negara. Baginda seterusnya menegaskan bahawa menjaga kesihatan diri bererti juga menjaga kesejahteraan keluarga dan masyarakat, kerana tubuh yang sihat memberi ruang untuk kita terus berbakti dan menyumbang kepada pembangunan bangsa serta kesejahteraan ummah.
Titah Baginda ini sangat besar ertinya dalam konteks perbahasan Belanjawan Kementerian Kesihatan pada hari ini. Ia mengingatkan kita bahawa usaha memelihara sistem kesihatan negara adalah sebahagian daripada amanah dan satu keperluan asasi bagi memastikan perkhidmatan kepada orang ramai terus diperkukuh dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. Dalam masa yang sama, usaha ini juga selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035. Dengan tempoh menuju tahun 2035 yang semakin singkat, matlamat untuk mencapai kualiti kehidupan yang tinggi hanya dapat direalisasikan melalui sistem kesihatan yang kukuh, berdaya tahan dan mampan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Tema Kementerian Kesihatan bagi Tahun Kewangan 2026/2027 adalah ‘Sistem Penjagaan Kesihatan Yang Mampan’. Intipatinya bererti menggunakan sumber awam yang berhemah, menetapkan keutamaan dengan jelas, mengukuhkan kapasiti dalam negeri, mengurangkan pembaziran dan pada masa yang sama memastikan rakyat terus menerima rawatan yang berkualiti, selamat dan mudah diakses.
Bagi Tahun Kewangan 2026/2027, peruntukan bagi Kementerian Kesihatan ditetapkan sebanyak BND646,014,050 juta. Seperti sistem kesihatan negara yang lain di seluruh dunia, tekanan kos dalam sektor kesihatan akan terus meningkat dan memerlukan pengurusan yang lebih teliti, berhemah dan berpandangan jauh. Kos ubat-ubatan, bahan guna, teknologi dan peralatan perubatan terus meningkat dan berubah seiring dengan perkembangan semasa.
Keperluan penyelenggaraan fasiliti semakin besar dan pada masa yang sama, rawatan yang diperlukan oleh rakyat semakin rumit serta memerlukan kepakaran yang khusus, seiring dengan penuaan penduduk dan peningkatan penyakit-penyakit tidak berjangkit. Perlu juga diambil maklum bahawa perbelanjaan kesihatan negara kekal pada paras 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar ataupun KDNK, iaitu jauh lebih rendah berbanding dengan negara-negara jiran pada kadar sekitar 4 peratus hingga 4.5 peratus. Dalam keadaan sedemikian, pengurusan fiskal yang berhemah, penetapan keutamaan yang jelas dan penggunaan sumber secara optimal menjadi semakin penting bagi memastikan sistem kesihatan negara terus mampu menyampaikan perkhidmatan yang selamat, berkualiti dan berkesan.
Ini menunjukkan bahawa kecekapan dan kecemerlangan boleh berjalan dengan seiring. Pelaburan strategik dalam kesihatan awam, walaupun pada kadar perbelanjaan yang rendah, mampu membuahkan hasil yang berimpak tinggi kepada kesejahteraan rakyat. Ini telah pun dibuktikan dengan pencapaian peningkatan jangka hayat penduduk daripada 77.7 pada tahun 2019 kepada 79.1 bagi tahun 2024, selaras dengan haluan negara mengikut Wawasan Brunei 2035, untuk mencapai jangka hayat purata 82 tahun.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kementerian Kesihatan akan terus memikul tanggungjawab besar untuk memastikan rakyat dan penduduk negara ini dapat menikmati perkhidmatan yang menyeluruh. Ini termasuk penjagaan kesihatan asasi, rawatan pakar, perkhidmatan makmal diagnostik, kawalan penyakit berjangkit, pengurusan penyakit tidak berjangkit, sokongan kesihatan mental, rawatan tertiary serta kesiapsiagaan kecemasan termasuk wabak penyakit.
Salah satu komponen yang memberi tekanan paling besar kepada Belanjawan Kementerian Kesihatan ialah Rawatan Perubatan Luar Negara. Bagi Tahun Kewangan 2026/2027, sejumlah BND159,500,000 juta dipohonkan bagi menampung rawatan pesakit yang dirujuk ke luar negara serta ke institusi tertentu seperti Pusat Pakar di JPMC dan GJPMC Cardiac Centre. Peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat terus mendapat akses kepada rawatan yang diperlukan, termasuk rawatan kepakaran yang belum tersedia sepenuhnya di dalam negara.
Kaola juga mengambil maklum bahawa kos rawatan pakar dan ubat-ubatan tertentu kekal tinggi. Antaranya disebabkan bilangan vendor yang terhad bagi beberapa jenis bekalan dan rawatan. Sehubungan dengan ini, perbincangan sedang diteruskan bersama Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Kesihatan dan Universiti Brunei Darussalam, di samping penerokaan persefahaman dengan negara-negara jiran.
Usaha ini penting untuk membantu mengurangkan tekanan kos dan seterusnya meringankan beban rakyat. Keadaan ini juga mengingatkan kita bahawa keupayaan rawatan tertiary dalam negara mesti terus diperkukuh. Setiap bidang kepakaran yang berjaya dibangunkan di dalam negara ini akan membantu mengurangkan kebergantungan kepada rujukan luar negara secara langsung meningkatkan keupayaan sistem kesihatan agar lebih banyak rawatan dapat disediakan di negara ini.
Seterusnya mengurangkan tekanan kos, memudahkan pesakit serta keluarga mereka. Dalam usaha memperkukuh kemampuan fiskal, Kementerian Kesihatan juga telah melaksanakan pengemaskinian Skim Pembayaran Perkhidmatan Kesihatan untuk memastikan subsidi awam diurus dengan lebih terkini selaras dengan perkembangan dan teknologi perubatan serta adil, tepat dan optimal.
Yang Berhormat Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Keutamaan seterusnya ialah tenaga kerja kesihatan. Tidak ada sistem kesihatan yang kukuh tanpa tenaga kerja yang cukup dan terlatih. Setakat ini, jumlah doktor yang berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan ialah 845 orang dengan 55 peratus antaranya adalah anak tempatan.
Manakala jumlah jururawat seramai 2,816 orang dimana sebanyak 94 peratus adalah anak tempatan serta seramai 460 orang pegawai kesihatan bersekutu ataupun Allied Health Professionals, AHP dalam pelbagai bidang yang juga sebagai salah satu daripada tunggak utama penjaga kesihatan yang mana semua adalah tempatan. Nisbah semasa di Negara Brunei Darussalam bagi setiap 1000 penduduk ialah sekitar 1.9 doktor dan 6.1 jururawat. Berbanding purata nisbah secara global menurut World Health Organization bagi setiap 1000 penduduk sekitar 1.7 doktor dan 3.6 ke 3.9 jururawat.
Usaha untuk menambahbaik nisbah tenaga kerja masih lagi diutamakan dimana pihak Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan kementerian dan institusi yang berkenaan di dalam mendedahkan dan menggalakkan kerja kesihatan kepada penuntut-penuntut sekolah.
Walau bagaimanapun ianya tidak boleh tertumpu kepada pengambilan semata-mata. Ianya juga meliputi pembangunan kepakaran, latihan berterusan, peningkatan kompetensi, laluan perkembangan profesional dan susunan perjawatan yang optimal. Pada masa yang sama, cabaran penempatan dan pengisian jawatan pakar masih perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh khususnya berikutan perletakan jawatan dalam kalangan tenaga pakar. Sebuah jawatankuasa pengambilan telah ditubuhkan namun respon yang diterima masih terhad memandangkan persaingan pasaran yang semakin sengit.
Perkara ini menunjukkan bahawa pengukuhan tenaga kerja kesihatan kekal sebagai cabaran kritikal yang memerlukan tindakan berterusan. Pelaburan dalam latihan dan kepakaran amat penting dari segi meningkatkan kemahiran dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga luar dalam jangka panjang. Seramai 168 orang profesional kesihatan terdiri daripada doktor, AHP dan jururawat yang dianugerahkan Skim Latihan Dalam Perkhidmatan untuk menjalani kursus dalam pelbagai peringkat latihan di dalam dan luar negeri dalam tempoh 2020 sehingga 2025.
Dalam jumlah ini, 10 orang doktor telah menamatkan latihan kepakaran lanjutan dalam bidang kepakaran yang berlainan.
Bagi Tahun Kewangan 2026/2027 pula sebanyak BND1.1 juta telah diluluskan bagi pembangunan sumber manusia sektor kesihatan.
Selain sumber manusia, penggunaan sumber secara lebih cekap juga terus diperkukuh melalui pendekatan strategic purchasing dan pembelian secara berpusat bagi ubat-ubatan, bahan guna habis perubatan, peranti perubatan serta peralatan tertentu. Pengurusan perolehan yang lebih tersusun akan membantu mengawal pembaziran, mengurangkan pertindihan dan memperbaiki perancangan bekalan kerana setiap dolar Brunei yang dibelanjakan mesti memberikan nilai yang terbaik kepada negara.
Yang Berhormat Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Tumpuan kepada rawatan semata-mata adalah tidak memadai. Keutamaan juga perlu diberikan kepada pencegahan termasuk vaksinasi, promosi kesihatan dan pengesanan awal melalui saringan penyakit. Program saringan kebangsaan adalah antara pelaburan yang paling penting dalam usaha mengurangkan beban penyakit dan kos rawatan pada masa depan. Semakin awal penyakit dikesan, maka lebih segera tindakan intervensi dapat diambil. Langkah ini bukan sahaja memberikan hasil rawatan yang berkesan malah menghindarkan risiko komplikasi yang memerlukan perbelanjaan tinggi.
Kementerian Kesihatan telah memperuntukkan lebih BND4 juta bagi program promosi kesihatan dan pencegahan penyakit-penyakit tidak berjangkit yang mana pecahan peruntukan tersebut adalah sebanyak 63 peratus untuk program promosi kesihatan manakala 37 peratus lagi diperuntukkan bagi usaha pencegahan penyakit tidak berjangkit termasuk pelaksanaan program saringan. Antara saringan yang terus diperkukuh ialah Diabetic Retinopathy.
Sejak perlaksanaannya pada tahun 2024, seramai 25,999 individu telah menjalani pemeriksaan dan daripada jumlah tersebut 2,731 kes dikenalpasti memerlukan rujukan lanjut. Ini bermakna kira-kira 1 daripada setiap 10 orang ataupun 10 peratus yang menjalani saringan memerlukan rawatan untuk menyelamatkan penglihatan bagi mencegah daripada buta.
Teknologi kecerdasan buatan AI ini membantu mengenalpasti pesakit-pesakit kencing manis yang berisiko tinggi untuk mendapatkan rawatan awal dan tepat pada masanya. Program saringan ini bukan saja meningkatkan akses kepada saringan mata malah membantu mengurangkan risiko buta yang boleh dielakkan dalam kalangan pesakit-pesakit kencing manis di negara ini.
Bagi saringan Human Papillomavirus, HPV, sehingga November 2025 seramai 10,750 wanita telah menjalani ujian dan 7.9 peratus didapati mempunyai HPV berisiko tinggi. Keseluruhan saringan telah mencatatkan peningkatan yang ketara pada tahun 2024 dan tahun 2025, peningkatan sebanyak 56.8 peratus wanita telah disaring.
Manakala bagi saringan kanser payudara seramai 13,061 wanita telah menjalani pemeriksaan dari November 2019 hingga November 2025. Jumlah wanita yang menjalani saringan telah meningkat sebanyak 75 peratus iaitu daripada 1,512 wanita disaring pada tahun 2022 kepada 2,640 wanita pada tahun 2025.
Selain itu, dari tahun 2019 hingga tahun 2025 seramai 2,801 individu telah menjalani saringan risiko kardiovaskular. Dari segi saringan terdapat peningkatan sebanyak 85 peratus iaitu seramai 556 individu disaring pada tahun 2025 berbanding 300 individu pada tahun 2022. Manakala dari tahun 2019 hingga 2025, 1,445 individu telah menjalani saringan kanser kolorektal yang mana menunjukkan kenaikan sebanyak 119 peratus dari 234 individu pada tahun 2022 kepada 513 individu pada tahun 2025. Sejajar dengan usaha tersebut, kempen kesedaran kesihatan juga terus dipertingkatkan dari tahun ke setahun.
Pendekatan melalui masyarakat memupuk kesedaran dan menggalakkan tindakan awal terus diberi perhatian. Kerana pencegahan yang berkesan bukan hanya bergantung kepada perkhidmatan klinikal, tetapi juga kefahaman dan tindakan awal orang ramai sendiri.
Yang Berhormat Pehin Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kementerian Kesihatan kini mengiktiraf obesiti secara rasmi sebagai salah satu Penyakit Tidak Berjangkit di Negara Brunei Darussalam. Langkah ini penting kerana obesiti tidak lagi boleh dilihat hanya sebagai isu gaya hidup semata-mata. Ia adalah faktor risiko utama kepada penyakit diabetes, kardiovaskular, hipertensi, strok dan beberapa jenis kanser yang semuanya memberi tekanan besar kepada kesihatan rakyat dan juga kepada belanjawan negara.
Dari sudut fiskal, kajian menunjukkan beban obesiti pada ekonomi dianggarkan mencecah USD130 juta pada tahun 2019 bersamaan 1 peratus daripada KDNK, dan diunjurkan meningkat kepada 2.2 peratus daripada KDNK menjelang 2035 jika tidak ditangani dengan lebih berkesan. Ini bererti jika tindakan awal tidak diperkukuh, negara akan terus menanggung kos yang lebih besar dalam bentuk rawatan diabetes, penyakit jantung, strok, kegagalan buah pinggang, kehilangan produktiviti dan pelbagai komplikasi lain yang boleh dicegah. Selain menubuhkan Obesity Task Force pada tahun 2024, Kementerian Kesihatan telah mengambil satu langkah bersejarah dalam memperkukuh respons nasional terhadap obesiti dengan menjadi Negara Anggota WHO pertama di dunia yang merintis Kursus Penjagaan Kronik Obesiti WHO yang baharu melalui pendekatan Penjagaan Kesihatan Asasi.
Pengurusan obesiti sedang dan akan terus diperkukuh secara lebih teratur, berasaskan bukti dan selaras dengan keperluan sistem kesihatan semasa.
Tambahan itu pula, Persidangan antarabangsa mengenai Penyakit-Penyakit Tidak Berjangkit ataupun NCD yang telah diadakan pada Oktober 2025 telah mencatatkan penglibatan yang amat memberangsangkan, dengan anggaran mencecah 26,000 kunjungan. Persidangan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam agenda NCD di peringkat antarabangsa, malah ia juga membuka ruang kepada negara untuk memanfaatkan jaringan pengetahuan, perkongsian amalan terbaik dan kerjasama teknikal bagi menyokong pelaksanaan dasar-dasar baharu dalam pengurusan penyakit tidak berjangkit.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Isu kesihatan mental juga merupakan cabaran kesihatan awam yang semakin mendapat perhatian di peringkat global dan juga di Negara Brunei Darussalam. Menurut WHO, hampir 1 bilion individu di seluruh dunia mengalami gangguan mental. Di Negara Brunei Darussalam, jumlah individu yang menerima rawatan kesihatan mental meningkat sebanyak 17 peratus daripada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya. Perkhidmatan Psikiatri Dewasa di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha mencatatkan sekitar 35 hingga 49 kes baharu serta kira-kira 800 kes susulan setiap bulan.
Manakala Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja menerima sekitar 10 kes baharu dan 50 kes susulan setiap bulan. Manakala Perkhidmatan Psikologi menerima jumlah purata kes baharu seramai 500 ke 600 seorang. Bagi menangani perkara ini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Negara Brunei Darussalam 2022-2025 di mana 28 daripada 32 inisiatif utama telah dilaksanakan setakat penghujung tahun 2025.
Selain itu, sebanyak 229 aktiviti capaian masyarakat telah dijalankan bagi meningkatkan kesedaran dan literasi kesihatan mental termasuk pengenalan kursus latihan asas kesihatan mental untuk pimpinan masyarakat khususnya untuk ketua-ketua kampung dan penghulu-penghulu mukim dari keempat daerah yang mana merupakan hasil kerjasama erat kementerian dengan stakeholders-stakeholders relevan dan berkepentingan iaitu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, khususnya Unit Kaunseling dan Kefahaman Ugama dan Pusat Dakwah Islamiah dan dengan sokongan daripada Universiti Sultan Sharif Ali, UNISSA. Ini adalah bagi membantu menghakis stigma sosial kepada mereka yang mengalami masalah ataupun penyakit mental serta memperkukuh sokongan awal di peringkat komuniti.
Insya Allah usaha-usaha ini akan diteruskan diperkukuhkan lagi melalui Pembangunan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Brunei Darussalam Versi 2.0 dalam masa terdekat ini bagi memperkukuh hala tuju dasar dan strategik kesihatan mental negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Keutamaan lain yang juga penting dalam menyokong kemampanan sistem ialah transformasi digital. Dalam sektor kesihatan, pendigitalan bukan sekadar soal pemodenan sistem, kecekapan aliran kerja, integrasi data, pengurangan pertindihan, pengurusan sumber dan pengalaman pesakit. Bru-HIMS 2.0 dijadualkan untuk dilaksanakan sekitar Oktober 2026 dengan ujian fasa rintis di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Sistem ini dijangka memperkukuh kestabilan sistem integrasi data dan keselamatan siber sekaligus membantu perkhidmatan kesihatan berjalan dengan lebih tersusun dan lebih cekap.
Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan berharap orang ramai akan memberikan kerjasama, kefahaman dan kesabaran apabila sistem baharu ini mula beroperasi kerana penambahbaikan yang besar lazimnya memerlukan tempoh penyesuaian pada peringkat awal, semoga manfaatnya dapat dirasai oleh semua pihak. Begitu juga dengan penggunaan aplikasi BruHealth bagi tempahan perjanjian dan sistem pengurusan giliran di beberapa fasiliti kesihatan. Inisiatif seperti ini mungkin kelihatan kecil dari sudut operasi tetapi memberikan impak yang besar. Ianya membantu mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan, memperbaiki pengurusan masa, memudahkan pesakit dan menyokong penggunaan sumber yang lebih baik. Dalam jangka panjang sistem yang lebih bersepadu akan membantu kementerian merancang penggunaan peruntukan dan tenaga kerja yang lebih tepat.
Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan juga mengambil maklum bahawa kesibukan di beberapa hospital dan fasiliti kesihatan sebahagiannya berpunca daripada kehadiran pesakit bagi penyakit ringan yang boleh ditangani lebih awal dengan panduan yang sesuai. Oleh itu, literasi kesihatan akan terus diperkukuh dan aplikasi kecerdasan buatan dalam BruHealth dijangka diperkenalkan pada suku ketiga tahun 2026 bagi membantu orang ramai mendapatkan panduan awal dan membuat keputusan yang lebih sesuai sebelum hadir ke fasiliti kesihatan.
Pendekatan ini diharap akan menyokong penggunaan perkhidmatan yang lebih teratur, lebih cekap dan lebih berkesan. Dalam aspek tadbir urus pengukuhan ekosistem data yang lebih tersusun, selamat dan boleh dipercayai juga sangat penting. Data yang lebih tepat membantu perancangan peruntukan yang lebih baik mengelakkan lebihan atau kekurangan bekalan, memudahkan pemantauan penggunaan sumber dan menyokong keputusan yang lebih berasaskan bukti.
Dalam suasana kos yang meningkat, kecekapan seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana kelemahan pada peringkat sistem akhirnya akan menjejaskan masa, wang dan mutu perkhidmatan kepada orang ramai. Bagi menyokong infrastruktur dan aset kesihatan, perbelanjaan kemajuan melebihi BND11 juta telah diperuntukan. Ini termasuk pemeliharaan bangunan, pembelian dan pajakan aset perubatan dan yang telah usang serta kerja-kerja penaiktarafan yang berkaitan. Pendekatan ini, amat penting kerana menyelenggara aset lebih awal adalah jauh lebih bermanfaat dan berhemat daripada menunggu kerosakan menjadi lebih besar dan lebih mahal untuk dipulihkan.
Antara projek yang terus diambil perhatian termasuk Hospital Suri Seri Begawan. Pembinaan blok baru Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, pembinaan Pusat Kesihatan Mengkubau, pembinaan Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan dan pembinaan blok baharu makmal rujukan. Projek-projek ini bukan sahaja penting untuk menampung keperluan semasa tetapi juga memperkukuh kapasiti sistem kesihatan negara dalam jangka panjang.
Dalam mengukuhkan perkhidmatan kecemasan, Kementerian Kesihatan juga telah menambah 7 ambulans baharu terdiri daripada 2 ambulans penjagaan intensif dengan sistem tekanan negatif dan 5 ambulans pacuan 4 roda. Ini ialah langkah yang sangat praktikal kerana keupayaan respons kecemasan yang cepat dan berkesan memberi impak langsung kepada keselamatan pesakit, khususnya bagi pesakit yang dalam kritikal di kawasan pedalaman dan dalam situasi yang tertentu dan mencabar.
Dari segi aspek kesiapsiagaan kesihatan awam pula, pengiktirafan antarabangsa terhadap keupayaan makmal juga amat penting. WHO telah mengiktiraf National Virology Reference Laboratory sebagai National Influenza Centre dan makmal rujukan baru turut mencapai akreditasi sebagai WHO National Measles and Rubella Laboratory. Dua pengiktirafan ini mengukuhkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman wabak serta memberi akses kepada sokongan teknikal latihan kepakaran dan maklumat epidemiologi global.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat.
Dalam mengurus tekanan ke atas sistem awam, Kementerian Kesihatan juga terus memperkasa kerjasama dengan sektor swasta secara berhemah. Pertumbuhan klinik swasta juga semakin berkembang dan boleh membantu mengurangkan tekanan ke atas kemudahan Kerajaan dalam bidang-bidang yang tertentu yang bersesuaian. Pada tahun 2025 terdapat 62 klinik perubatan swasta dan 9 klinik pergigian swasta di negara ini, meningkat berbanding 35 klinik perubatan dan 3 klinik pergigian 5 tahun sebelumnya.
Pendekatan seperti Public-Private Partnership, antaralain seperti Perkhidmatan Renal Hemodialysis, menunjukkan bahawa kerjasama dengan sektor swasta boleh membantu meneruskan perkhidmatan kritikal tanpa membebankan sepenuhnya belanjawan awam. Kaola berpendapat bahawa pendekatan ini perlu diteruskan secara teratur. Kerajaan tetap memikul tanggungjawab utama dalam memastikan perkhidmatan asas dan kritikal dapat diakses oleh semua lapisan rakyat.
Namun dalam bidang-bidang tertentu yang bersesuaian, kerjasama yang baik dengan sektor swasta boleh menyumbang kepada kecekapan pemberian perkhidmatan yang lebih tinggi, pilihan yang lebih luas dan penggunaan sumber awam yang lebih tertumpu kepada bidang yang paling memerlukan sokongan subsidi kerajaan. Di peringkat antarabangsa dan serantau, penglibatan aktif Negara Brunei Darussalam dalam WHO dan ASEAN turut memberi manfaat praktikal kepada negara khususnya dari segi akses kepada sokongan teknikal, perkongsian amalan terbaik, pengukuhan kesiapsiagaan kesihatan awam dan pembangunan dasar yang lebih berasaskan bukti.
Dalam hubungan ini, anggota Negara Brunei Darussalam dalam Lembaga Eksekutif WHO adalah penting kerana ia memberi peluang kepada negara untuk ikut serta dalam membentuk hala tuju kesihatan global di samping memastikan kepentingan negara terus terpelihara dalam setiap perbincangan teknikal dan dasar.
Pada tahun ini juga, Negara Brunei Darussalam akan sekali lagi mempengerusikan Mesyuarat ASEAN Health Cluster 3 bagi membentuk program kerja 2026 hingga 2030. Peranan ini penting untuk memperkukuh kerjasama serantau ke arah sistem kesihatan lebih berdaya tahan dan responsif terhadap keperluan semasa termasuk dalam pengukuhan sistem kesihatan melalui sumber manusia kesihatan, pembiayaan serta pembangunan dasar bagi memastikan liputan kesihatan sejagat, UHC menjelang tahun 2030. Akses kepada perkhidmatan dan ubat-ubatan dengan meningkatkan akses kepada ubat yang penting, vaksin serta perubatan tradisional/komplementari.
Peningkatan inovasi dan teknologi yang menggalakkan teknologi kesihatan digital dan memperkukuhkan Health Technology Assessment (HTA) bagi menyokong pembuatan keputusan berasaskan bukti, memastikan penyediaan penjagaan kesihatan yang saksama kepada kumpulan rentan iaitu wanita, kanak-kanak dan pekerja migran.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Apabila semua ini dilihat secara menyeluruh maka jelaslah bahawa peruntukan bagi Kementerian Kesihatan bukanlah sekadar untuk menampung kos operasi tahunan. Belanjawan ini adalah untuk memastikan rakyat terus mendapat rawatan apabila memerlukan, untuk memperluas pencegahan sebelum penyakit menjadi lebih berat, untuk membangunkan kapasiti tempatan, untuk meningkatkan kecekapan sistem dan untuk melindungi kemampanan perkhidmatan kesihatan negara dalam jangka panjang. Kelewatan dalam penyelenggaraan akan membawa kepada kerosakan yang lebih besar dan secara langsung menjejaskan perkhidmatan optima yang dapat diberikan kepada pesakit. Kekurangan pelaburan dalam latihan dan kepakaran akan menyebabkan negara terus bergantung kepada sumber luar.
Jika pencegahan dan saringan tidak diperkukuh, kos rawatan pada masa hadapan akan meningkat dengan lebih ketara. Begitu juga jika pembaharuan sistem terus dilengahkan, ketidakcekapan akan berterusan dan akhirnya membebankan petugas serta menyusahkan pesakit. Sebab itu kemampanan sistem kesihatan bukan hanya soal menjimatkan perbelanjaan, ia adalah soal membelanjakan dengan rasional dan tepat pada masanya dan pada bidang yang benar-benar memberikan kesan.
Apabila semua perkara ini dilihat secara menyeluruh maka jelaslah bahawa peruntukan bagi Kementerian Kesihatan bukanlah sekadar untuk menampung kos operasi tahunan. Belanjawan ini adalah untuk memastikan rakyat terus mendapat rawatan apabila memerlukan, untuk memperluas pencegahan sebelum penyakit menjadi lebih berat, untuk pembangunan kapasiti tempatan, untuk meningkatkan kecekapan sistem dan untuk melindungi kemampanan kesihatan negara dalam jangka panjang.
Sebagai penutup, bagi menyokong kenyataan belanjawan serta hala tuju yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, kaola ingin menegaskan sekali lagi bahawa peruntukan yang dipohonkan bagi Kementerian Kesihatan bagi Tahun Kewangan 2026/2027 adalah ke arah memastikan rakyat terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan berterusan.
Di samping memperkukuh keupayaan sistem untuk menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan. Sebagaimana yang telah kaola petik pada awal ucapan tadi daripada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam “kesihatan adalah anugerah yang tidak ternilai dan amanah bersama”. Dalam konteks inilah peruntukan bagi sektor kesihatan perlu difahami iaitu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab bersama untuk memelihara kesejahteraan rakyat dan memperkukuh sistem kesihatan negara.
Dalam hubungan ini, kaola juga ingin mengingatkan diri kaola sendiri dan semua yang hadir kepada sabda berikut: Dari Ibnu Abbas radhiyallahu anhuma, Rasulullah s.a.w bersabda: “Dua nikmat yang kebanyakan orang sering terpedaya olehnya ialah kesihatan dan masa lapang” hadis riwayat Imam Al-Bukhari.
Mudah-mudahan hadis ini terus mengingatkan kita bahawa nikmat kesihatan mestilah dipelihara, dihargai dan dimanfaatkan sebaiknya.
Akhir sekali marilah kita sama-sama memohon doa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan kesejahteraan serta perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala dan semoga baginda terus memimpin Negara Brunei Darussalam dengan penuh kebijaksanaan dan keberkatan.
Sekian yang disampaikan Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Kesihatan. Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II. Silakan Pehin.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dirahmati Allah yang peramba, kaola saya hormati.
Terlebih dahulu izinkan peramba, kaola, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas peluang untuk menyampaikan ulasan berkaitan keutamaan belanjawan Jabatan Perdana Menteri bagi Tahun Kewangan 2026/2027 di Dewan yang mulia ini.
Dikesempatan awal ini, peramba, kaola, saya bagi pihak Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya dengan penuh hormat dan takzim sukacita menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas kurnia perkenan bagi penyediaan peruntukan sebanyak BND543,640,540.00 iaitu sebanyak BND319,635,230.00 bagi Gaji Kakitangan dan sebanyak BND224,531,000.00 bagi Perbelanjaan Berulang-Ulang.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sukacita memaklumkan bahawa anggaran perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya dirangka dengan memberikan tumpuan kepada matlamat dan keutamaan belanjawan yang mendukung tema belanjawan negara Tahun Kewangan 2026/2027 iaitu Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035.
Jabatan Perdana Menteri sebagai agensi utama dalam menerajui dan menyelaras pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan menjunjung tinggi hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi memperkukuh tahap penyampaian perkhidmatan awam sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara yang berdaya tahan dan mampan serta memastikan kepentingan, keamanan dan keharmonian negara sentiasa terpelihara demi kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini.
Alhamdulillah, Jabatan Perdana Menteri telah berpeluang mengadakan sesi muzakarah bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat pada 13 Januari yang lalu dan telah mengongsikan secara terperinci perkembangan terkini kedudukan semasa dan pelbagai inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Perdana Menteri khususnya yang berkaitan dengan Pertama, Wawasan Brunei 2035. Kedua, Pembangunan Tenaga Manusia dan Peluang-Peluang Pekerjaan. Ketiga, Sekuriti dan Undang-Undang. Keempat, Urus Tadbir Perkhidmatan Awam. Dan Kelima, Hal-Ehwal berkaitan Sektor Tenaga.
Pada sesi permuzakarahan berkenaan, alhamdulillah, Ahli-Ahli Yang Berhormat telah mengambil peluang untuk menyampaikan suara-suara rakyat seterusnya memberikan pandangan yang bernas dan cadangan yang membina bagi memperkukuh pelaksanaan dasar-dasar strategik kerajaan dan meningkatkan keberkesanan inisiatif yang sedang dijalankan.
Jabatan Perdana Menteri amat menghargai komitmen dan keprihatinan, pandangan dan saranan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dijadikan asas dalam menyempurnakan perancangan dan tindakan kerajaan serta memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi hasil yang konkrit dan manfaat yang nyata dan impak besar kepada rakyat dan negara.
Peramba, kaola, saya penuh percaya bahawa isu-isu yang melibatkan kepentingan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat tidak harus ditangguhkan. Jabatan Perdana Menteri penuh komited untuk memberikan maklum balas yang tepat dan segera bagi memastikan setiap cadangan dan kemusykilan Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat diteliti dan ditangani dengan berkesan berpaksikan kepada teras utama Wawasan Brunei 2035 iaitu pendidikan, kualiti hidup dan pembangunan ekonomi dengan iltizam dalam memastikan negara terus maju seiring dengan perubahan global dengan menekankan pendekatan satu kerajaan dan senegara.
Sehubungan itu, Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya telah merangka pelaksanaan anggaran perbelanjaannya berpandukan kepada tiga keutamaan belanjawan negara yang telah ditetapkan.
Dalam mendukung keutamaan belanjawan yang pertama iaitu memperkukuh kestabilan fiskal dan tadbir urus kewangan, Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya akan terus melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan pengurusan kewangan kerajaan dilaksanakan secara berhemah, berdisiplin dan berintegriti. Penekanan akan terus diberikan kepada prinsip value for money bagi setiap peruntukan agar perbelanjaan kerajaan memberikan manfaat optimum kepada pertumbuhan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat dan penduduk secara berterusan.
Sehubungan itu, pelbagai program dan inisiatif akan dilaksanakan bagi memperkukuh amalan tadbir urus kewangan yang cemerlang dan meningkatkan keberkesanan penyampaian sektor awam selaras dengan program pengukuhan fiskal negara. Dalam masa yang sama, Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Audit dan Unit Audit Dalaman akan terus melaksanakan pengauditan terhadap akaun-akaun yang dikenal pasti bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan kewangan, prosedur yang ditetapkan serta surat-surat keliling yang berkuatkuasa sekaligus memelihara tahap akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan kerajaan.
Di samping itu, usaha memperkukuh pengurusan fiskal yang cekap, telus dan berakauntabiliti akan terus dipertingkatkan bagi memastikan tadbir urus kewangan negara kekal mampan dan berdaya tahan. Sebagai sebahagian daripada langkah meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan, Jabatan Perdana Menteri melalui Jawatankuasa Keselamatan Negara melaksanakan pendekatan perolehan secara berskala besar melalui kaedah Fiscal Consolidation bagi mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan negara.
Dalam hubungan ini, belanjawan Tahun Kewangan 2026/2027 menyediakan peruntukan bagi fasa pertama projek penyewaan 534 buah kenderaan untuk kegunaan Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Biro Kawalan Narkotik dan Jabatan Pengangkutan Darat yang juga akan diperluaskan kepada agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang lain dalam masa terdekat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Beralih kepada keutamaan belanjawan kedua iaitu ‘Memperkasa Ekonomi Melalui Transformasi dan Inovasi’. Jabatan Perdana Menteri akan terus memfokuskan kepada usaha-usaha meningkatkan kecemerlangan pengangkutan awam dengan berpaksikan tiga skop utama iaitu pertama, Warga kerja, People; Kedua, Organisasi, Organization; dan Ketiga, Perkhidmatan-Perkhidmatan, Services.
Ini adalah selaras dengan peranan perkhidmatan awam sebagai pemangkin kepada pembangunan dan kemajuan negara merentasi semua sektor kerajaan melalui pembangunan kapasiti dan kompetensi sumber manusia, peningkatan kecekapan organisasi dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
Justeru dalam usaha menerapkan budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan awam, maka Anugerah Inovasi Perdana, AIP yang diadakan setiap tahun masih saja dilaksanakan, terbuka kepada semua warga perkhidmatan awam termasuk projek Kerjasama Strategik Kerajaan-Swasta, PPP, AIP menilai inovasi berdasarkan keberkesanan dan signifikan jangka panjang sekaligus menjadikan hasil projek sebagai amalan terbaik serta sandaran kepada semua agensi kerajaan.
Usaha ini terus digandingi dengan peningkatan kecemerlangan kepimpinan atau leadership excellence khususnya melalui program Civil Service Leadership Pipeline, CSLP bagi memastikan kesinambungan kepimpinan sektor awam. Ini termasuklah pelaburan pembangunan kapasiti dan kompetensi perkhidmatan awam menerusi program-program kerjasama antarabangsa serta merapatkan rangkaian kerjasama dengan institut-institut latihan luar negara.
Inisiatif seperti seminar perundangan juga dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri bersama Pejabat Peguam Negara bagi meningkatkan tahap celik undang-undang di kalangan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan supaya bersedia dan berkeupayaan untuk menghadapi dan menangani isu perundangan di kementerian atau jabatan masing-masing. Sementara prestasi organisasi dan keberkesanan tadbir urus perkhidmatan awam juga terus dipantau terutamanya menerusi program Penggredan Prestasi Sektor Awam melalui penerapan Bintang, 3PSA.
Khusus ke arah memastikan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan, Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Perkhidmatan Pengurusan bekerjasama rapat dengan Bahagian Industry and Business Ecosystem, IBE, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam mengenal pasti dan menangani setiap jurang yang terdapat berkaitan strategi, dasar dan proses dalam perkhidmatan awam yang boleh menjejaskan pembangunan, perindustrian dan ekosistem perniagaan.
Dalam perkara berkaitan, Jabatan Perdana Menteri akan terus menerajui Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam, JTPA dalam merangka hala tuju yang jelas bagi menghasilkan dasar, strategi dan inisiatif yang komprehensif demi mempertingkatkan kecemerlangan perkhidmatan awam. Ini merangkumi usaha membudayakan semangat penambahbaikan secara berterusan di semua peringkat organisasi selaras dengan tuntutan dan cabaran semasa yang semakin kompleks. Melalui pendekatan yang lebih terancang dan bersepadu, Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam berperanan penting dalam memastikan setiap lapisan perkhidmatan awam berupaya menyampaikan perkhidmatan yang responsif, cekap dan berkualiti tinggi kepada rakyat.
Jabatan Perdana Menteri melalui Pejabat Perancangan Tenaga Manusia juga sedang membangun Labour Market Information System, LMIS yang bersepadu sebagai satu inisiatif strategik dalam memperkasa ekonomi negara melalui penerapan inovasi. Sistem ini akan mendukung usaha perancangan tenaga kerja secara komprehensif serta menyediakan unjuran yang lebih tepat mengenai peluang pekerjaan dan keperluan kemahiran pada masa hadapan.
Pusat Pekerjaan Brunei dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi juga sedang mengusahakan projek pendigitalan Clearance Letter Application Management Module di bawah Projek National Business Service Platform melalui pendigitalan proses pemprosesan, permohonan dan pengurusan clearance letter bagi memperkukuh aliran kerja dan penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif dalam mendukung transformasi ekonomi negara.
Pembangunan sektor hiliran minyak dan gas turut memainkan peranan penting dalam mempelbagaikan ekonomi negara melalui penghasilan produk bernilai tambah selaras dengan kedudukannya sebagai salah satu sektor keutamaan di bawah Economic Blueprint. Antara kemajuan penting termasuk kemajuan projek-projek baharu bagi penghasilan produk bernilai tambah seperti Acetic Acid, Aniline dan Formaldehyde serta pencapaian Financial Plan Approval bagi meneruskan kemajuan pembangunan Pulau Muara Besar Fasa II.
Yang berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Berhubung keutamaan belanjawan ketiga iaitu ‘Menjamin Kelestarian Sosial dan Pembangunan Masa Depan’. Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya serta pihak-pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan dan swasta akan terus bertindak merangka strategi untuk memelihara kestabilan politik, mempertahankan kedaulatan negara serta menghubungkan keupayaan pertahanan dan keupayaan diplomatik dan juga persediaan negara dalam menangani ancaman keselamatan.
Ini termasuklah dalam meningkatkan kerja-kerja pembenterasan jenayah dan pengukuhan keupayaan agensi-agensi berkepentingan dalam mengendalikan krisis nasional dan merentas sempadan. Di samping itu, Jabatan Perdana Menteri akan terus mengungkayahkan pelbagai usaha untuk memelihara kedaulatan undang-undang sambil memperkukuhkan akses keadilan, access to justice.
Bagi memperkukuhkan lagi keupayaan agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan negara, beberapa inisiatif peningkatan kapasiti terus dilaksanakan secara berperingkat. Antara langkah yang sedang diambil termasuk usaha mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respond time agensi-agensi keselamatan dalam menangani sebarang insiden yang dilaporkan. Langkah ini bagi memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara di samping mendukung usaha kerajaan dalam menjamin kelestarian sosial serta kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran masa depan.
Berikutan itu, kursus advokasi telah dikendalikan bersama pihak mahkamah dan pengamal-pengamal perundangan bagi menghalusi kemahiran advokasi praktikal bakal pengamal baru. Inisiatif sedemikian adalah selaras dengan meningkatkan akses keadilan, access to justice di Negara Brunei Darussalam iaitu dengan memastikan pengamal-pengamal baharu mempunyai kemahiran dan kompetensi bagi menyumbang ke arah menegakkan kedaulatan undang-undang.
Dalam aspek tenaga manusia, Pusat Pekerjaan Brunei akan terus melaksanakan program-program pembangunan masa hadapan khususnya dalam memperkukuh pembangunan kapasiti para pencari pekerjaan tempatan bagi meningkatkan kebolehpasaran dan memperkasa kemahiran anak tempatan agar bersedia memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Sehubungan itu, pelbagai program dan kursus akan terus dilaksanakan mengikut keperluan pasaran pekerjaan. Antaranya termasuk SPIN, SkillsPlus, iSkill, Program Jati Diri, Skim TVET, TechInspire, Clinical Supervisory Programme, Kursus Soft Skills dan program di bawah Manpower Industry Steering Committee, MISC seperti Skills and Capacity for Alternative Low Carbon Energy Skill dan program HR Connect yang dikhususkan bagi pencari pekerjaan tempatan.
Pusat Pekerjaan Brunei juga telah memperkenalkan kursus-kursus baharu berdasarkan permintaan industri, perubahan landskap pekerjaan dan jurang kemahiran yang dikenal pasti bagi membantu graduan meningkatkan kebolehpasaran serta menyesuaikan diri dengan sektor yang mempunyai permintaan tinggi. Sehubungan ini, sebanyak 22 kursus pendek baharu telah dikenalkan dalam bidang kewangan, ICT, Health Safety and Environment, HSE, Leadership and Management dan pengurusan tenaga manusia.
Dalam masa yang sama, kajian Root Causes of Unemployment juga dilaksanakan bersama Centre for Strategic and Policy Studies, CSPS bagi meneliti dan memahami punca sebenar pengangguran termasuk aspek permintaan tenaga kerja. Hasil kajian ini diharap akan dapat membantu dalam merangka dasar yang lebih tepat, berkesan dan responsif terhadap keperluan pasaran pekerjaan pada masa ini dan hadapan.
Sektor tenaga kekal sebagai tonggak utama kepada keterjaminan tenaga, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat serta memainkan peranan penting dalam mendukung pencapaian Wawasan Brunei 2035. Justeru itu, pembangunan sektor tenaga dipacu melalui pendekatan yang berteraskan 3 strategik utama iaitu pertama, mengekalkan sektor huluan; Kedua, memperkembangkan sektor hiliran untuk mempelbagaikan ekonomi; Ketiga, menjamin bekalan tenaga khususnya tenaga elektrik dan produk-produk petroleum; dan keempat, peralihan tenaga kepada tenaga rendah karbon.
Menyentuh mengenai keterjaminan tenaga dalam landskap geopolitik semasa yang memberi kesan terhadap kestabilan pasaran tenaga dan antarabangsa. Aspek keterjaminan tenaga menjadi kritikal. Sehubungan itu, sektor tenaga negara perlu terus diperkukuh agar kekal berdaya tahan serta berupaya bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan pantas terhadap sebarang perubahan. Usaha ini amat penting bagi memastikan keterjaminan tenaga sentiasa terpelihara.
Perkembangan ini sekaligus menekankan bagi kepentingan pendekatan strategik negara dalam memperkukuh keterjaminan tenaga. Sektor huluan kekal sebagai teras keterjaminan ekonomi dan hasil negara dengan strategi untuk mengekalkan pengeluaran daripada aset sedia ada sambil membina asas pengeluaran jangka panjang melalui pembangunan dan penerokaan baharu yang lebih tersusun dan berdaya tahan.
Selaras dengan kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Shell Joint Venture, BSJV dan Brunei Gas Carrier, BGC di sepanjang tahun 2025, penekanan diberikan kepada pengukuhan keselamatan operasi, integriti aset, kepimpinan serta tadbir urus yang baik. Dari segi pembangunan kemajuan strategik dicapai melalui komersial dan projek pembangunan gas asli di perairan laut dalam yang dikendalikan oleh Syarikat Petronas Carigali Brunei, penganugerahan pembangunan Blok C kepada pengendali baharu Syarikat EnQuest serta pembukaan pusingan pelesenan, licensing round, bagi projek penerokaan di perairan cetek.
Bagi menjaminkan kesinambungan pengeluaran jangka panjang pula, usaha meningkatkan aktiviti penerokaan khususnya di kawasan-kawasan baharu giat diterajui oleh Jawatankuasa Pandu Pertumbuhan Huluan. Namun, sektor ini sedang berdepan dengan ketidakketentuan pasaran global serta cabaran operasi dan aset yang semakin usang, mempengaruhi kos dan kesinambungan pengeluaran. Keadaan ini mendorong pengendali mengoptimumkan kos secara lebih agresif dan turut memberi implikasi kepada peluang pekerjaan tempatan.
Sehubungan itu, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri terus bekerjasama dengan syarikat pengendali dan syarikat perkhidmatan dan Pusat Pekerjaan Brunei bagi memperkukuh keupayaan pekerja tempatan. Usaha ini termasuk mengaktifkan semula inisiatif MISC Energy yang kini diperluas meliputi sektor tenaga elektrik bertujuan untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam jangka pendek serta memperkukuh kesiapsiagaan dan mobiliti tenaga kerja tempatan dalam jangka sederhana dan panjang. Di samping itu, permohonan permit pekerja asing juga akan terus diteliti dengan lebih terperinci bagi memastikan keutamaan diberikan kepada tenaga kerja tempatan sekiranya bersesuaian.
Alhamdulillah, keterjaminan bekalan tenaga elektrik negara secara keseluruhannya kekal kukuh dengan kadar elektrifikasi sekitar 99.99 peratus. Walaupun isu-isu operasi menjejaskan reliability bekalan tenaga elektrik masih berlaku dan terus ditangani dengan segera, tahap reliability bekalan tenaga elektrik secara keseluruhannya telah menunjukkan peningkatan sekitar 20 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, usaha memperkukuh integriti terus menjadi keutamaan dengan kerja-kerja penyelenggaraan serta penaiktarafan infrastruktur, rantaian sistem bekalan dipergiatkan merangkumi penjanaan, rangkaian penghantaran serta kemudahan lampu-lampu jalan bagi memastikan bekalan elektrik yang mencukupi dan berlangsungan. Di antara projek yang diberi tumpuan ialah projek rangkaian 66kv Mentiri dan Perdayan bagi penyambungan bekalan tenaga elektrik gred ke daerah Temburong. Dalam masa yang sama, kos bekalan tenaga dijangka akan terus meningkat bagi memperkukuh sistem bekalan elektrik negara selaras dengan peningkatan permintaan bagi mendukung aspirasi pembangunan di bawah Wawasan Brunei 2035.
Sehubungan itu, seperti yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II di pembentangan belanjawan, kadar tarif semasa telah diteliti semula khususnya bagi sektor komersial iaitu dari bersifat regresif ke progresif yang dicadangkan untuk dilaksanakan pada tahun 2028 iaitu bagi menggalakkan penggunaan tenaga secara berhemah, menyokong pembiayaan sistem tenaga yang semakin berkembang, menjamin keterjaminan bekalan elektrik serta memperkukuh keyakinan pelabur dan daya tarikan negara terhadap pelaburan langsung asing yakni FDI.
Dalam usaha peralihan tenaga kepada rendah karbon bagi mendukung dasar kebangsaan perubahan iklim negara Brunei Darussalam serta memoptimumkan sumber tenaga negara, di antara usaha yang dipertengahkan adalah meningkatkan amalan kecekapan dan penjimatan tenaga serta memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
Alhamdulillah, kapasiti pemasangan tenaga boleh diperbaharui negara telah meningkat sebanyak 10 kali ganda pada setakat ini berbanding tahun 2024. Kemajuan projek solar 30 megawatt di Belimbing Subok kini dalam fasa pembinaan, dijangka mula menyumbang kepada bekalan tenaga negara pada penghujung tahun 2026. Manakala, beberapa projek solar skala besar diterajui oleh pihak swasta turut menunjukkan perkembangan yang menggalakkan.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri telah melaksanakan rangka kerja yakni skill and capacity for alternative low carbon energy yang menyepadukan usaha bersama pihak-pihak berkepentingan termasuk Kementerian Pendidikan bagi memperkukuh kesiapsediaan negara dalam memenuhi permintaan tenaga hijau yang semakin meningkat khususnya dalam sektor tenaga rendah karbon.
Selaras dengan usaha peralihan tenaga bagi pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan memupuk pertumbuhan ekonomi hijau, Negara Brunei Darussalam kekal komited di bawah Perjanjian Paris dengan berpandukan Wawasan Brunei 2035. Negara telah menyerahkan Nationally Determined Contribution ke-3 yakni NDC 3.0 pada tahun 2025 dengan sasaran untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 20 peratus daripada senario business as usual yakni BAU menjelang tahun 2035.
Sasaran ini mencerminkan komitmen negara kepada tindakan iklim global selaras dengan prinsip Common But Differentiated Responsibilities and Respective Capabilities, CBDR-RC, dan keadaan unik negara. Pejabat perubahan iklim Negara Brunei Darussalam juga sedang dalam proses mengemaskini dasar kebangsaan perubahan iklim Negara Brunei Darussalam.
Usaha tindakan iklim negara tidak terhad kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau sahaja. Tahun 2026 diramalkan sebagai tahun dengan suhu purata tertinggi, average mean temperature, dengan dekad yang lalu menjadi tempoh paling panas dalam sejarah dunia.
Negara turut mengalami kesan dan tidak dapat lari daripada impak kejadian cuaca ekstrim yang semakin mencabar dan sukar diramal. Sebagai langkah proaktif, Negara Brunei telah pun merangka pelan adaptasi kebangsaan yakni National Adaptation Plan. Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, Negara Brunei Darussalam menyedari bahawa isu perubahan iklim tidak dapat ditangani sendiri dan memerlukan penyelesaian secara menyeluruh dan kerjasama antarabangsa.
Negara Brunei Darussalam terus bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa dan serantau untuk mendapatkan akses yang lebih baik kepada kewangan iklim dan untuk memperolehi teknologi yang berkaitan.
Negara juga giat meningkatkan kepakaran dan kapasiti dalam bidang perubahan iklim melalui inisiatif-inisiatif pembangunan kapasiti.
Ke arah memperkukuh keharmonian dan perpaduan di negara ini, Jabatan Perdana Menteri melalui Radio Televisyen Brunei dan Jabatan Penerangan terus memainkan peranan penting sebagai agensi media rasmi kerajaan dalam menyampaikan mesej-mesej penting kerajaan.
Program-program radio, televisyen dan kemasyarakatan yang sedia ada akan dipergiatkan lagi termasuk penerbitan rancangan yang berinformatif kepada orang ramai.
Ini termasuk program sua muka Jabatan Penerangan bersama penduduk-penduduk kampung yang berfungsi sebagai platform perhubungan dua hala di antara kerajaan dengan masyarakat setempat bagi berkongsi dasar, isu semasa serta menangani keperluan penduduk kampung.
Selain itu, peruntukan Belanjawan Tahun 2026/2027 bagi Jabatan Radio Televisyen Brunei juga disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur peralatan penyiaran bagi memastikan perkhidmatan Radio dan Televisyen dapat diakses oleh semua lapisan rakyat di Negara Brunei Darussalam.
Insya Allah dan berkat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri berserta jabatan-jabatan di bawahnya akan sentiasa berpandukan keutamaan-keutamaan dalam setiap matlamat Wawasan Brunei 2035. Pendekatan whole of government dan whole of Nation akan terus menjadi asas dalam perancangan dan perlaksanaan setiap strategi yang diterajui oleh jabatan-jabatan ini.
Sekian sahaja penjelasan ringkas mengenai cadangan belanjawan Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi Tahun Kewangan 2026/2027, Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sebelum mengakhiri seperti ketetapan sebelum ini juga peramba/kaola/saya memaklumkan bahawa 5 buah jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah jabatan-jabatan yang tertutup iaitu Biro Kawalan Narkotik, Biro Mencegah Rasuah, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Penyelidikan Brunei. Memandangkan jabatan ini berkaitan langsung dengan hal ehwal strategik keselamatan negara dan isu-isu yang akan dibincangkan mungkin bersifat sensitif dan tidak sesuai dibincangkan secara terbuka, maka kaola memohon pertimbangan Yang Berhormat Yang Di-Pertua agar belanjawan bagi jabatan tersebut tidak perlu dibincangkan.
Sekian Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang dapat kaola sampaikan. Terima kasih Wabillahi taufik walhidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II. Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Menteri Hal Ehwal Ugama.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah (doa dibaca). Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian.
Kaola terlebih dahulu mengucapkan terima kasih setinggi-tingginya penghargaan ke atas Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana kesempatan kaola untuk menyertai sesi peringkat dasar iaitu perbahasan berkenaan Rang Undang-Undang (2026) Perbekalan, 2026/2027 dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan yang telah dibaca dan dicadangkan oleh rakan kaola Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Alhamdulillah, sesungguhnya kaola menyatakan kepercayaan bahawa Dewan ini adalah menyambut baik pembentangan yang telah dibuat oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, dimana Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah berucap boleh dikatakan sepakat menyifatkannya sebagai bukti kesinambungan bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, adalah sangat mengambil berat terhadap kemajuan negara dengan menitikberatkan pembangunan negara demi memelihara kesejahteraan serta kebajikan rakyat yang setia menjunjung tinggi pemerintahan beraja yang adil berdaulat, menaungi nusa memimpin rakyat kekal bahagia.
Maka sebagai salah satu jentera pemerintahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama adalah akan sentiasa memastikan supaya perkhidmatannya akan mendatangkan impak positif kepada rakyat sesuai dengan tema belanjawan iaitu 'Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035' atau Together Achieving Wawasan Brunei 2035.
Oleh yang demikian, Kementerian Hal Ehwal Ugama menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan baginda kerana terus menerus konsisten, kaola menyebutkan konsisten Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana kitanilah di negara ini, Kerajaan membuat komitmen yang berterusan untuk menyokong perkhidmatan ugama sebagai satu perkhidmatan, sebahagian daripada perkhidmatan Kerajaan sepenuhnya dalam fiskal Kerajaan.
Dan untuk tahun ini telah memperuntukkan sejumlah BND280,279,000 bagi Tahun Kewangan 2026/2027. Daripada jumlah tersebut, sebanyak BND237,014,000 bagi emolumen dan sebanyak BND43,265,000 bagi peruntukan Perbelanjaan Berulang-ulang iaitu bertambah sebanyak 0.6 peratus dalam angkanya iaitu BND1,677,400 berbanding peruntukan Tahun Kewangan 2025/2026. Manakala perbelanjaan kemajuan pula adalah diperuntukkan sejumlah BND18,550,900 bagi Tahun Kewangan 2026/2027.
Maka dengan jumlah peruntukan yang agak besar ini, kemungkinan akan dapat membolehkan Kementerian Hal Ehwal Ugama turut berperanan sewajarnya dan terus komited untuk terus aktif melaksanakan rancangan-rancangan keagamaan dalam mencapai Wawasan Brunei 2035, di mana perkhidmatan ugama adalah salah satu komponen, terutama sekali dari aspek-aspek sosio-religi Wawasan Brunei 2035 yang kita sekarang ini berada dalam landasannya on track kepada pencapaiannya 2035, insya Allah.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Seterusnya izinkan kaola memperincikan peruntukan Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi Tahun Kewangan 2026/2027 melalui huraian program atau aktiviti tahunan mengikut tajuk-tajuk berikut:
Dibawah Tajuk Pemeliharaan Promosi Harta, diperuntukan sebanyak BND29,025,560 iaitu 10.4% daripada peruntukan keseluruhan. Peruntukan ini adalah bagi melaksanakan perkhidmatan-perkhidmatan ugama dibawah Kementerian Hal Ehwal Ugama proper dan beberapa jabatan yang berkenaan yang dibawahnya iaitu Jabatan Urusan Haji, Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal dan Majlis Ugama Islam Brunei. Alhamdulillah, berdasarkan peruntukan yang telah diberikan pada Tahun Kewangan 2025/2026 sekarang, yang lalu sekarang, Kementerian Hal Ehwal Ugama antaranya telah berjaya melancarkan sistem BruHaj pada 20 Januari 2025. Sistem ini telah banyak membantu mempermudahkan pendaftaran haji secara dalam talian dengan lebih mudah dan efisien.
Antara impak positif daripada sistem tersebut ialah boleh dikatakan Alhamdulillah, apabila Negara Brunei Darussalam telah diberikan pengiktirafan dan penganugerahan Silver Award dalam Anugerah Tertinggi Labaytum oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. Penganugerahan yang berprestij ini adalah bukti bahawa kualiti pengurusan haji Negara Brunei Darussalam adalah di antara pengurusan yang terbaik. Selain itu, sistem ini juga telah memberikan kesan yang sangat positif dari sudut pendaftaran haji yang lebih sistematik dan teratur.
Setakat Mac 2026, beberapa, apa namanya tu, ketika pertengahan bulan Mac, sudah terdapat seramai 9,672 orang mendaftar untuk menunaikan ibadah haji. Berdasarkan kepada kuota yang ada pada masa ini, mereka dijangkakan akan dapat menunaikan ibadah haji pada tahun 2046 sehingga 2059. Jadi kerana itu, peluang pendaftaran secara mudah seperti ini patutlah dipergunakan oleh golongan rakyat penduduk yang berusia sekitar remaja membawa kepada golongan 40-an sudah sampai 80-an barutahkan naik gaji, tuha sudah tu. Jadi kalau lagi awal daripada itu, mungkin anak-anak mungkin cucu-cucu didaftarkan lebih baik.
Sebagai kesinambungan perkara ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan dengan sokongan kerjasama serta persefahaman dengan operator-operator Haji dan Umrah akan terus meningkatkan kualiti dan kecekapan pengurusan haji dan juga umrah di luar musim haji dari segi perancangan, pengangkutan, bimbingan haji dan penjagaan kesihatan jemaah haji serta perkara-perkara yang berkaitan sesuai dengan peruntukan Kewangan Tahun 2026/2027 sekarang.
Di bawah tajuk Pemeliharaan Ketua Promosi Ugama, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, telah diperuntukkan sebanyak BND35,892,960 iaitu 12.8 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan bagi Tahun Kewangan 2026/2027. Peruntukan ini adalah bagi pelaksanaan perkhidmatan ugama di bawah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Da’wah Islamiah Bahagian Kemajuan Syiar Islam dan Pengurusan Hal Ehwal Ugama Daerah-Daerah. Alhamdulillah, dengan peruntukan yang diberikan ini Kementerian Hal Ehwal Ugama dapat terus mengukuhkan penghayatan nilai-nilai Islam melalui acara-acara, hari-hari kebesaran Islam dan program-program yang melibatkan belia termasuk juga muallaf-muallaf.
Sementara di bawah tajuk Pemeliharaan Promosi Nyawa dan Keturunan, diperuntukkan sejumlah BND10,330,130 iaitu kadarnya 3.7 peratus daripada peruntukan keseluruhan. Peruntukan ini adalah bagi bahagian Pendakwaan Syar’ie, Jabatan Hal Ehwal Syariah dan Jabatan Perundangan Islam. Melalui peruntukan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama melaksanakan penguatkuasaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah sebagai usaha memelihara keselamatan, kualiti kehidupan, pemeliharaan keturunan serta kesejahteraan rakyat akan sentiasa terjamin, insya Allah.
Selain itu, pihak Kementerian juga akan terus mempromosikan sijil dan label halal Majlis Ugama Islam Brunei, MUIB dan seterusnya memastikan permakanan dan barang-barang yang digunakan, dikeluarkan atau diimport dan dipasarkan di negara ini adalah halal dan suci.
Manakala itu melalui Jabatan Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama terus giat aktif dalam menyemak Undang-Undang Brunei dimana 17 Undang-Undang berkenaan adalah selaras dengan hukum Syarak dan telah dilaksanakan penggubalan lima draf undang-undang Syariah. Di samping itu, pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama — Aturan-Aturan Ugama, Aturan-Aturan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, 2026 dan Perintah Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi 2026 iaitu pindaan telah diwartakan pada 08 Januari 2026 yang lalu. Dengan adanya aturan berkenaan akan mengemaskinikan lagi kecekapan pengurusan dan pengendalian kutipan sumbangan orang ramai kepada Tabung Dana Pembinaan Masjid.
Sementara di bawah tajuk Pemeliharaan Promosi Akal diperuntukkan sebanyak BND205,030,350, iaitu peruntukan yang terbesar, pada kadar 73.2 peratus dari peruntukan keseluruhan bagi Tahun Kewangan ini di mana ianya adalah bagi Jabatan Pengajian Islam dan Hal Ehwal Pengurusan Persekolahan Ugama dan Arab; maksudnya guru-guru dimaklumilah dan selain daripada pegawai-pegawainya.
Seterusnya, untuk menyokong perbelanjaan Kolej Universiti Perguruan Seri Begawan dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Sementara itu, peruntukan di bawah perbelanjaan berulang-ulang adalah dikekalkan bagi menaik taraf sesudah pemulihan Masjid Omar Ali Saifuddien dan Masjid Jame' Asr' Hassanal Bolkiah. Manakala peruntukan tersebut turut juga disediakan bagi membaik pulih dan menaik taraf masjid, surau dan balai-balai ibadah.
Adapun Perbelanjaan Kemajuan bagi beberapa projek utama antaranya mengukuhkan kemudahan akses pendidikan seperti penambahan blok di Sekolah-Sekolah Ugama Tanah Jambu dan di Sekolah Arab Belait, menaik taraf fasiliti Sekolah Menengah Arab Lelaki Hassanal Bolkiah, pusat yang sekarang ini, pusat tingkatan enam dikenali Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah dan pembinaan dua buah sekolah baru iaitu bagi Kampong Kiulap dan juga bagi Kampong Bolkiah sementara yang di Sekolah Kiulap itu.
Selain itu, peruntukan disediakan untuk membina kampus baru Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, juga disediakan untuk pembinaan kampus kekal Tahfiz Perempuan dan Diploma ‘Aliyah Qira’at Institut Tahfiz Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Sementara itu, bagi pembinaan kemudahan dewan serbaguna bagi sekolah-sekolah ugama dan Institusi Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga masing-masing disediakan peruntukannya.
Peruntukan juga disediakan bagi pembinaan kemudahan tambahan blok pentadbiran dan bilik guru-guru sekolah ugama di bangunan sekolah-sekolah rendah dan sekolah-sekolah menengah Kementerian Pendidikan iaitu sebanyak 39 buah sekolah yang diistilahkan pada masa ini bangunan guna sama iaitu guna sama sekolah kepunyaan Kementerian Pendidikan dan juga digunakan, dikongsikan penggunaannya oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Seterusnya di bawah tajuk Mengukuhkan Perkembangan Syiar Islam. Pembinaan baru bagi Pusat Kegiatan Ugama Islam Sekolah Ugama Kampung Senukoh dan 12 buah masjid diperuntukkan seperti berikut ini banyak masjid-masjid dalam Rancangan Kemajuan Negara di Brunei Muara pembinaan masjid baru RPN Kampung Mengkubau yang sudah sekarang ada dibangunkan, jadi bayaran-bayaran seterusnya dan masjid baru RPN Kampung Meragang yang sudah siap dipergunakan, jadi komitmen-komitmen yang untuk diluluskan maka peruntukan-peruntukan untuk melangsaikannya telahpun disediakan pada tahun ini.
Pembinaan Masjid RPN Kampung Rimba. Pembinaan masjid baru di STKRJ Kampung Mata-Mata, Katok B dan pembinaan masjid baru Kampung Sinarubai dan Burong Lepas. Begitu juga masjid-masjid yang telah disebutkan awal tadi ada peruntukkannya untuk tahun ini.
Pembinaan masjid baru di Rancangan Perumahan Negara Kampung Tanah Jambu dan seterusnya ialah pembinaan masjid baru Kampung Lugu.
Untuk Daerah Belait, tahun kewangan ini memperuntukkan bagi pembinaan masjid baru RPN Kampung Lumut dan pembinaan masjid baru di Rancangan Perumahan Negara Kampung Penaga. Bagi Daerah Tutong, tahun kewangan ini diperuntukkan bagi pembinaan masjid baru STKRJ Kampung Telisai. Sementara Temburong ialah bagi pembinaan masjid baru di Kampung Batu Apoi dan pembinaan masjid baru Kampung Selapon, dan pembinaan Masjid Batu Apoi dan satu lagi ada rancangan di Selapon, Batu Apoi dan Selapon saja.
Alhamdulillah. Demikianlah Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola mengucapkan sekali lagi terima kasih dan memohon maaf atas kejanggalan penyampaian kaola ini. Semoga akan ada gunanya dan kaola sudahi Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sebelum perbahasan peringkat dasar ini ditutup, saya suka untuk mempersilakan Yang Berhormat Menteri yang telah membawa Rang Undang-Undang dan Usul ini untuk memberikan ulasan terakhirnya. Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II
Bismillahir Rahmanir Rahim. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terlebih dahulu kaola ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta menjunjung kasih dan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang ikut serta dalam perbahasan peringkat dasar bagi Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Kumpulan Wang Kemajuan bagi Tahun Kewangan 2026/2027.
Keprihatinan yang ditujukan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan dasar dan inisiatif kerajaan senantiasa relevan, berkesan dan yang paling penting memberikan manfaat kepada rakyat negara tanpa membebankan golongan-golongan yang tertentu.
Pihak Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengambil baik setiap pandang yang telah dibangkitkan dan cadangan yang dikemukakan dan insya Allah akan mengkaji kesesuaian dan praktikalitinya serta memastikan apa jua dasar yang diperkenalkan tidak akan membebankan fiskal kerajaan. Kaola jua sebenarnya menanti-nantikan practical suggestions untuk meningkatkan hasil kerajaan dari Ahli-Ahli Yang Berhormat. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Sejak dua hari yang lalu perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat telah menyentuh pelbagai aspek penting dan meluas dan sebahagiannya telah dan boleh dijelaskan dengan lebih lanjut oleh rakan-rakan sejawat kaola mengikut bidang kuasa kementerian masing-masing.
Perkara-perkara yang khusus berkaitan program atau inisiatif tertentu insya Allah akan dibincangkan dengan lebih mendalam semasa perbahasan di Peringkat Jawatankuasa Perbekalan. Daripada keseluruhan perbahasan yang telah berlangsung terdapat beberapa perkara utama yang berulang kali dibangkitkan dan kaola ingin merumuskan seperti berikut:
Pertama, mengenai meningkatkan prestasi ekonomi negara. Melalui usaha mempercepatkan kepelbagaian ekonomi negara dengan pelaksanaan blueprint-blueprint pembangunan secara lebih berkesan, pengukuhan sektor-sektor keutamaan, pengukuhan strategi Pelaburan Langsung Asing serta usaha memastikan pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana;
Kedua, mengenai kesejahteraan sosial termasuk pasaran pekerjaan serta usaha memastikan rakyat tempatan lebih bersedia untuk merebut peluang-peluang ekonomi dan pekerjaan yang diwujudkan; dan
Ketiga, mengenai kemampanan fiskal negara serta usaha untuk memastikan setiap perbelanjaan awam dilaksanakan secara lebih berhemah, berdisiplin dan berorientasikan hasil termasuk memperkukuh pemantauan pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara supaya benar-benar memberi manfaat yang jelas kepada rakyat dan negara.
Izinkan kaola menghuraikan dan menjelaskan ketiga-tiga perkara tersebut satu persatu. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Pertama, mengenai mempercepatkan kepelbagaian ekonomi negara, beberapa Ahli-Ahli Yang Berhormat telah menyentuh mengenai kepentingan menarik FDI sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan, dalam hal ini kaola sukacita mengongsikan sekali lagi perkembangan yang positif di mana sejumlah 25 syarikat FDI telah mula beroperasi serta beberapa projek pelaburan baharu sedang dalam pelaksanaan yang dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Dalam hubungan ini usaha untuk memperkukuhkan ekosistem pelaburan akan terus dipergiatkan termasuk melalui penambahbaikan persekitaran perniagaan, pengukuhan kerjasama antara sektor awam dan swasta serta pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan agar selaras dengan keperluan industri. Dalam memperkukuh usaha menarik FDI, pihak kerajaan kini melaksanakan pendekatan yang lebih matang dan strategik. Pendekatan ini melibatkan satu peralihan dalam strategi penarikan pelaburan yang tidak lagi hanya tertumpu kepada promosi peluang pelaburan secara umum tetapi kini memberi penekanan kepada penyediaan dan pembentangan projek pelaburan yang telah dikenal pasti tersusun dan sedia untuk dilaksanakan yang menggambarkan posisi Negara Brunei Darussalam dalam rantaian nilai serantau.
Projek yang dipromosi kepada pelabur kini disokong oleh maklumat yang lebih menyeluruh termasuk ketersediaan tapak industri, infrastruktur dan utiliti, rangkaian pembekal tempatan serta ketersediaan tenaga kerja mahir. Dengan adanya maklumat ini pelabur dapat menilai peluang pelaburan dengan lebih jelas sekaligus meningkatkan kepastian, mengurangkan risiko dan mempercepatkan proses membuat keputusan pelaburan. Pendekatan ini dapat dilihat dalam fasa pembangunan industri hiliran minyak dan gas di Pulau Muara Besar.
Yang seterusnya, Syarikat Hengyi Industries yang mana telah beroperasi lebih dari 6 tahun telah mewujudkan ekosistem industri yang matang, termasuk kemudahan infrastruktur seperti loji janakuasa, jeti dan logistik serta kemudahan rawatan air, ketersediaan infrastruktur dan ekosistem ini kini dimanfaatkan oleh BEDB untuk menarik minat pelabur produk-produk hiliran seperti Aniline, Isopropyl Alcohol dan sebagainya sekaligus membolehkan projek baharu dilaksanakan dengan lebih cepat dan kos yang lebih kompetitif.
Selain itu pendekatan yang sama turut diterapkan dalam pembangunan sektor makanan melalui inisiatif seperti Brunei-Singapore Agritech Food Zone. Inisiatif ini memanfaatkan kekuatan kedua belah pihak, di mana Negara Brunei Darussalam menyediakan tapak serta persekitaran industri permakanan.
Manakala Republik Singapura menyumbang kepakaran industri rangkaian pasaran serta akses kepada ekosistem makanan yang lebih luas. Secara keseluruhannya pendekatan ini memastikan pelabur bukan sahaja melihat potensi peluang pelaburan tetapi juga projek yang telah dibangunkan secara lebih terancang dengan modal perniagaan yang jelas serta kedudukan yang kukuh dalam rantaian nilai serantau.
Melalui pendekatan yang lebih bersepadu ini pelaburan yang dibawa masuk berpotensi menjana rantaian nilai yang lebih kukuh merentasi pelbagai sektor di samping membuka peluang yang lebih luas kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan sederhana serta industri sokongan untuk turut terlibat dalam rantaian bekalan dan aktiviti nilai tambah. Pendekatan ini membolehkan pelaburan asing bukan sahaja membawa masuk modal ke dalam negara malah menyumbang secara lebih bermakna kepada usaha kepelbagaian ekonomi. Pembangunan perusahaan tempatan serta pewujudan peluang pekerjaan yang berkualiti.
Pihak kerajaan juga mengambil maklum pandangan mengenai kepentingan memperkasa sektor-sektor strategik seperti pertanian, aquaculture, industri makanan, logistik, pelancongan serta industri halal yang mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi negara. Inisiatif-inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk pembangunan infrastruktur penyelidikan dan inovasi serta pengukuhan rantaian nilai industri, diharap dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor-sektor tersebut.
Di samping itu beberapa Ahli Yang Berhormat turut membangkitkan kepentingan aspek kelestarian alam sekitar serta pembangunan ekonomi hijau. Kerajaan menyedari bahawa isu perubahan iklim dan peralihan tenaga kini merupakan faktor penting yang mempengaruhi daya saing ekonomi global. Oleh itu usaha untuk memanfaatkan kelebihan negara dalam pemeliharaan alam sekitar serta pembangunan penyelesaian berdasarkan alam semula jadi akan terus dipertingkatkan termasuk dalam menarik pelaburan baharu dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi hijau.
Merujuk persoalan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengenai projek-projek ekonomi hijau yang tersedia untuk ditawarkan kepada pelabur serta mekanisme koordinasi rentas agensi untuk memastikan pelaksanaannya pantas dan konsisten. Berhubung dengan projek-projek bangunan hijau di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-12, sebuah kumpulan kerja atau project team telah ditubuhkan untuk mengenal pasti dan meneliti projek-projek sedia ada yang mempunyai elemen hijau bagi memperkukuhkan lagi penerapan elemen tersebut di samping membangunkan projek-projek bangunan baharu yang berkonsepkan hijau. Melalui pendekatan ini, projek yang berpotensi untuk ditawarkan akan membuka ruang kepada penglibatan sektor swasta termasuk pelabur asing yang mempunyai kepakaran dalam pembinaan bangunan berkonsep hijau.
Selain itu, di bawah project team, pengemaskinian dan penyediaan Construction Course Hand Book 2024 sedang diselaraskan bersama Kementerian Pembangunan dan dijangka akan diterbitkan pada tahun 2026. Panduan ini akan merangkumi asas-asas anggaran kos pembinaan berasaskan data terkini untuk dijadikan rujukan utama kepada kementerian-kementerian serta sektor industri dalam memperkukuh ketetapan perancangan kos menyediakan projek dan pelaksanaan pembangunan secara lebih teratur, relevan dan selaras dengan keadaan semasa.
Project team dan pihak sekretariat Jawatankuasa RKN sedang giat merancang satu bengkel bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan pegawai-pegawai projek yang menjalankan projek berkonsep hijau dengan kerjasama pihak Asean Development Bank untuk meningkatkan kefahaman perkongsian amalan terbaik dan keupayaan teknikal.
Dalam mengukur projek-projek RKN yang berpotensi untuk diterapkan konsep elemen hijau, satu alat penilaian atau pengukur pencapaian tanda hijau tempatan iaitu Brunei Accredited Green Unified Seal, BAGUS, di bawah Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan, ABCi, akan digunakan. Perancangan project team adalah bagi BAGUS untuk mendapat akreditasi dan dijadikan sebagai piawaian untuk diguna pakai oleh projek-projek bangunan pihak kerajaan dan sektor swasta di negara ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, berbahas mengenai pertumbuhan ekonomi negara. Kaola ingin menekankan satu perkara penting iaitu sokongan rakyat terhadap perbelanjaan domestik ataupun domestic spending. Perkara ini mungkin dianggap ringan tetapi sebenarnya memberi impak besar dalam memperkukuh ekonomi negara kita.
Dalam mana-mana ekonomi, perbelanjaan pengguna atau household consumption merupakan salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi. Apabila rakyat berbelanja di dalam negeri, wang tersebut akan beredar dalam ekonomi domestik, menyokong perniagaan tempatan, membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana berkembang serta seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.
Inilah yang sering dirujuk sebagai multiplier effect di mana setiap perbelanjaan mampu menjana aktiviti ekonomi yang lebih meluas. Namun, apabila sebahagian besar perbelanjaan kita beralir ke luar negara melalui pembelian barangan atau perkhidmatan luar negeri, kesan positif kepada ekonomi domestik menjadi terhad. Wang yang dibelanjakan tidak lagi beredar dalam sistem ekonomi tempatan sekaligus menghadkan peluang untuk memperkukuh perusahaan dan pekerjaan dalam negara.
Oleh itu, adalah penting bagi kita semua memainkan peranan untuk menyokong ekonomi tempatan dengan memilih untuk berbelanja di dalam negeri, membeli produk tempatan dan menggunakan perkhidmatan perniagaan domestik, kita secara langsung membantu memperkukuhkan asas ekonomi negara kita sendiri. Ini bukan bermakna kita menolak perdagangan antarabangsa, sebaliknya ia mengenai keseimbangan perbelanjaan agar sebahagian besar nilai ekonomi dapat kekal dan beredar dalam negeri. Apabila perniagaan tempatan berkembang, mereka akan dapat melabur semula, memperluaskan operasi, meningkatkan produktiviti serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Dalam jangka panjang, sokongan terhadap ekonomi domestik ini akan menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan. Oleh yang demikian, kaola ingin mengajak semua lapisan masyarakat, pengguna, usahawan dan komuniti untuk bersama-sama memupuk budaya yang lebih menghargai dan menyokong produk serta perkhidmatan tempatan. Dengan langkah kecil seperti ini, setiap daripada kita sebenarnya menyumbang kepada kedayatahanan ekonomi negara secara menyeluruh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Beralih kepada isu kedua mengenai kesejahteraan sosial. Beberapa perkara turut dibangkitkan dalam perbahasan termasuk peluang pekerjaan bagi golongan belia, pembangunan kemahiran, tenaga kerja tempatan, kesejahteraan keluarga serta keperluan memperkukuh perlindungan sosial. Kerajaan mengambil maklum perkara-perkara ini dan akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan pembangunan ekonomi negara dapat diterjemahkan kepada manfaat yang inklusif kepada seluruh lapisan masyarakat.
Kaola juga mengambil maklum pandangan Ahli-Ahli Yang Berhormat mengenai perubahan landskap pasaran pekerjaan masa kini termasuk peningkatan penyertaan dalam sektor pekerjaan fleksibel seperti gig economy serta pekerjaan sementara. Perkembangan ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat untuk menjana pendapatan melalui pelbagai bentuk pekerjaan baharu yang berasaskan kemahiran dan teknologi selaras dengan perubahan struktur ekonomi dan perkembangan digital.
Sehubungan itu, adalah penting untuk memastikan golongan pekerja dalam sektor ini turut diberikan perhatian dari segi perlindungan sosial, khususnya dalam aspek perancangan kewangan jangka panjang. Dalam hubungan ini, kerajaan akan terus meneliti langkah-langkah yang bersesuaian bagi menggalakkan penyertaan golongan pekerja Gig dan pekerja sementara untuk membuat caruman kepada Skim Persaraan Kebangsaan sebagai usaha memastikan kesejahteraan kewangan mereka pada masa persaraan nanti. Pendekatan ini juga sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh sistem perlindungan sosial negara agar lebih inklusif dan mampan di samping memastikan bahawa perubahan dalam struktur pasaran pekerjaan tidak menjejaskan jaminan kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, dalam menghadapi cabaran global pula seperti ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, perubahan iklim dan turun naik harga komoditi, keselamatan makanan kekal sebagai keutamaan bagi Negara Brunei Darussalam. Usaha memperkukuh bekalan makanan terus dilaksanakan melalui pendekatan menyeluruh yang meliputi pengukuhan sumber bekalan, rantaian bekalan yang berdaya tahan serta kestabilan pasaran. Bagi tempoh 2015 hingga 2025, sektor makanan menunjukkan perkembangan positif dengan KDNK meningkat secara prorata 1.3 peratus setahun didorong oleh pertumbuhan sektor perikanan dan ternakan.
Pengeluaran ayam dan daging meningkat daripada sekitar 23 ribu kepada hampir 30 ribu tan metrik. Pengeluaran telur daripada 131 juta kepada 200,05 juta biji. Manakala, akuakultur meningkat daripada 984 kepada 1533 tan metrik. Nilai eksport komoditi makanan turut meningkat daripada BND6.98 juta pada tahun 2015 kepada BND13.8 juta pada 2025. Dalam memperkukuh rantaian bekalan makanan, Kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk meningkatkan kecekapan logistik dan saling hubungan maritime melalui kerjasama antara Warisan Shipping Line Sdn. Bhd. dan DP World Logistic Malaysia.
Pembangunan Agri-Tech Food Zone serta memperkasakan pemerkasaan inovasi dan penyelidikan dalam sektor makanan. Ini termasuk projek penanaman dan pemprosesan sorgum oleh Enserv Holding serta kemudahan akuakultur komersial oleh Jets Sdn. Bhd. yang menggunakan tenaga solar dan sistem Artificial Intelligence. Selain itu, Memorandum Persefahaman antara PDS Abattoir Sdn. Bhd. dan sebuah syarikat dari Singapura turut ditandatangani bagi menilai projek rintis pembiakan lembu secara komersial bagi meningkatkan kadar sara diri daging.
Dari sudut pasaran pula, pemantauan harga komoditi makanan asasi dilaksanakan bagi meningkatkan ketulusan harga serta membolehkan langkah proaktif seperti mempelbagaikan sumber import diambil bagi memastikan kestabilan bekalan makanan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Mengenai isu ketiga, Kemampanan Fiskal Negara. Kaola menyambut baik pandangan beberapa Ahli Yang Berhormat yang telah menekankan bahawa dalam keadaan ekonomi global yang semakin tidak menentu serta kedudukan hasil negara yang terdedah kepada perubahan pasaran, pengurusan fiskal yang berhemah menjadi semakin penting bagi memastikan kestabilan ekonomi negara dapat terus dipelihara. Sehubungan itu, Kerajaan akan terus memperkukuh pengurusan kewangan awam melalui pendekatan perbelanjaan yang lebih berorientasikan hasil dengan memastikan setiap peruntukan yang disediakan memberi nilai dan impak yang nyata kepada pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.
Kerajaan juga menghargai pandangan yang menekankan kepentingan memperkukuhkan tadbir urus, integriti serta akauntabiliti dalam pengurusan kewangan negara. Dalam hubungan ini, usaha untuk memperkukuhkan sistem pemantauan, audit serta mekanisma pelaporan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan setiap perbelanjaan Kerajaan dilaksanakan secara telus, cekap dan berorientasikan hasil. Belanjawan yang telah dibentangkan pada hari Sabtu lepas digubal dengan mengambilkira suasana ekonomi global yang masih berhadapan dengan ketidaktentuan termasuk cabaran geopolitik, perubahan iklim dan perkembangan ekonomi dunia yang mempengaruhi kestabilan pasaran.
Dalam keadaan ini, Kerajaan akan terus berpegang kepada pendekatan pengurusan fiskal yang berhemah melalui strategi fiscal consolidation yang growth-friendly bagi memastikan kedudukan fiscal negara kekal mampan di samping terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Seperti mana jua yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin, Fiscal Consolidation Program, FCP tidak seharusnya hanya sebagai usaha mengurangkan kos atau budget cuts dan menghadkan aktiviti semata-mata. Fiscal Consolidation Program adalah dihasratkan untuk menjadikan proses-proses lebih cekap serta fleksibel dan consumer-centric bagi memudahkan dan mempercepatkan urusan pihak pengguna serta mendapatkan kelulusan dengan lebih pantas.
Fiscal Consolidation Program meliputi semakan dasar, pembaharuan struktur, peningkatan kecekapan pembelanjaan dan kutipan hasil serta menambahbaikan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Melalui pendekatan ini, dasar dan program sedia ada dinilai semula bagi memastikan perbelanjaan awam tertumpu kepada keutamaan negara, meningkatkan nilai pada perbelanjaan awam termasuk yang boleh dilaksanakan melalui inisiatif Public-Private Partnership, PPP dan pengkorporatan dengan memperkukuhkan peranan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi.
Dalam usaha memperkukuh pendekatan perbelanjaan yang berorientasikan hasil ini, Kerajaan juga terus memperkasa perlaksanaan Program Performance Budgeting. Melalui pendekatan ini, peruntukan belanjawan tidak hanya tertumpu kepada input atau jumlah perbelanjaan semata-mata tetapi juga dikaitkan secara lebih jelas dengan program, sasaran prestasi dan hasil ingin dicapai. Dengan ini, keberkesanan setiap perbelanjaan Kerajaan dapat dinilai dengan lebih sistematik serta memastikan sumber kewangan negara dimanfaatkan secara lebih cekap dan memberi impak yang lebih besar kepada rakyat dan pembangunan negara.
Dalam hubungan ini jua, bagi memperkukuh kefahaman dan perlaksanaan pendekatan ini di seluruh perkhidmatan awam, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Center for Strategic and Policy Study, CSPS pada masa ini, sedang melaksanakan Budget Workshop Series bertajuk Performance-Based Budgeting in the Public Sector: Enhancing Accountability and Efficiency yang mana akan disalurkan kepada pegawai-pegawai dari pelbagai kementerian dan jabatan. Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan pegawai dalam merancang program secara lebih strategik, menetapkan indikator prestasi yang jelas serta memperkukuh pemantauan terhadap pencapaian hasil sesuatu peruntukan. Usaha ini adalah penting bagi memastikan pendekatan program and performance budgeting dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan seterusnya meningkatkan kualiti pengurusan perbelanjaan Kerajaan secara keseluruhan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sepertimana yang kaola pernah kongsikan sebelum ini, di dewan yang mulia ini, kedudukan fiskal kerajaan bergantung kepada hasil yang diterima iaitu termasuk hasil cukai dan caj perkhidmatan serta perbelanjaan yang ditanggung, jika dibandingkan dengan negara-negara lain apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar, KDNK mereka meningkat maka negara juga akan memperolehi hasil yang lebih banyak. Ini adalah disebabkan negara-negara tersebut mempunyai fiscal tools yang lebih meluas yang membolehkan mereka untuk meraih pendapatan melalui pertubuhan ekonomi tersebut iaitu seperti mengenakan caj dan cukai yang berbagai jenis.
Sementara itu, seperti yang kita maklumi, hasil negara hanya bergantung kepada beberapa jenis cukai iaitu termasuk cukai korporat, cukai pegangan ataupun withholding tax, cukai excise serta yuran, caj dan sewa. Oleh itu, walaupun negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi, hasil negara tidak semestinya meningkat.
Dalam hubungan ini bagi membolehkan pelaksanaan kutipan cukai yang lebih efisien, fokus dan efektif, pihak Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Bahagian Pendaftaran Syarikat-Syarikat dan Nama-Nama perniagaan ataupun ROCBN, telah melaksanakan inisiatif, Inactive Companies Strike-Off secara berfasa melalui 1 November 2025, yang bertujuan untuk memotong syarikat-syarikat yang tidak aktif daripada Daftar Syarikat selaras dengan Akta Syarikat 39, Bab 287A. Antara objektif inisiatif tersebut adalah bagi mengenal pasti syarikat-syarikat yang masih aktif atau sebaliknya serta syarikat-syarikat yang memerlukan bantuan untuk mencapai kepatuhan. Meningkatkan kadar kepatuhan syarikat-syarikat yang berdaftar kepada keperluan-keperluan yang dinyatakan di dalam Akta Syarikat Penggal 39.
Dengan adanya data-data syarikat yang berkualiti, ianya akan dapat membantu para penggubal dasar dalam merangka dasar-dasar dan bantuan-bantuan khusus yang lebih berkesan dalam memudah cara pembangunan serta mengembangmajukan syarikat-syarikat di Negara Brunei Darussalam agar dapat menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara. Dan secara tidak langsung, ianya akan melindungi para pengguna dan peniaga daripada perniagaan-perniagaan yang kesahihannya mencurigakan.
Ini mungkin akan menimbulkan masalah-masalah yang tidak diingini kepada syarikat-syarikat serta warganegara tempatan seperti kos-kos ketidakpatuhan, penipuan, guaman ataupun legal cost dan sebagainya. Terutamanya jika sekiranya syarikat-syarikat tersebut terlibat dalam melakukan perkara-perkara yang tidak diingini seperti aktiviti-aktiviti pembersihan wang haram. Setakat fasa pertama ini, terdapat sebanyak 758 buah syarikat telah dimasukkan di dalam Warta Kerajaan untuk dipotong daripada daftar syarikat. Usaha ini akan meningkatkan ketetapan dan kualiti data-data di dalam Daftar Syarikat, khususnya syarikat-syarikat yang aktif. Pada masa yang sama, pihak ROCBN sedang meneliti dan mengemaskini pindaan-pindaan kepada rangka-rangka perundangan yang berkaitan dengan penubuhan syarikat dan nama-nama perniagaan agar ianya selaras dengan usaha-usaha kementerian dalam memperkukuhkan kedayatahanan fiskal negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Alhamdulillah, kerajaan merakamkan penghargaan atas kepekaan dan kesedaran yang telah ditunjukkan di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat mengenai kepentingan sumbangan cukai sebagai sebahagian daripada tanggungjawab bersama dalam meningkatkan hasil pendapatan fiskal dan seterusnya membantu dalam memajukan ekonomi negara.
Seperti yang sedia maklum, dasar cukai yang sedia ada pada masa ini sama ada dari cukai secara tidak langsung seperti duty stamp, cukai excise customs, cukai tanah, cukai bangunan, mahupun cukai secara langsung seperti cukai pendapatan yang hanya dikenakan kepada syarikat-syarikat perniagaan yang berdaftar di bawah Akta Syarikat-Syarikat Penggal 39. Belum cukup untuk membiayai perbelanjaan kerajaan terutama dalam menampung perbelanjaan subsidi mahupun dalam meningkatkan pembangunan infrastruktur dan program sosial yang mana merupakan asas kepada kemakmuran negara.
Dalam pada itu, bagi menjawab persoalan berhubung perubahan ke atas dasar cukai pendapatan korporat yang sedia ada, pihak kerajaan senantiasa menilai semula dasar fiskal negara bagi memastikan sistem percukaian kita kekal mampan, adil dan menyokong pembangunan ekonomi dalam jangka panjang. Dalam konteks tersebut, terdapat juga perbincangan di peringkat dasar mengenai kemungkinan penambahbaikan kepada struktur cukai korporat sedia ada.
Antara perkara yang sedang dikaji ialah bagaimana sistem cukai korporat boleh diselaraskan supaya ia lebih menyeluruh termasuk melihat sesama ada skopnya patut meliputi pelbagai bentuk perusahaan termasuk perusahaan persendirian dan kongsi sama.
Tujuan perbincangan ini adalah memastikan sistem percukaian yang lebih seimbang dan telus, di samping mengekalkan persekitaran perniagaan yang kompetitif serta menyokong pertumbuhan perusahaan tempatan. Namun begitu, sebarang cadangan masih di peringkat kajian awal dan pihak kerajaan komited untuk mendapatkan pandangan daripada pihak industri, usahawan dan pihak-pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat. Pihak kerajaan sangat menghargai peranan sektor swasta sebagai rakan penting dalam pembangunan ekonomi negara dan sebarang perubahan dasar akan mengambil kira kesejahteraan ekosistem perniagaan secara keseluruhan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Selain daripada mengenal pasti hasil-hasil baharu dan juga memperkukuhkan kutipan-kutipan hasil, pihak kerajaan juga bekerja keras untuk mengurangkan jumlah tunggakan hasil. Alhamdulillah, tunggakan hasil bagi Jabatan Perkhidmatan Elektrik juga telah menurun sebanyak 9 peratus dalam Tahun Kewangan 2025/2006 ini berbanding Tahun Kewangan 2024/2025, jumlah tunggakan telah menurun daripada BND406 juta kepada BND369 juta.
Manakala tunggakan hasil bagi Jabatan Perkhidmatan Air, juga telah menurun sebanyak 47 peratus pada Tahun Kewangan 2025/2026 berbanding Tahun Kewangan yang lalu iaitu dari BND31 juta kepada BND16 juta. Antara sebab penurunan jumlah tunggakan ini adalah dengan pengenalan smart meter melalui syarikat GLC iaitu Syarikat USMS Sendirian Berhad dan pengguna-pengguna yang mempunyai hutang elektrik dan air telah mula membuat pembayaran secara ansuran. Walau bagaimanapun, tunggakan hasil perumahan dukacitanya masih kekal sebanyak BND59.8 juta selama 3 tahun kebelakangan. Oleh itu, adalah penting bagi kita semua memainkan peranan dan pihak kerajaan sangat menghargai usaha setiap rakyat dan penduduk untuk membayar hutang-hutang mereka yang akan menyumbang kepada pengukuhan kedayatahanan fiskal negara secara menyeluruh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Demi mengukuhkan lagi kedayatahanan dan kemampuan kedudukan fiskal kerajaan dalam jangka panjang, kerajaan akan terus mempergiatkan lagi inisiatif pengkorporatan bagi agensi-agensi kerajaan yang telah dikenal pasti mempunyai potensi untuk dikomersialkan. Pendekatan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kecekapan operasi, menggalakkan tadbir urus yang lebih berorientasikan prestasi ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih baik serta mengurangkan kebergantungan terhadap peruntukan kerajaan.
Izinkan kaola mengongsikan beberapa pencapaian yang telah dirai melalui inisiatif pengkorporatan agensi-agensi kerajaan yang telah berjaya meningkatkan produktiviti, memperkukuh kecekapan operasi, mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan serta menyumbang kepada hasil negara.
Pertama, Wasan Milling Company Sendirian Berhad telah meningkatkan pengeluaran beras tahunan daripada 1,209 metrik tan pada Tahun Kewangan 2022/2023 kepada 2,283 metrik tan pada Tahun Kewangan 2024/2025. Langkah pengkorporatan ini telah membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan memandangkan sebelum pengkorporatan kos operasi kilang pengisaran padi tersebut secara prorata mencecah sekitar BND7.6 juta setahun. Selain itu, Darussalam Pilotage Services Sdn Bhd ataupun DPS juga menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan dalam menyediakan perkhidmatan pemanduan dan penundaan kapal di Muara Pilotage District.
Syarikat ini bukan sahaja berjaya memenuhi sepenuhnya sasaran service labour requirements dan KPI yang ditetapkan, malah turut memastikan perkhidmatan dilaksanakan secara lebih teratur dan efisien. Sejak penubuhannya pada tahun 2018, syarikat ini telah mencapai kemampuan kewangan dengan menjana hasil pendapatan sebanyak BND31 juta bagi Tahun Kewangan 2024/2025.
Di samping itu, DPS juga telah menyumbang kepada hasil negara melalui pembayaran cukai pendapatan korporat berjumlah BND3.25 juta secara keseluruhan sejak mula beroperasi. Bagi Syarikat Print Plus Sdn Bhd yang dikorporatkan daripada Jabatan Percetakan kerajaan pula, syarikat ini telah berjaya mencapai kemampanan kewangan dengan hasil pendapatan sebanyak BND2.45 juta bagi Tahun Kewangan 2024/2025.
Di samping pencapaian kecekapan operasi, Syarikat Print Plus juga telah menyumbang cukai pendapatan korporat kepada kerajaan berjumlah sekitar BND224 ribu. Usaha-usaha ini turut diterjemahkan melalui tahap kepuasan pelanggan yang tinggi dengan skor mencapai 93 peratus pada suku keempat Tahun Kewangan 2025/2026.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kerajaan juga mengambil maklum mengenai kepentingan memperkukuhkan penyelarasan antara belanjawan negara, pelaksanaan Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 serta keutamaan pembangunan ekonomi negara. Dalam hal ini, aspek pengurusan dan pemantauan projek pembangunan akan terus dipertingkatkan termasuk melalui pemantauan berkala, pengukuhan mekanisme, pengesanan awal terhadap sebarang kelewatan atau peningkatan kos projek serta penjajaran semula keutamaan projek bagi memastikan setiap peruntukan pembangunan memberi impak yang optimal kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Bagi meningkatkan usaha kerajaan dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan bagi kesejahteraan rakyat, fokus dan penekanan pemantauan yang lebih menyeluruh telah diamalkan dalam pengurusan projek dan dalam kerjasama serta komitmen yang berterusan daripada semua pihak yang terlibat untuk memastikan setiap projek dapat disiapkan dengan baik, menepati jadual dan mencapai objektif projek-projek. Ini bermaksud, setiap kementerian selaku pemilik projek berperanan secara proaktif dan bertanggungjawab bagi memastikan setiap isu dan cabaran yang dihadapi dapat ditangani dengan segera dan pelaksanaan projek tidak terjejas.
Sehubungan itu, mekanisme pemantauan akan terus dipertingkatkan dan ditambah baik melalui mesyuarat pemantauan di setiap peringkat pegawai, termasuk di peringkat Setiausaha Tetap. Pendekatan ini penting bagi membolehkan tindakan intervensi dibuat dengan segera, memastikan isu tidak berlarutan dan menjamin momentum pelaksanaan projek dapat dikekalkan dari semasa ke semasa dalam memastikan hasil pembangunan dapat dicapai seperti yang dirancang.
Inilah komitmen yang perlu terus diperkukuh agar setiap usaha kerajaan benar-benar dapat dirasai oleh rakyat dan menjamin kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara. Selain itu, dalam usaha-usaha Kerajaan bagi meningkatkan kecekapan pemantauan pelaksanaan projek, beberapa inisiatif telah dilaksanakan dengan mengambilkira cabaran yang dihadapi semasa pelaksanaan RKN11. Antaranya adalah, kapasiti pihak kementerian yang terhad, memandangkan pegawai projek yang sama juga bertanggungjawab mengurus projek-projek yang bukan RKN.
Dalam menangani isu-isu pelaksanaan projek-projek RKN, inisiatif-inisiatif berikut telah dilaksanakan. Setiap kementerian telah disarankan untuk memperkukuh peranan dan tanggungjawab pasukan RKN di kementerian masing-masing agar dapat lebih fokus, proaktif, pemedulian dan bertindak secara holistik dalam menjaga kualiti pelaksanaan projek, memantau progress projek-projek di bawah kementerian masing-masing supaya berjalan dengan efisien dan tidak terbantut.
Terdapat kementerian yang telah menubuhkan unit RKN masing-masing, manakala kementerian lain telah melantik focal person yang khusus dan fokus untuk memantau progress projek-projek RKN, mengadakan sesi knowledge sharing bersama pihak-pihak berkepentingan dari pihak kerajaan seperti ABCi, Jabatan Audit, pihak Syarikat Brunei Shell Petroleum bagi mempelajari amalan terbaik untuk memantau projek.
Pihak sekretariat RKN juga mengadakan mesyuarat pemantauan bulanan bersama pengurus projek dari setiap kementerian bagi membincangkan progress projek dan isu-isu yang dihadapi dalam pelaksanaan projek. Setiap projek deliverables akan dipantau bagi mengetahui status kesiapan dari segi fizikal dan penggunaan peruntukannya termasuk status pembayaran dengan menggunakan konsep traffic lights sebagai early warning system di samping penggunaan modal projek sistem dalam TAFIS 2.0.
Pihak sekretariat RKN juga mengadakan lawatan ke tapak projek secara berjadual di peringkat pegawai dan pengurus projek. Lawatan juga diadakan di peringkat Jawatankuasa Kerja RKN bagi meninjau prestasi dan status perkembangan projek. Bagi meningkatkan tahap pembelajaran dari setiap projek yang telah siap dilaksanakan, satu kajian penilaian kendiri, self assessment akan diberikan kepada pegawai projek untuk memperkasa pengetahuan mereka dan bagi memberikan pembelajaran ataupun lesson learned yang mendalam dari setiap projek yang dilaksanakannya bagi tujuan penambahbaikan ke atas pengurusan projek-projek yang akan datang. Pemantauan seterusnya akan dilaratkan setelah satu tahun projek siap dilaksanakan iaitu post-learning review bagi memantau keberhasilan Petunjuk Prestasi Utama, KPI bagi memastikan objektif dan outcome dari projek telah tercapai atau sebaliknya.
Melangkah tahun ketiga RKN12 pada tahun ini, sekretariat RKN akan mengadakan semakan pertengahan penggal ataupun Mid-Term Review dengan kementerian-kementerian bagi menilai tahap kemajuan, mengenal pasti jurang pelaksanaan, meneroka pembiayaan alternatif atau melalui PPP serta memastikan hala tuju projek RKN masing-masing sama ada terus kekal relevan terutama projek-projek yang masih belum bergerak sama ada untuk terus dikekalkan dalam RKN12 atau dibatalkan di samping untuk persediaan bagi RKN13.
Dari segi transformasi digital sebanyak 31 projek diluluskan di bawah RKN12 bagi memastikan kerajaan bersedia dan adaptable dengan ekonomi baharu yang banyak menggunakan AI. Peruntukan juga telah disediakan bagi mengukuhkan infrastruktur ICT yang mana akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam kepada orang ramai dan dapat mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan mesra perniagaan.
Seterusnya, berhubung dengan persoalan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof berhubung dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan bagi memperkukuh inovasi dan penyelidikan.
Projek-projek inovasi dan penyelidikan atau Research and Development merupakan pelaburan strategik jangka panjang untuk meningkatkan daya saing negara, memperkukuh keupayaan inovasi tempatan serta mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan yang bernilai tinggi. Dalam hubungan ini, peruntukan di bawah CREATES merupakan antara usaha penting untuk membangunkan projek-projek R&D yang berpotensi tinggi. Setakat ini sebanyak 17 projek penyelidikan telah diluluskan dengan lima telah selesai, sembilan sedang dilaksanakan, dua akan dilaksanakan dan satu ditamatkan.
Beberapa projek telah menunjukkan kemajuan termasuk penerbitan kertas penyelidikan dalam jurnal antarabangsa bereputasi tinggi, pembangunan aplikasi berfokus pengguna, pencapaian di pertandingan kebangsaan dan antarabangsa yang mana telah meraih pencapaian yang membanggakan serta penghasilan harta intelek yang berpotensi untuk dikomersialkan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, CSPS telah dilantik oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, MTIC untuk menyokong pembangunan Strategi Sains, Teknologi dan Inovasi Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bagi tempoh mulai tahun 2026 hingga 2030. Strategi ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi ekosistem sains, teknologi dan inovasi negara termasuk mempertingkatkan kerjasama di antara universiti, industri dan kerajaan serta menyokong penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi.
Strategi ini dijangka akan dapat menyumbang ke arah memperkasakan keupayaan negara dalam bidang sains dan teknologi di samping menyokong pembangunan sosioekonomi dan kedayatahanan jangka panjang Negara Brunei Darussalam. Butiran lanjut akan dimaklumkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi pada masa yang sewajarnya setelah strategi tersebut dimuktamadkan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam menghadapi cabaran masa hadapan kerajaan menyedari bahawa usaha membangunkan ekonomi negara memerlukan pendekatan whole of nation yang melibatkan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta serta rakyat secara keseluruhannya. Oleh itu, kerajaan akan terus mengalu-alukan pandangan dan kerjasama dari semua pihak bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam masa yang sama, kerajaan akan terus memfokuskan usaha ke arah mencapai aspirasi Wawasan Brunei 2035 melalui pelaksanaan strategi-strategi yang telah digariskan dalam Economic Blueprint, Social Blueprint dan Manpower Blueprint seperti yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat.
Kejayaan pelan-pelan ini bukan sahaja bergantung kepada perancangan dasar tetapi juga kepada keberkesanan pelaksanaan serta pemantauan yang berterusan bagi memastikan setiap inisiatif mencapai hasil yang dihasratkan. Dalam hal ini, Kementerian Kewangan dan Ekonomi juga akan terus berusaha untuk memperluaskan lagi pendekatan consultative dalam penyediaan perbelanjaan negara bukan sahaja dengan melibatkan sektor swasta malah jua di peringkat akar umbi. Pendekatan yang lebih inklusif ini adalah amat penting bagi memastikan pencapaian aspirasi pembangunan jangka panjang negara dan matlamat Wawasan Brunei 2035 dapat direalisasikan.
Akhirnya, sekali lagi kaola merakamkan penghargaan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat atas pandangan dan cadangan yang telah dikemukakan. Kerajaan komited untuk meneliti setiap pandangan tersebut dan akan terus berusaha memastikan belanjawan negara ini dapat dilaksanakan dengan berkesan demi memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta merealisasikan aspirasi bersama ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Alhamdulillah, dengan ucapan yang dibuat oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II itu menggulung rang perbincangan mengenai atau perbahasan mengenai Rang Undang-Undang dan Usul yang dikemukakan ini. Insya Allah, ianya akan kita kemukakan semula ke peringkat Jawatankuasa nanti untuk dibincangkan dengan lebih lanjut lagi.
Walau bagaimanapun, saya kira sudah cukup kita bersidang pada hari ini. Saya cadangkan supaya mesyuarat ini kita tangguhkan. Insya Allah, kita akan bersidang semula esok, hari Rabu, 18 Mac 2026 mulai jam 9.30 pagi.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.