HARI KE-5 PAGI
📖 Masa membaca: 103 minit
📊 Bilangan kata: 21,030 kata
16HB MAC 2026 PAGI
(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)
Yang Mulia Jurutulis
Bismillahir Rahmanir Rahim. Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari kelima pada hari Isnin, 26 Ramadan 1447 bersamaan 16 Mac 2026, didahului dengan Doa Selamat.
DOA SELAMAT
(Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustafa bin Haji Murat, Imam Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpah rahmat dan izinNya jua kita dapat bersama-sama berkumpul hadir pada pagi ini, untuk bersidang bagi kali kelima, hari kelima dalam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara.
Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman. Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita akan memulakan hari ini, dengan urusan mesyuarat sebagaimana yang ditentukan.
Yang Mulia Jurutulis
Waktu Pertanyaan bagi Jawab Lisan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita sekarang beralih kepada waktu pertanyaan dan sebagaimana yang lazim waktu ini akan mengambil masa selama satu jam.
Di hadapan kita terdapat senarai pertanyaan yang dikemukakan. Saya memulakan dengan soalan pertama dari Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee, yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu kaola, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee atas soalan yang telah diajukan iaitu mengenai dengan perancangan Kementerian Pendidikan untuk menerapkan ke dalam kurikulum topik berkaitan mengenai institusi negara termasuk Majlis Mesyuarat Negara dengan peranannya khususnya dalam komponen dalam mata pelajaran Melayu Islam Beraja.
Konsep Melayu Islam Beraja ataupun MIB adalah falsafah negara yang telah dimasyhurkan pada 1 Januari 1984 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mana di antara intipati titah Baginda ialah “Negara Brunei Darussalam adalah dan dengan izin serta limpah kurnia Allah Subhanahu Wata'ala akan untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan pada ajaran-ajaran ugama Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah dan dengan berdasarkan keadilan dan amanah dan kebebasan dan dengan petunjuk serta keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala jua akan berusaha pada memperoleh ketenteraman dan keselamatan, kebajikan serta kebahagiaan bagi rakyat Beta”.
Sebagai menjunjung tinggi titah Baginda itu, Kementerian Pendidikan telah menjadikan konsep Melayu Islam Beraja ataupun MIB sebagai satu mata pelajaran teras dalam sistem pendidikan negara. Topik-topik berkaitan institusi negara termasuk kedudukan raja sebagai ketua negara serta peranan badan-badan Kerajaan seperti Majlis Mesyuarat Negara diserapkan secara sistematik melalui kurikulum MIB dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi. Struktur pelaksanaan kurikulum di setiap peringkat adalah seperti berikut:
Pertama, Peringkat Rendah Tahun 1 hingga 6, pada tahap ini penekanan diberikan kepada menghormati simbol-simbol kedaulatan negara dan mengetahui perkara-perkara yang menyalahi undang-undang negara sebagai asas pematuhan sivik;
Kedua, Peringkat Menengah Tahun 7 hingga 11. Pada peringkat ini penumpuan adalah pendedahan secara lebih mendalam mengenai fungsi institusi-institusi negara termasuk peranan Majlis Mesyuarat Negara sebagai platform untuk perundingan dan suara rakyat. Ini bertujuan melahirkan belia yang beridentitikan Islam dan mempunyai ciri-ciri peribadi Melayu Islam Beraja yang diperlukan untuk kemajuan sosioekonomi; dan Ketiga di Peringkat Pengajian Tinggi juga kursus Melayu Islam Beraja menerapkan nilai kewarganegaraan dan menekankan fokus yang mendalam terhadap identiti nasional, patriotisme dan kenegaraan.
Bagi pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negeri, pihak kementerian juga telah menyediakan program signature untuk memastikan kedaulatan dan institusi negara terus dihormati walaupun mereka berada jauh dari tanah air. Contohnya Program Jati Diri Barakah bagi penerima biasiswa kerajaan dan kursus Tarbiyah Al-Ihsan menerapkan enam aspek penting termasuk patriotisme serta aspek aqidah dan MIB. Program-program ini memastikan pelajar memahami tanggungjawab mereka sebagai duta negara yang menjunjung tinggi institusi diraja dan sistem pemerintahan Brunei.
Sebagai kesimpulan, Kementerian Pendidikan sentiasa mengemaskini kokurikulum MIB bagi memastikan peranan institusi penting seperti Majlis Mesyuarat Negara difahami sepenuhnya oleh pelajar. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan. Silakan Yang Berhormat Datin.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua, terima kasih jua kepada Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin yang meminta Kementerian Pendidikan untuk menyatakan usaha dan perancangan kementerian untuk memperkukuh pelaksanaan Akta Pendidikan Wajib dan Dasar Pendidikan Inklusif.
Bagi memperkukuh pelaksanaan Akta Pendidikan Wajib dan Dasar Garispandu Pendidikan Khas yang berprinsipkan konsep pendidikan inklusif bagi Orang Kelainan Upaya, Kementerian melalui Jabatan Pendidikan Khas telah merangka beberapa perancangan strategik yang menyeluruh.
Terbaru, sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh kefahaman dan peranan kepimpinan sekolah terhadap pelaksanaan pendidikan inklusif dan intervensi awal, School Leaders Symposium telah diadakan pada November 2025 yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Pengurusan Pendidik dan Jabatan Sekolah-Sekolah dengan sokongan Jabatan Pendidikan Khas.
Simposium ini memberi penekanan kepada kepentingan pengenalpastian awal ataupun early identification intervensi yang bersesuaian serta pendekatan kepimpinan sekolah yang inklusif dalam memastikan pelaksanaan pendidikan wajib yang lebih berkesan.
Inisiatif ini akan diteruskan melalui Konvensyen Pemimpin Sekolah pada Mei 2026 dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Pendidik yang memberi fokus kepada pendekatan early intervention bagi memastikan pengenalpastian dan sokongan kepada pelajar berkeperluan khas dilaksanakan lebih awal dan secara lebih sistematik di semua sekolah.
Bagi peningkatan kapasiti guru, pihak kementerian terus giat melaksanakan kursus-kursus dalam bidang Pendidikan Khas seperti Introductory Course in Special Education untuk guru-guru aliran perdana, kursus-kursus pendek di bawah Brunei Darussalam Leadership and Teacher Academy ataupun BDLTA serta latihan pengkhususan dengan kerjasama SEAMEO SEN bagi meningkatkan kompetensi guru pendidikan khas dan dalam masa yang sama merapatkan jurang nisbah pelajar-pelajar. SEAMEO SEN adalah Leading Centre for Quality Teaching and Learning in Special Educational Needs iaitu sebuah pusat serantau yang terletak di Malaysia. Dari segi prasarana dan akses yang saksama di semua daerah, pihak kementerian dalam perancangan untuk menubuhkan tiga lagi pusat kecemerlangan tambahan pada tahun ini.
Insya Allah bagi memperluaskan perkhidmatan bantuan kepakaran, intervensi khusus dan teknologi bantuan. Pada masa yang sama, pelaksanaan individualised education plan terus dipantau bagi memastikan modifikasi kurikulum dilaksanakan mengikut keperluan setiap pelajar. Penempatan guru pendidikan khas juga dilaksanakan secara dinamik berasakan data enrollment bagi memastikan perkhidmatan di keempat-empat daerah adalah memadai.
Di samping itu, kerjasama antara agensi turut diperkukuhkan melalui kerjasama rapat dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta agensi-agensi berkaitan dalam aspek kebajikan, intervensi awal dan sokongan komuniti bagi memastikan pendekatan yang lebih holistik terhadap pendidikan pelajar OKU.
Secara keseluruhannya, pihak Kementerian Pendidikan akan terus memastikan semua inisiatif ini dilaksanakan secara bersepadu bagi menjamin pendidikan inklusif yang saksama, berkualiti dan mampan di semua daerah.
Sekian dan terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty bin Haji Abdul Mumin kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan jika terdapat independent review bagi mengukur keberkesanan Model Inclusive Schools and Centre of Excellence. Setakat ini, Kementerian Pendidikan tidak merancang untuk melaksanakan independent review secara khusus bagi menilai keberkesanan Model Inclusive School, MIS atau Centre of Excellence, COE termasuk dari segi economies of scale, nisbah guru pelajar dan kompetensi guru.
Walau bagaimanapun, penilaian dan pemantauan berterusan akan terus dilaksanakan melalui mekanisme dalaman kementerian bagi memastikan kualiti penyampaian pendidikan kepada pelajar berkeperluan khas sentiasa berada pada tahap yang tinggi dan memenuhi standard yang ditetapkan selaras dengan peningkatan jumlah enrollment pelajar dalam kategori tersebut. Dalam hal ini, Jabatan Pendidikan Khas memainkan peranan penting dalam merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan dasar serta program pendidikan khas bagi menjamin kualiti dan keberkesanan intervensi yang diberikan.
Di samping itu, Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah turut melaksanakan pemantauan bagi memastikan pematuhan kepada standard yang ditetapkan. Kementerian juga akan terus memperkukuh pelaksanaan program pembangunan kapasiti guru dan pembantu guru melalui latihan berstruktur selaras dengan amalan terbaik antarabangsa ataupun International Best Practices bagi memastikan sistem pendidikan khas yang dilaksanakan bersifat responsif, inklusif dan berdaya tahan.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman juga kepada Kementerian Pendidikan.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan kedudukan dasar pendidikan inklusif bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas.
Melalui Dasar Pendidikan Inklusif 1997, kementerian komited untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada semua kanak-kanak tanpa mengira keupayaan. Dasar ini menekankan persekitaran pembelajaran yang menyokong dan memastikan murid berkeperluan khas mendapat peluang pendidikan yang saksama. Ini termasuklah komitmen untuk menyediakan kurikulum pembelajaran dan kaedah pengajaran bagi tempoh yang bersesuaian mengikut tahap keutamaan ataupun priority level/pelajar.
Dari segi prasarana, Kementerian Pendidikan telah menyediakan rangkaian Pusat Sokongan Pendidikan Khas di sekolah-sekolah yang merangkumi 4 buah Centres of Excellence, 9 Model Inclusive Schools dan 87 buah learning assistance centre di samping 2 buah sekolah swasta menjadikan keseluruhannya 102 institusi pendidikan yang menyediakan sokongan pendidikan khas.
Setiap Centre of Excellence dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran yang lebih komprehensif termasuk konsep smart inclusive classroom yang mengintegrasikan teknologi pembelajaran dan peralatan intervensi khusus bagi menyokong pelbagai keperluan pembelajaran pelajar. Kementerian Pendidikan juga melaksanakan inisiatif SENSE ataupun Special Education Needs Support Educators yang bertujuan memperkukuhkan kemahiran guru aliran perdana dalam menyokong pelajar berkeperluan khas di bilik darjah. Inisiatif ini turut melibatkan guru akademik dan guru ugama bagi memastikan pendekatan whole school approach dalam pelaksanaan pendidikan inklusif.
Walau bagaimanapun, dari aspek sumber tenaga, Kementerian Pendidikan masih memerlukan lebih ramai tenaga pengajar yang mempunyai pengkhususan dalam pendidikan berkeperluan khas bagi membantu pelajar-pelajar yang semakin meningkat jumlahnya dari setahun ke setahun.
Bagi pelajar-pelajar, pelaksanaan Individualised Education Plan ataupun IEP terus diperkukuhkan lagi bagi memastikan setiap pelajar berkeperluan khas menerima pendekatan pembelajaran yang disesuaikan dengan tahap kebolehan mereka termasuk dalam aspek akademik, komunikasi, kemahiran sosial emosi serta kemahiran hidup berdikari.
Sekian dan terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin dan juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan langkah memulihara sekolah di kampung air.
Kementerian Pendidikan sentiasa memberi perhatian yang tinggi terhadap aspek keselamatan dan pemuliharaan bangunan sekolah-sekolah di kampung air bagi memastikan ia kekal selamat dan sesuai digunakan dalam jangka masa panjang. Terdapat lima buah sekolah di kampung air yang sedang beroperasi pada masa ini iaitu Sekolah Rendah Sungai Siamas, Sekolah Rendah Saba Darat, Sekolah Rendah Bendahara Lama, Sekolah Rendah Haji Tarif, Sekolah Rendah Tanjung Kindana.
Sebuah sekolah iaitu Sekolah Rendah Pehin Dato Jamil telah dikosongkan pada 28 Februari 2025 disebabkan oleh keadaan infrastruktur yang tidak selamat. Bagi memastikan struktur bangunan sekolah yang masih beroperasi sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terpelihara, Kementerian Pendidikan mengambil pendekatan berikut:
Pertama, pelaksanaan pemeliharaan berterusan melalui contract facilities management termasuk kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan ke atas struktur lantai dan dinding kayu dan struktur konkrit seperti tiang, lantai dan rasuk ataupun beam;
Kedua, kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya bagi menjalankan penilaian teknikal dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan struktur yang memerlukan kepakaran khusus;
Ketiga, pengawalan serangga perosak khususnya anai-anai yang boleh menjejaskan struktur bangunan melalui kontrak penggal jabatan; dan
Keempat, kerjasama dengan Jabatan Daerah bagi pembaikan dan penyelenggaraan jeti serta jambatan yang terletak di luar kawasan sekolah bagi memastikan akses yang selamat ke sekolah.
Langkah-langkah ini dilaksanakan secara berterusan dan dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan warga sekolah sentiasa terjamin serta bangunan sekolah kekal berfungsi dengan baik dalam jangka masa panjang. Sekian dan terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat pagi dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola berterima kasih kepada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin di atas soalan yang diajukan mengenai kerjasama Jabatan Tenaga dengan Institusi Pengajian Tinggi dan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia, ERIA dalam penetapan energy mix.
Sehubungan dengannya, kaola sukacita mohon izin Yang Berhormat Yang Di-Pertua untuk kaola menggabungkan jawapan bagi soalan ini dengan soalan daripada Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan memandangkan kedua-duanya berkait dengan perancangan campuran tenaga negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Jadi soalan 6 dan soalan 7.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II
Insya Allah.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Silakan Yang Berhormat.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Buat menjawabnya Jabatan Tenaga terus memperkukuh kerjasama antarabangsa, serantau dan domestik bagi memastikan penetapan energy mix negara adalah berasaskan kajian teknikal, ekonomi serta penilaian risiko termasuk melalui kerjasama dengan ERIA, ASEAN Centre For Energy, ACE dan Asia-Pacific Economic Cooperation, APEC dalam pemodelan senario energy mix jangka panjang.
Integrasi tenaga boleh diperbaharui ke arah mencapai sasaran meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2035 di bawah Brunei National Climate Change Policy serta penilaian kebolehlaksanaan teknologi rendah karbon seperti hidrogen hijau, e-fuels dan carbon capture dan storage. Dapatan kajian ini menjadi input penting dalam penetapan strategi tenaga negara khususnya bagi jangka masa sederhana dan panjang menuju tahun 2035 dan seterusnya.
Bagi jangka masa sederhana, tumpuan diberikan kepada pengukuhan infrastruktur tenaga elektrik bagi menyokong pengintegrasian tenaga boleh diperbaharui termasuk tenaga suria di samping memajukan projek tenaga elektrik rentas sempadan Brunei-Sarawak sebagai sebahagian daripada inisiatif ASEAN Power Grid. selaras dengan memorandum persefahaman yang dimeterai pada bulan September 2025. Bagi jangka masa panjang pula, tumpuan diberikan kepada penilaian potensi pembangunan teknologi rendah karbon.
Pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara, bagi Negara Brunei Darussalam menyokong pembangunan projek hiliran bernilai tinggi serta meningkatkan daya saing dan daya tahan sektor tenaga negara.
Manakala di peringkat domestik, pihak jabatan turut bekerjasama dengan Universiti Brunei Darussalam, UBD dan Universiti Teknologi Brunei, UTB bagi memperkukuh penyelidikan, analisis teknikal serta pembangunan kapasiti tempatan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan teknologi rendah karbon.
Insya Allah, melalui kerjasama berterusan bersama rakan antarabangsa, serantau dan institut tempatan, penetapan energy mix negara akan terus diperkukuh secara terancang bagi memastikan keselamatan, keterjaminan dan daya tahan sektor tenaga negara dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi serta perubahan lanskap tenaga global.
Sekian saja yang dapat kaola sampaikan, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih jua atas soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir berkenaan dengan bagaimanakah keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan hutan diuruskan dalam perancangan guna tanah negara.
Keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan hutan diurus melalui pelaksanaan dasar-dasar berkenaan yang ada serta penyelarasan perancangan guna tanah negara bersama agensi-agensi berkenaan. Apa yang dimaksudkan dengan pelaksanaan dasar yang ada masa ini ialah ada dua dasar:
Pertama, ialah dasar perhutanan negara dan kedua ialah dasar biodiversiti kebangsaan dan pelan tindakan strategik. Dasar hutan negara memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan hutan yang mampan. Ianya merupakan dasar yang bertanggungjawab untuk memelihara, memaju dan mengurus sumber hutan bagi maksud pemeliharaan dan peningkatan mutu kehidupan, menggalakkan kemajuan sosial ekonomi rakyat serta menyediakan kemudahan persekitaran dan keseimbangan ekologi untuk jangka panjang.
Melalui dasar ini, Negara Brunei Darussalam komited mengekalkan hutan simpan kepada sekurang-kurangnya 55 peratus keluasan tanah negara. Sementara dasar biodiversiti kebangsaan dan pelan tindakan strategik bertujuan mengurus sumber-sumber biodiversiti secara mampan menjelang 2030. Dasar ini merangkumi 4 matlamat, 18 sasaran dan 50 tindakan yang memfokuskan pemeliharaan alam sekitar, pembangunan sosial ekonomi dan kelestarian untuk generasi masa depan.
Di samping pelaksanaan dasar tersebut, Jabatan Perhutanan turut juga berperanan sebagai ahli dalam jawatankuasa mengenal pasti tapak yang diselaraskan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa di bawah Kementerian Pembangunan bagi memberi pandangan dan juga input teknikal terhadap sebarang cadangan pembangunan yang melibatkan kawasan-kawasan dan juga sumber hutan.
Pada masa ini liputan hutan negara merangkumi lebih daripada 70 peratus jumlah keluasan negara dan dari keseluruhan jumlah ini kira-kira 41 peratus telah diwartakan sebagai hutan simpan yang merangkumi kawasan pemuliharaan, perlindungan dan pengeluaran dan rekreasi dan taman negara. Pendekatan ini memastikan kawasan hutan yang mempunyai kepentingan ekologi terus dipelihara sementara pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan secara terancang dan mampan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan
Bismillahir Rahmanir Rahim. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann mengenai soalan pencapaian terkini dalam aspirasi negara bersih, bumi hijau dan petunjuk aras atau KPI yang digunakan untuk mengukurnya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Hakikatnya aspirasi ini ialah alam sekitar lestari, persekitaran yang bersih dan hijau di bawah hasil pencapaian negara keenam iaitu di bawah Wawasan Brunei 2035. Usaha ini melibatkan berbagai inisiatif dan langkah strategik yang dilaksanakan oleh kerajaan dan industri-industri yang berkepentingan.
Antara pencapaian utama di bawah peruntukan Tahun Kewangan 2025/2026, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi adalah termasuk pengurusan sisa pepejal atau solid waste management, pengurusan kualiti udara, kualiti air serta usaha mengurangkan pencemaran di seluruh negara termasuk kawasan bandar dan luar bandar. Antaranya ialah:
Pertama, Projek Pembersihan Sampah secara berterusan di Sungai Brunei yang telah dimulakan pada 16 April 2023 dan projek ini menelan belanja sebanyak BND100 ribu sebulan;
Kedua, pemasangan CCTV untuk membanteras aktiviti pembuangan sampah di kawasan-kawasan hotspot di seluruh daerah yang mana telah dimulakan pada tahun 2021, pemasangan CCTV ini telah dilaksanakan di beberapa tempat yang sejauh ini telah merekodkan perbelanjaan sebanyak BND360 ribu;
Ketiga, penaiktarafan tapak pengumpulan sampah iaitu LED Solar Signage di beberapa kawasan tapak pengumpulan sampah seperti di Kampong Lumapas dan Jalan Binglu di Perumahan Negara Meragang yang mana ini telah selesai dilaksanakan pada bulan Disember tahun 2025;
Keempat, pemasangan peralatan pemantauan kualiti udara yang siap dilaksanakan pada 8 Januari 2025 dan ditempatkan di Stesen Kualiti Udara Anggerek Desa di Daerah Brunei Muara, di Bukit Beruang di Daerah Tutong, di Pekan Bangar di Daerah Temburong dan di Kampong Pandan di Daerah Belait;
Kelima, kemajuan perancangan loji waste to energy melalui request for quotation iaitu request proposal yang pada masa ini dalam proses tawaran yang mana telah dilanjutkan tempoh tawaran ini daripada 3 Februari 2026 sehingga ke 5 Mei 2026; dan
Keenam, program kesedaran alam sekitar secara berterusan termasuk inisiatif Eco Food Waste secara berterusan yang dimulakan pada 27 Februari 2025. Hari Kitar Semula, Recycling Day yang dilaksanakan dua kali setiap tahun bermula tahun 2025 dan sesi pemberigaan mengenai projek perkhidmatan kutipan sampah rumah ke rumah mengikut kawasan Perumahan Negara Kampung Rimba yang akan dimulakan pada 1 Jun 2026 ini nanti.
Manakala terdapat juga inisiatif-inisiatif lain di bawah Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan serta Jabatan Tenaga termasuk program penanaman pokok dan pemuliharaan hutan melalui projek penanaman semula hutan dan pemeliharaan biodiversity. Setakat ini telah mencapai penanaman sebanyak 97,995 batang pokok keseluruhannya.
Selain itu pelaksanaan tenaga boleh diperbaharui iaitu renewable energy melalui inisiatif Projek Tenaga Solar bertujuan mengurangkan jejak karbon, menggalakkan penggunaan tenaga bersih dan seterusnya menyokong pembangunan persekitaran yang lebih bersih dan mampan.
Benchmark atau KPI yang digunakan bagi mengukur keberkesanan pelaksanaan inisiatif-inisiatif atau program-program alam sekitar sepanjang Tahun Kewangan 2025/2026, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi ialah dengan mengekalkan peruntukan dan sumber resource yang ada ke arah perlindungan serta penjagaan alam sekitar.
Antara pencapaian utama termasuklah 100 hari dengan kualiti udara di tahap baik iaitu di bawah 50 psi dan 95 peratus sungai utama mencapai tahap water quality index yang baik dan kadar kitar semula sebanyak 23.1 peratus iaitu yang telah melebihi sasaran. Jumlah peratus ini digunakan untuk menilai keberkesanan pengurusan sisa pepejal dan pencapaiannya.
Mengenai KPI berkaitan tadbir urus Pejabat Perubahan Iklim Brunei, Climate Change Office, dalam menilai jumlah pengurangan carbon emission ataupun emisi karbon. Pada tahun 2024 negara telah berjaya mengurangkan pelepasan greenhouse gas kepada 14.9 juta tan carbon dioxide berbanding sasaran business as usual sebanyak 17.13 juta carbon dioxide pada tahun 2024 iaitu pencapaian sebanyak 87.5 peratus dari sasaran.
Pencapaian ini adalah hasil pendekatan senegara whole of nation approach antara agensi-agensi yang berkepentingan dan industri-industri yang berkepentingan dalam memacu agenda perubahan iklim. Semua pencapaian ini akan terus dipantau melalui laporan tahunan dan penilaian keberhasilan berdasarkan KPI yang telah ditetapkan. Ini ialah untuk memastikan aspirasi negara bersih dan lestari dapat dicapai secara berterusan dan mampan. Itulah jawapan kaola pada soalan itu.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat yang bertanya mengenai rancangan kementerian dalam penyediaan lebih banyak kemudahan komputer kepada sekolah-sekolah ataupun lab komputer untuk digunakan bagi mengajar mata pelajaran IT.
Pada tahun 2024, kesemua komputer di makmal komputer sekolah telah digantikan dengan komputer riba baharu melibatkan kira-kira 6 ribu unit bagi menyokong pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran digital di sekolah-sekolah. Jumlah ini adalah mencukupi pada masa ini untuk menyokong pengajaran mata pelajaran ICT serta keperluan pembelajaran berasaskan teknologi di sekolah.
Selain itu, Kementerian Pendidikan turut membuat perancangan melalui peruntukan tahunan bagi menambah jumlah komputer di sekolah-sekolah mengikut keperluan semasa termasuk bagi menampung pertambahan pelajar atau sebarang peningkatan keperluan kokurikulum berkaitan ICT. Kementerian akan terus memantau keperluan infrastruktur ICT bagi memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa mencukupi dan selaras dengan agenda pendigitalan pendidikan negara. Sekian dan terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub pada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih juga pada Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub di atas soalan mengenai usaha dalam memastikan kadar tarif elektrik berdaya saing dan berpatutan bagi pengguna bagi golongan yang berpendapatan rendah.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam memastikan kadar tarif elektrik kekal berdaya saing dan berpatutan khususnya bagi golongan yang berpendapatan rendah, pendekatan pihak kerajaan adalah berasaskan keseimbangan kesejahteraan sosial, daya saing ekonomi dan kelestarian sistem tenaga jangka panjang.
Alhamdulillah, dengan limpah kurnia Allah Subhanahu Wata'ala, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam masih berupaya mengekalkan sokongan terhadap tarif elektrik bagi kegunaan rakyat bagi memastikan kos tenaga kekal berpatutan seterusnya menyokong produktiviti ekonomi, kesejahteraan sosial dan kemakmuran negara secara berterusan.
Struktur tarif perumahan telah disemak semula pada tahun 2012 yang mana sebelumnya kadar tarif adalah bersifat regresif, diubah kepada struktur progresif. Pelarasan ke atas tarif ini adalah bertujuan untuk memastikan golongan yang berpendapatan rendah dilindungi melalui kadar lebih rendah bagi blok penggunaan asas, manakala penggunaan lebih tinggi dikenakan kadar yang lebih mencerminkan kos sebenar agar orang awam dapat mengamalkan penjimatan penggunaan tenaga elektrik seharian mereka. Pendekatan ini membolehkan bantuan disasarkan secara tidak langsung kepada isi rumah berpendapatan rendah.
Setakat tahun 2023, blok pertama tarif perumahan merangkumi sekitar 6 peratus daripada jumlah pengguna domestik yang lazimnya terdiri daripada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana yang mana tahap penggunaan elektrik adalah rendah. Selain itu, sokongan tambahan kepada keluarga atau individu yang kurang berkemampuan berkaitan bil ataupun penggunaan elektrik juga disalurkan secara case-by-case basis berdasarkan senarai yang dikenal pasti melalui Majlis Ugama Islam Brunei, MUIB. Sehingga kini, jabatan telah menerima sebanyak 33 permohonan yang disokong oleh MUIB bagi penyaluran bantuan tersebut.
Di antara kaedah yang turut boleh dipertimbangkan ialah pemasangan meter tambahan bagi premis kediaman berpendapatan rendah yang didiami oleh beberapa keluarga dalam satu premis yang sama. Walau bagaimanapun, sebarang pertimbangan atau kebenaran bagi pemasangan meter tersebut hendaklah terlebih dahulu diperolehi melalui pengesahan daripada pihak penghulu atau ketua kampung.
Usaha turut ditumpukan kepada memperkasa penggunaan dalam mengawal penggunaan tenaga mereka. Penggunaan Sistem Meter Pintar, USMS membolehkan pengguna memantau penggunaan elektrik secara lebih dekat, sekali gus menggalakkan amalan penggunaan tenaga secara lebih berhemah serta membantu pengguna mengurus perbelanjaan bil elektrik dengan lebih baik.
Dalam usaha mengurangkan beban bil pengguna secara keseluruhan, faktor paling kritikal bukan sahaja terletak pada struktur tarif tapi juga pada tahap penggunaan itu sendiri. Melalui amalan kecekapan dan penjimatan tenaga, Energy Efficiency and Conservation, EEC. Dalam perkara ini, pihak kerajaan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif EEC secara bersepadu. Antaranya melalui:
Pertama, penyampaian taklimat mengenai tenaga suria dan program net-metering kepada masyarakat melalui Program Sua Muka anjuran Jabatan Penerangan yang diadakan di beberapa buah kampung dan mukim di seluruh negara;
Kedua, penyampaian taklimat penjimatan tenaga anjuran Institut Perkhidmatan Awam, IPA, bagi pegawai-pegawai kerajaan, di sekolah-sekolah dan juga di beberapa buah bangunan kerajaan dan premis-premis komersial;
Ketiga, penghasilan video penjimatan tenaga hasil kolaborasi di antara Jabatan Tenaga dan Jabatan Radio Televisyen Brunei, RTB;
Keempat, menggalakkan penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga melalui pelabelan dan piawaian minimum kecekapan tenaga, MEPS;
Kelima, mengeluarkan garis-garis panduan bagi premis komersial;
Keenam, pelaksanaan audit tenaga dan amalan pengurusan tenaga bagi sektor komersial dan kerajaan; dan
Ketujuh, mengawasi amalan perubahan tingkah laku kos rendah seperti pengawalan suhu penyaman udara.
Perubahan tingkah laku ini amat penting kerana ia bukan sahaja menjimatkan penggunaan tenaga dan mengurangkan bil pengguna, malah berupaya membentuk sebuah masyarakat yang lebih peka dan bertanggungjawab terhadap penggunaan tenaga. Dalam jangka panjang, pembudayaan ini akan mewujudkan komuniti yang lebih sedar akan nilai strategik sumber tenaga negara dan kepentingan menggunakannya secara lestari.
Sekian sahaja yang dapat disampaikan Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Awang Lau How Teck pada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih atas soalan Yang Berhormat Awang Lau How Teck mengenai pertumbuhan kos sara hidup dan pendapatan sebenar rakyat serta mengenai dasar fiskal kerajaan. Tidak dinafikan kos sara hidup telah meningkat beberapa tahun kebelakangan.
Fenomena ini bukan terhad kepada Negara Brunei Darussalam tetapi turut dialami oleh negara-negara lain secara global. Sebahagiannya, besarnya berpunca daripada gangguan rantaian bekalan dunia atau pun global supply chain dan ketidaktentuan harga tenaga akibat ketegangan geopolitik yang secara langsung juga memberi impak kepada ekonomi kita. Dalam menghadapi tekanan antarabangsa ini, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus mengambil langkah berhemah bagi memastikan kestabilan domestik dan perlindungan kebajikan rakyat khususnya bagi golongan yang memerlukan.
Berkenaan potensi kesan kepada kesejahteraan rakyat Negara Brunei Darussalam terutamanya dari segi kenaikan harga barangan pengguna akibat rantaian bekalan yang terjejas dan peningkatan kos import, insya Allah, kerajaan akan terus mengurangkan beban kos sara hidup khususnya melalui pengekalan harga barangan bersubsidi seperti beras dan bahan api pada tahap yang sedia ada. Tanpa sokongan subsidi ini, rakyat akan lebih terkesan oleh tekanan inflasi sebagaimana yang dialami di kebanyakan negara lain.
Walau bagaimanapun, bantuan dan subsidi perlu disasarkan secara lebih terarah kepada golongan yang benar-benar memerlukan dengan memanfaatkan Sistem Kebajikan Negara, SKN, bagi memastikan keberkesanan dan keadilan pengagihan.
Seterusnya pihak kerajaan juga sudah menyediakan perlindungan sosial bagi golongan yang terkesan melalui pertama, jaminan gaji minimum dan kebajikan pekerja di mana kerajaan komited melindungi hak pekerja termasuk pekerja sambilan melalui Akta Perintah Pekerja Penggal 278. Langkah utama termasuk penguatkuasaan perintah pekerjaan upah minimum bagi mengelakkan bayaran gaji yang terlalu rendah serta memastikan kebajikan majikan dan pekerja sama-sama terjaga.
Kedua, bagi memastikan kesejahteraan pekerja di hari persaraan, Skim Persaraan Kebangsaan, SPK telah diperkenalkan dan diwajibkan bagi semua pekerja tempatan di sektor formal termasuk pekerja sambilan untuk menjamin simpanan hari tua. Bagi pekerja gig, caruman kepada SPK adalah secara sukarela selaras dengan amalan di negara-negara lain.
Ketiga, dalam memastikan pasaran kerja yang mampan, Kerajaan menekankan pendekatan yang bersepadu termasuk kerjasama rapat bersama dengan pihak industri seperti menyelaraskan latihan agar relevan dengan keperluan industri, membangunkan saluran kemahiran untuk tempoh sederhana iaitu 2 hingga 5 tahun; melaksanakan proses tempatan pekerja tempatan, localization secara berperingkat dengan penanda aras yang jelas dan sistematik. Seterusnya, kerajaan terus giat menarik pelaburan langsung asing berkualiti dalam beberapa sektor keutamaan untuk menjana peluang pekerjaan yang melampaui kapasiti ekonomi semasa.
Sepertimana telah dirumuskan masa pembentangan kertas cadangan Rang Undang-Undang Pembekalan bagi tahun 2026/2027 pada 14 Mac 2026 yang lalu, beberapa projek FDI kini dalam fasa pelaksanaan dan dijangka akan menawarkan banyak peluang pekerjaan bagi anak tempatan apabila beroperasi sepenuhnya nanti. Langkah-langkah ini Insya Allah akan membantu meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya bagi menangani impak kos sara hidup yang meningkat.
Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Seterusnya soalan Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin di atas pertanyaan mengenai kesan sistem persekolahan integrasi terhadap waktu keluar masuk kakitangan Kerajaan termasuk jika ada terjejas pelancaran tugas, keberkesanan operasi pejabat serta mutu perkhidmatan awam.
Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA pada masa ini dalam proses pengumpulan data selama 3 bulan mulai bulan Januari hingga Mac 2026 melalui Sistem Sumber Manusia, SSM untuk meneliti waktu-waktu kehadiran dan keluar pejabat pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam. Data tersebut akan digunakan bagi Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA mengkaji dan meneroka inisiatif bersesuaian dan bertepatan untuk menangani apa jua impak dari sistem integrasi yang berkaitan dengan produktiviti dalam perkhidmatan awam.
Data ini seterusnya akan membolehkan Jabatan Perkhidmatan Awam dan agensi-agensi yang berkenaan seperti Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, MSD untuk menilai dengan lebih menyeluruh implikasi terhadap operasi dan kelancaran tugas serta mutu perkhidmatan awam dan penyampaian perkhidmatan.
Dalam masa yang sama, ketua-ketua jabatan adalah juga bertanggungjawab untuk terus membuat pemantauan terhadap pegawai-pegawai dan kakitangan mereka masing-masing agar sentiasa memastikan kelancaran tugas termasuklah keberkesanan operasi pejabat sentiasa terpelihara. Sekian saja Yang Berhormat Yang Di-Pertua, terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin yang bertanya mengenai Skim Pencapaian Guru, SPG.
Semenjak SPG diwujudkan pada tahun 2008, beberapa pencapaian telah dihasilkan seperti berikut:
Pertama, penyerapan tenaga pengajar secara berterusan dalam Skim Perguruan 'G', kejawatan di bawah SPG secara keseluruhan sebanyak 5,021 orang bermula dari tahun 2010 sehingga Februari 2026;
Kedua, penghasilan kerangka Skim Tenaga Pengajar Brunei Darussalam yang menetapkan satu penanda aras dalam merancang dan menghasilkan tenaga pengajar yang berkualiti mengikut bidang masing-masing; dan
Ketiga, bagi tempoh tahun 2019 sehingga tahun 2024, jumlah keseluruhan kenaikkan pangkat adalah seramai 298 orang iaitu PG3 Pegawai Pendidikan seramai 209 orang, PG4 Pegawai Pendidikan Tingkat Khas seramai 33 orang dan PG2 Guru Tingkat I seramai 54 orang dan PG5 Pegawai Pendidikan Kanan seramai 2 orang.
Secara rumusan sebanyak 4.4 peratus tenaga pengajar telah pun dinaikkan pangkat. Cabaran utama di bawah SPG adalah proses penyerapan daripada Skim G ke Skim PG yang mengambil masa yang lama. Alhamdulillah, pada 22 Februari 2025 satu dasar baru telah diluluskan di mana pengambilan tenaga pengajar akan terus menggunakan jawatan ke dalam Skim PG saja. Dengan ini skim guru lama dalam Skim G tidak akan digunakan lagi.
Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed kepada Yang Berhormat, Menteri Pendidikan.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed yang bertanya mengenai hala tuju masa depan sistem pendidikan negara.
Hala tuju masa depan sistem pendidikan Negara Brunei Darussalam dipandu secara komprehensif oleh Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2023-2027 yang dilancarkan pada September 2023. Pelan ini dirangka bagi menyahut aspirasi Wawasan Brunei 2035 dan diselaraskan dengan Manpower Blueprint untuk memastikan setiap pelaburan Kerajaan menghasilkan modal insan yang berkualiti tinggi dan berdaya saing.
Kementerian telah menetapkan tiga matlamat strategik utama sebagai tunjang hala tuju ini. Matlamat satu, memupuk pelajar siap siaga masa hadapan. Fokus utama adalah untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran inovasi, keupayaan untuk mencipta bersama serta kesediaan untuk mengharungi cabaran masa hadapan yang sentiasa berubah sebagai ahli masyarakat yang aktif.
Matlamat kedua, mempertingkat ekosistem pendidikan inovatif. Matlamat ini bertujuan mewujudkan persekitaran pendidikan yang teguh dan relevan melalui penglibatan aktif semua pihak berkepentingan bagi menyediakan penyelesaian pendidikan yang fleksibel. Matlamat ketiga, membina sumber tenaga manusia.
Menekankan peningkatan, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan di semua peringkat termasuk tenaga pengajar dan kakitangan sokongan melalui latihan profesional yang cemerlang dan standard etika yang tinggi. Bagi memastikan hala tuju ini mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, pihak kementerian menggunakan 7 ukuran yang kejayaan utama ataupun Key Success Measures, KSM yang dipantau secara rapi.
Data pencapaian KSM digunakan untuk menilai pulangan pelaburan ataupun Return on Investment, ROI Kerajaan dalam sektor pendidikan. Antara KSM yang digunakan adalah pencapaian akademik iaitu KSM 1 dan KSM 2 yang menunjukkan peratus pelajar yang memperolehi kecermelangan dalam PSR dan ‘O’ Level.
Walaubagaimanapun, kejayaan bukan saja ditentukan melalui gred peperiksaan tetapi melalui impak sistemik terhadap negara. Dari perspektif ekonomi, KSM 3 menyukat kadar kemasukkan kasar ataupun Gross Enrollment Rate ke peringkat pasca menengah yang menunjukkan keberkesanan penyaluran pelajar ke peringkat pendidikan tinggi dan latihan vokasional untuk membina tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Selain itu, keberkesanan pendidikan negara dalam menghasilkan nilai ekonomi juga diukur melalui kadar kebolehkerjaan graduan iaitu KSM 5, kadar kepuasan majikan KSM 6, yang menggambarkan sejauh mana graduan mampu menembusi pasaran kerja dan tahap kepuasan majikan terhadap kompetensi mereka. Nilai sosial dan kemampanan disukat melalui KSM 7 yang memastikan institusi pendidikan tinggi menjadi pemangkin kepada penyelidikan dan inovasi termaju melalui jalinan kerjasama dengan industri dan agensi antarabangsa yang akhirnya akan menambah nilai kepada sistem pengetahuan global.
Melalui usaha-usaha yang diungkayahkan oleh Kementerian Pendidikan dengan sokongan padu pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan, kementerian yakin hala tuju ini akan melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035, insya Allah. Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan yang Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof yang juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof yang meminta kementerian untuk menyatakan jika kementerian mengadakan audit komprehensif seperti melalui Feature Analysis Model yang menilai keberkesanan program IPT.
Sejak tahun 2020, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan Graduate Employment Study dan Employer Satisfaction Survey bagi menilai kadar kebolehpasaran graduan 6 bulan selepas tamat pengajian serta tahap kepuasan majikan terhadap prestasi graduan selepas 6 bulan bekerja. Kajian-kajian ini menjadi instrumen penting untuk memantau keberkesanan program yang ditawarkan di IPT dan memastikan kesesuaian program dengan keperluan pasaran tenaga kerja.
Bagi memperkukuh pendekatan berasaskan data ini kementerian akan melaksanakan Feature Analysis Model, FA Model secara lebih tersusun di seluruh IPTA. Model menilai program secara menyeluruh merangkumi 3 komponen utama iaitu, Pertama, input termasuk permintaan terhadap program seperti bilangan pemohon pilihan pertama. Kedua, proses ini termasuk kadar tamat pengajian dan juga kos setiap pelajar; dan ketiga, output termasuklah kadar kebolehpasaran graduan dalam tempoh 6 bulan, relevancy pekerjaan serta gaji median graduan.
Melalui pendekatan ini, kementerian dapat mengenal pasti program yang berprestasi tinggi, program yang memerlukan penambahbaikan serta program yang perlu disusun semula atau ditambahbaik agar lebih selaras dengan keperluan pasaran tenaga kerja dan hala tuju pembangunan negara.
Bermula tahun 2024, beberapa siri perjumpaan, mesyuarat dan bengkel telah diadakan bersama IPTA dan institusi TVET serta agensi-agensi berkepentingan bagi menghasilkan Feature Analysis Model yang Insya Allah akan mula digunakan pada tahun ini. Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Penilaian melalui Feature Analysis Model sahaja tidak memadai.
Selain memastikan kualiti relevansi program, kita juga perlu melihatnya dalam konteks peralihan struktur ekonomi negara yang sedang berlaku.
Beberapa faktor lain seperti kemahiran masa depan didorong oleh kemajuan teknologi yang pantas, anjakan demografi, green transition, ketidaktentuan ekonomi, geopolitik dan pandemik. Kemahiran menyeluruh perlu diwujudkan dengan menggabungkan kepakaran teknikal dan kepakaran berpaksikan manusia seperti pemikiran kritis, daya tahan dan kreativiti.
Cabaran ini perlu dilihat dalam kerangka pelaksanaan economic blueprint yang menekankan pembangunan sektor pertumbuhan dan pengukuhan daya saing ekonomi negara. Justeru itu, selain memastikan program sentiasa relevan, kementerian turut memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran lain seperti keusahawanan dan keupayaan inovasi agar graduan bukan sahaja menjadi pencari pekerjaan tetapi juga pemangkin penciptaan nilai dan pertumbuhan baharu dalam ekonomi negara.
Sekian dan terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman juga ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman yang bertanyakan mengenai dengan pekerjaan yang akan wujud dan kursus-kursus sedang dan akan diadakan bagi memenuhi keperluan penyediaan tenaga kerja menuju Wawasan Brunei 2035.
Dalam menuju Wawasan Brunei 2035, isu penyediaan tenaga kerja perlu dilihat dalam konteks pembangunan ekonomi negara secara menyeluruh. Negara sedang memperkukuh sektor swasta menarik Pelaburan Langsung Asing, FDI serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi dan berproduktiviti tinggi.
Perkara ini selaras dengan economic blueprint dan manpower blueprint yang menyatakan 5 sektor keutamaan iaitu proses hiliran, permakanan, ICT, perkhidmatan dan pelancongan yang berpotensi menjana pekerjaan di masa akan datang. Untuk menyokong usaha ini, Kementerian Pendidikan akan menyelaras kursus-kursus yang ditawarkan dengan keperluan tenaga kerja semasa dan akan datang.
Dalam masa yang sama berdasarkan Trend Global termasuklah laporan World Economic Forum, Future Jobs Report 2025, kemahiran seperti pemikiran analytical, penyelesaian masalah, kepimpinan, komunikasi, keupayaan menyesuaikan diri dan kemahiran digital dan teknologi adalah antara yang paling diperlukan dalam dekad akan datang.
Dalam hal ini, bagi memastikan graduan sentiasa relevan dalam lanskap ekonomi yang berubah pantas, kursus-kursus akan dirangka secara bersepadu dengan menggabungkan penguasaan kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah.
Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan 4 teras utama seperti berikut:
Pertama, memperluas literasi digital dan AI merentas semua bidang pengajian. Melalui tahun ini, IPTA dan TVET melaksanakan pengukuhan kurikulum dengan model berkaitan teknologi baharu dan kemahiran kelestarian bagi memastikan semua graduan mempunyai asas digital yang kukuh. UBD umpamanya melalui GenBESTARI akan menawarkan Bachelor of Computer Science dalam bidang Artificial Intelligence, Cyber Security dan Digital Forensics, Data Science, Intelligence Robotics dan Software Systems. Sementara itu, UNISSA telah menawarkan Sarjana Muda Sains Data Islam;
Kedua, mentransformasikan kaedah pembelajaran melalui pendekatan berasaskan projek, penyelesaian masalah sebenar dan kolaborasi bersama industri supaya pelajar membangunkan pemikiran kritikal dan sistemik yang selari dengan keperluan dunia pekerjaan;
Ketiga, mengukuhkan integrasi dengan industri melalui latihan industri dalam dan luar negeri yang lebih tersusun dan berstruktur dengan industri bagi meningkatkan kesiapsiagaan graduan serta mengurangkan jurang ketidaksepadanan antara graduan dan pasaran pekerjaan. Sebagai contoh, UNISSA menubuhkan Industrial Advisory Panel yang terdiri dari pakar bidang dan industri dalam dan luar negara bagi memurnikan kurikulum yang sesuai dengan perkembangan terkini dan kehendak industry; dan
Keempat, membentuk graduan berdaya tahan dan berjiwa keusahawanan melalui penglibatan aktif dalam kokurikulum supaya mereka bukan sahaja menjadi pencari pekerjaan tetapi juga pencipta pekerjaan yang mampu menjana nilai dalam ekonomi yang kompetitif.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Adalah penting untuk ditekankan bahawa penyediaan tenaga kerja bukan hanya dari sudut penawaran. Kita juga perlu memastikan penciptaan peluang pekerjaan dan persekitaran kerja yang kondusif selaras dengan agenda pembangunan ekonomi negara. Usaha ini memerlukan pendekatan menyeluruh melalui whole of government approach, agar pembangunan modal insan dan penciptaan pekerjaan bergerak secara bersepadu dan saling memperkukuh. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih Ahli-Ahli Yang Berhormat. Alhamdulillah, waktu yang diperuntukkan bagi pertanyaan telah pun tamat dan saya mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua belah pihak dan sekarang kita beralih kepada urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis
Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Ketetapan Kumpulanwang kemajuan. Perbahasan peringkat dasar.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Persidangan Mesyuarat Negara masih lagi membincangkan mengenai dengan Rang Undang-Undang (2026) Perbekalan, 2026/2027 dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan dalam perbahasan peringkat dasar.
Saya sekali lagi ingin mengingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dilantik bahawa fokus perbahasan adalah kepada dasar serta kenyataan Belanjawan dan had masa adalah selama 15 minit. Sekarang saya mempersilakan Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub.
Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala kaola hari ini untuk sama-sama mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan, bagi Tahun Kewangan 2026/2027 yang membolehkan sejumlah wang dikeluarkan daripada Kumpulan wang yang disatukan bagi membiayai perkhidmatan-perkhidmatan dan keperluan-keperluan negara.
Berdasarkan pada pembentangan yang telah dikongsikan, Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2026/2027 berjumlah BND6.3 bilion. Pada hemat kaola jumlah ini bukan sekadar mencerminkan keperluan perbelanjaan tahunan kerajaan bahkan juga menggambarkan keutamaan-keutamaan negara dalam memastikan kesinambungan pembangunan, kesejahteraan rakyat, kestabilan ekonomi serta ketahanan negara dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa dan akan datang.
Ini adalah penting memandangkan keadaan dunia pada masa ini masih dibayang oleh berbagai ketidaktentuan termasuk pertumbuhan ekonomi global yang sederhana, tekanan inflasi di beberapa rantau, ketegangan geopolitik, perubahan corak perdagangan antarabangsa serta cabaran alam sekitar yang semakin ketara khususnya perubahan iklim.
Sehubungan dengan itu, kaola berpendapat bahawa perbelanjaan negara pada masa ini hendaklah sentiasa berteras kepada 3 pertimbangan utama iaitu ketahanan fiskal, keberkesanan pelaksanaan dan keupayaan negara untuk menyesuaikan diri dengan risiko-risiko baharu termasuk risiko yang berpunca daripada perubahan iklim.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Dalam hubungan ini, kaola ingin memberikan penekanan khusus kepada isu perubahan iklim yang pada pandangan kaola wajar terus diberikan perhatian yang lebih menyeluruh dalam perancangan dan pelaksanaan perbelanjaan negara. Perubahan iklim pada hari ini bukan lagi suatu perkara yang bersifat jangka panjang semata-mata atau hanya dibincangkan dalam konteks antarabangsa, sebaliknya kesannya telah dan sedang dirasai dalam bentuk yang semakin nyata termasuk cuaca yang tidak menentu, hujan lebat yang luar biasa, banjir, suhu yang meningkat, ancaman terhadap sumber air, hakisan pantai serta tekanan ke arah infrastruktur awam dan penempatan yang terdedah.
Pada hal ini, kaola menghargai bahawa kerajaan telah menunjukkan komitmen jelas melalui dasar perubahan iklim Negara Brunei Darussalam yang menggariskan hala tuju negara ke arah pembangunan rendah karbon dan pada masa yang sama memperkukuhkan daya tahan negara terhadap kesan perubahan iklim. Hala tuju ini juga selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai keseimbangan pelepasan karbon bersih sifar menjelang tahun 2050.
Pendekatan sedemikian adalah sangat bertepatan dan berpandangan jauh. Walau bagaimanapun, pada pandangan Kaola aspirasi dan komitmen tersebut perlu sentiasa disokong oleh pelaksanaan yang mantap, penyelarasan yang berkesan, peraturan yang relevan serta peruntukan yang benar-benar dapat menyelamatkan kepada tindakan yang nyata di lapangan.
Kaola juga melihat bahawa usaha-usaha ke arah pembangunan rendah karbon yang diketengahkan dalam pembentangan Belanjawan termasuk yang berkaitan dengan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon adalah perkembangan yang sangat menggalakkan. Sebagai contoh, pelaksanaan projek loji tenaga, fotovoltaik berkapasiti 30MW yang dijangka dapat menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon pada kadar yang signifikan setiap tahun merupakan satu langkah yang amat positif. Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu negara mengurangkan jejak karbon bahkan juga membuka ruang kepada pembangunan industri hijau, pemindahan pengetahuan, pengukuhan kapasiti tempatan serta pewujudan peluang-peluang ekonomi baru.
Dalam erti kata lain, agenda perubahan iklim tidak harus dilihat dalam ruang lingkup alam sekitar semata-mata tetapi hendaklah difahami sebagai satu agenda yang turut menyentuh pembangunan ekonomi, daya saing negara, penciptaan pekerjaan, penguasaan teknologi dan kesejahteraan generasi akan datang.
Namun demikian, kaola ingin menegaskan bahawa pendekatan terhadap perubahan iklim tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek mitigasi iaitu usaha mengurangkan pelepasan karbon sahaja. Dalam masa yang sama aspek adaptasi juga hendaklah diberikan perhatian yang seimbang iaitu usaha untuk memastikan rakyat, penempatan, kemudahan awam dan infrastruktur negara lebih bersedia serta lebih terlindung dari kesan fizikal perubahan iklim.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Dalam konteks ini, pengalaman dan amalan di peringkat global menunjukkan bahawa negara-negara yang berdepan dengan risiko iklim yang tinggi telah memberikan tumpuan bukan sahaja kepada tenaga hijau tetapi juga kepada aspek perlindungan fizikal sistem amaran awal, pengurusan risiko bencana, pemulihan ekosistem dan pengukuhan ketahanan komuniti.
Sebagai contoh, terdapat negara-negara yang telah melabur secara besar-besaran dalam benteng perlindungan pantai, sistem tebatan banjir, pengurusan saliran dan pemulihan kawasan bakau sebagai sebahagian daripada langkah adaptasi jangka panjang. Ini menunjukkan bahawa perlindungan terhadap rakyat dan harta benda daripada kesan perubahan iklim memerlukan pendekatan yang menyeluruh, bersepadu dan berpandu penilaian risiko yang teliti.
Dalam hal ini juga banyak kajian antarabangsa menunjukkan bahawa langkah perlindungan awal adalah jauh lebih baik dan lebih berjimat berbanding kos pembaikkan dan pemulihan selepas berlakunya kerosakan. Justeru itu, pendekatan pencegahan perlu sentiasa diberikan keutamaan dalam perancangan pembangunan negara. Berhubung dengan perkara ini, kaola ingin menarik perhatian kepada kawasan-kawasan penempatan yang terdedah kepada risiko hakisan pantai dan ancaman ombak khususnya rumah-rumah kediaman yang terletak berhampiran dengan pesisiran pantai.
Antara kawasan yang wajar diberikan perhatian ialah rumah-rumah kediaman di kawasan tepi pantai seperti di Kampung Danau, Daerah Tutong. Pada pandangan kaola isu yang melibatkan kawasan-kawasan sedemikian hendaklah dilihat dan kerangka adaptasi perubahan iklim dan bukan semata-mata dianggap sebagai isu infrastruktur biasa. Ini adalah kerana kesan yang timbul bukan sahaja melibatkan kerosakan fizikal kepada rumah dan persekitaran bahkan juga menyentuh soal keselamatan penduduk, keselesaan keluarga, kestabilan ekonomi serta perlindungan terhadap harta benda dan mata pencarian masyarakat.
Sehubungan dengan itu, kaola berpandangan bahawa kerajaan wajar terus meneliti dan jika bersesuaian memperkukuhkan lagi usaha-usaha pembinaan benteng-benteng penghadang ombak serta langkah-langkah perlindungan pesisir yang lain di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi. Langkah sedemikian adalah penting melindungi penempatan penduduk, mengurangkan hakisan pantai, menjamin keselamatan awam, mengurangkan kerugian serta kos kerosakan yang lebih besar pada masa hadapan.
Pada masa yang sama kaola juga berpandangan bahawa langkah-langkah perlindungan ini boleh lah dipertimbangkan secara lebih menyeluruh termasuk melalui pendekatan menggabungkan struktur kejuruteraan pemulihan ekosistem persisiran, penanaman rekreasi pantai serta memantau berkala terhadap perubahan garis pantai tahap risiko setempat.
Kaola turut mengambil maklum bahawa dalam pembentangan belanjawan telah dinyatakan peruntukan sebanyak BND148.21 juta bagi meningkatkan keupayaan negara dalam menghadapi sebarang kecemasan dan menangani kejadian yang tidak disangka. Pada pandangan kaola, peruntukan ini adalah sangat signifikan terutama dalam keadaan dunia yang semakin terdedah kepada risiko bencana alam dan gangguan berkaitan iklim.
Walau bagaimanapun, kaola ingin mencadangkan supaya semangat di sebalik peruntukan ini tidak hanya tertumpu kepada aspek tindak balas selepas berlakunya insiden tetapi turut diperluaskan kepada aspek kesiapsiagaan, pencegahan, perlindungan awal dan pengukuhan ketahanan komuniti termasuk di kawasan-kawasan persisiran yang lebih terdedah.
Dalam erti kata lain supaya negara menghadapi kecemasan bukan hanya diukur melalui jumlah aset atau kecekapan tindak balas tetapi juga melalui sejauh mana negara berjaya mengurangkan risiko sebelum kejadian berlaku, melindungi komuniti yang terdedah dan memastikan pembangunan fizikal negara benar-benar mengambil kira realiti perubahan iklim.
Sehubungan dengan itu, izin kan kaola untuk mengemukakan beberapa saranan:
Pertama, supaya esok, perubahan iklim terus diurus berlandaskan dalam suasana perancangan kementerian dan jabatan termasuk dalam menyediakan projek pembangunan peruntukan perbelanjaan rekabentuk infrastruktur perlindungan komuniti;
Kedua, supaya dasar-dasar garis panduan dan peraturan yang berkaitan dengan perlindungan pesisir, pembangunan di kawasan berisiko, mitigasi dan adaptasi perubahan iklim sentiasa diteliti dan dikemaskini dari masa ke semasa agar kekal relevan dan responsif terhadap keadaan sebenar;
Ketiga, supaya kejadian risiko yang lebih terperinci dan berterusan dilaksanakan di kawasan-kawasan terdedah kepada hakisan pantai dan ancaman ombak termasuk di kawasan Danau, Daerah Tutong, agar langkah-langkah seperti pembinaan benteng menghalang ombak dan perlindungan persisiran dapat dilaksanakan mengikut keutamaan serta keperluan sebenar;
Keempat, supaya pendekatan yang diambil dalam menangani isu ini dilaksanakan secara bersepadu dan merentas agensi, memandangkan perubahan iklim menyentuh pelbagai sektor seperti alam sekitar, pembangunan, keselamatan, perumahan, kebajikan, infrastruktur, kesejahteraan masyarakat; dan
Kelima, supaya usaha-usaha ke arah pembangunan rendah karbon dan perlindungan alam sekitar disertakan dengan petunjuk prestasi yang jelas supaya setiap peruntukan yang disediakan dapat dinilai dari segi keberkesanan hasil dan manfaat kepada rakyat serta negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Pada akhir kaola ingin menyatakan bahawa sebuah perbelanjaan baik bukan semata-mata dinilai daripada besarnya jumlah peruntukan tetapi lebih penting lagi ialah sejauh mana peruntukan tersebut jelas hala tujunya, peratus pelaksanaannya, telus pemantauannya dan nyata manfaat kepada rakyat.
Dalam hubungan ini, kaola amat berharap agar setiap peruntukan yang telah dirancang akan terus dipantau dengan rapi, dinilai dengan objektif dan dipastikan benar-benar sampai kepada matlamat asalnya. Rakyat akan lebih menaruh keyakinan apabila mereka dapat melihat bahawa dasar-dasar yang digariskan bukan sahaja baik pada perancangannya tetapi juga berkesan dalam pelaksanaan serta memberikan perlindungan dan manfaat nyata dalam kehidupan seharian mereka.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, secara keseluruhannya kaola menyokong Rang Undang-Undang (2026) Perbekalan, 2026/2027 kerana perbelanjaan ini memperlihatkan usaha kerajaan untuk terus memelihara kesejahteraan rakyat, memperkukuhkan kedaya tahan ekonomi, meningkatkan kesiapsiagaan negara serta memberikan perhatian yang semakin jelas kepada isu perubahan iklim dan keperluan untuk memperkukuhkan ketahanan negara dalam mendapani kesannya; dengan itu kaola menyokong supaya Rang Undang-Undang ini diluluskan.
Sekian, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.
Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin
Bismillahir Rahmanir Rahim. (Doa dibaca). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Pertama kaola dengan penuh hormat dan takzim sukacita ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana kerana memberikan peluang untuk kaola ikut serta bagi membahaskan Rang Undang-Undang (2026) Perbekalan, 2026/2027. Kaola juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II serta seluruh warga Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang telah bertungkus lumus menghasilkan pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan yang mudah difahami.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Alhamdulillah, seperti juga pada tahun kewangan sebelum ini usaha-usaha ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi pada tahun kewangan semasa telah diungkayahkan walaupun dengan cabaran-cabaran yang terpaksa dilalui. Sekali lagi, alhamdulillah usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi dan pengukuhan sektor bukan minyak dan gas juga telah diperkasakan dan akan terus diusahakan, insya Allah dengan usaha gigih semua pihak dan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala kaola yakin negara akan terus dapat berdaya tahan dengan memastikan daya tahan fiskal negara sentiasa terjamin dan mencukupi supaya ia akan dapat menyokong keperluan agenda pembangunan dan generasi yang akan datang.
Dalam usaha ini kita ini bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan adanya inisiatif-inisiatif dan projek-projek baru yang telah diungkayahkan sepanjang tahun lalu dan ini menunjukkan komitmen kerajaan yang berterusan demi kelangsungan dan daya tahan ekonomi negara.
Sukacita kaola merujuk pembentangan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II mengenai dengan perbelanjaan keseluruhan iaitu berjumlah BND6.3 bilion bagi Tahun Kewangan 2026/2027 dengan perbelanjaan negara sebanyak BND6.25 bilion pada Tahun Kewangan 2024/2025 dan dibandingkan dengan hasil pendapatan sebanyak BND3.53 bilion, negara masih lagi merekodkan defisit belanjawan sejumlah BND2.72 bilion.
Usaha ke arah mengurangkan defisit ini haruslah ditangani dengan usaha berterusan dan bersepadu pihak kerajaan selaku pemudahcara dan sektor swasta serta pelabur asing selaku enjin atau pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negara. Penglibatan dan keaktifan syarikat berkaitan kerajaan, GLC dalam bersama-sama memacu pertumbuhan ekonomi juga dirasakan sebagai pemangkin dan jentera dalam usaha kesepaduan ini. Sifat saling faham memahami di antara pihak kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta amatlah penting dalam sama-sama memastikan usaha pergerakan memacu aktiviti-aktiviti perniagaan dan membuka peluang-peluang yang ada adalah cepat dan berhasil.
Kaola juga sekiranya usaha sama-sama berkayuh dari semua pihak berjalan dengan lancar, kitani akan dapat lagi bergerak dengan cepat untuk menggegar aktiviti-aktiviti perniagaan masing-masing demi untuk pertumbuhan ekonomi dan menambah hasil fiskal negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana.
Kaola ingin merujuk mengenai dengan pembentangan Belanjawan Tahun 2024-2025, pada Musim Pemesyuaratan tahun lepas ke-21. Kaola ada membangkitkan mengenai penurunan anggaran kutipan hasil bagi Tahun Kewangan 2025-2026 dibandingkan dengan hasil kutipan Tahun Kewangan 2024-2025 sebanyak BND94.6 juta.
Pada pembentangan belanjawan tahun ini, anggaran hasil Tahun Kewangan 2026-2027 ialah sebanyak BND2.335 bilion iaitu adalah lebih menurun lagi sebanyak BND414.2 juta jika dibandingkan dengan anggaran yang dikemaskini bagi Tahun Kewangan 2025-2026 iaitu sebanyak BND2.74 bilion. Penurunan ini berpunca pertama, dari penurunan drastik bagi hasil minyak dan gas iaitu dari BND1.93 bilion pada tahun 2025-2026 kepada BND1.499 bilion; dan yang kedua, dari kutipan cukai-cukai dari BND2.172 bilion kepada BND1.741 bilion.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Pada sesi perbahasan kaola semasa Musim Permesyuaratan Kali ke-21 tersebut, ada kaola mencadangkan beberapa gagasan yang boleh dilaksanakan oleh beberapa kementerian dan jabatan dalam usaha untuk meningkatkan hasil fiskal negara. Dalam perbahasan kaola pada kali ini, kaola ingin membahasakan beberapa perkara yang boleh menyumbang kepada perekonomian negara dan menambah hasil fiskal negara.
Salah satu sektor utama dalam mempelbagaikan ekonomi negara ialah makanan seperti daging sapi, kambing, ayam, beras, sayur dan telur dan hasil dari tanam-tanaman. Memang diketahui ayam dan telur ini telah mencapai 100 peratus sara diri. Malah lebih daripada 100 peratus. Persoalannya ialah adakah ayam dan telur ini akan dijamin betul-betul pengeluarannya sekiranya terjadi lagi bencana seperti COVID atau isu berkaitan geopolitik?
Syabas, kerana kita sudah mencapai 100 peratus tahap sara diri dengan pengeluaran ayam, daging dan telur.
Walau bagaimanapun, kita janganlah berbangga dengan pencapaian ini kerana bahan mentah bagi menghasilkan atau menternak ayam pedaging dan ayam penelur masih lagi diimport 100 peratus dari luar negara. Maknanya, kita ini masih berhadapan dengan risiko yang tinggi seperti yang dikongsikan dalam pembentangan belanjawan. Kita berhadapan dengan persekitaran global yang semakin mencabar dengan ketidaktentuan ekonomi dunia disebabkan di antaranya ketegangan geopolitik, perubahan struktur perdagangan global dan cabaran perubahan iklim.
Di sinilah ada istilah menyatakan bahawa pertanian adalah senjata senyap. Di sinilah juga pentingnya kita ini mesti merancang untuk mengeluarkan bahan mentah sendiri bagi pengeluaran ternakan sendiri. Apakah tidak ada dalam pemikiran kita untuk menghasilkan daging ayam sendiri yang mana bahan mentahnya boleh diperolehi di tempat sendiri tanpa mengharapkan belas kasihan dari luar negara. Daging ayam yang saya maksudkan di sini ialah ayam kampung. Ayam kampung ini adalah sebagai tambahan sumber makanan sekiranya di dalam kecemasan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Bagaimana pula dengan kambing yang sebenarnya boleh diternak 100 peratus di negara ini, yang mana bahan mentahnya didapati di dalam negara sendiri atau rumput napier yang boleh ditanam di muka bumi kita ini yang hijau dan subur. Foder contohnya, boleh ditanam di Brunei.
Sekarang kita berpindah kepada tanam-tanaman yang mana majoritinya adalah barang import. 52 peratus dari jumlah majoritinya pada tahun 2024, apa namanya kaola baru kelmarin ni 2024, adalah barang import. 52 peratus sebanyak 254 ribu kilogram adalah tomato; halia 99 peratus diimport, sebanyak 831 kilogram; kunyit 83 peratus, 98 ribu kilogram; daun pudina 98 peratus, 55 ribu kilogram; daun nyirik 86 peratus, 144 ribu kilogram; daun ketumbar 98 peratus, 114 ribu kilogram; daun sup 99 peratus, 107 kilogram; ubi manis 80 peratus, 453 kilogram; lengkuas 71 peratus, 78 ribu kilogram; pisang berangan 97 peratus, 436 ribu kilogram; tembikai kuning 99 peratus, 366 kilogram; Honeydew 99 peratus, 4.6 ribu kilogram dan berbagai-bagai lagi yang kaola tidak akan berpanjang lebar di sini.
Kenapakah kita masih mengimport tanam-tanaman seperti ini? Walhal, bumi kita yang terbentang luas menghijau dengan mudah boleh menghasilkannya. Di sini, Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana. Perumpamaan import seperti ini adalah seperti negara Iceland ataupun Greenland yang sepanjang tahun bersalji tetapi mengimport ais. Kaola percaya dengan aktiviti-aktiviti pengeluaran bahan mentah ini, melalui eksplorasi memaksimakan kawasan kemajuan pertanian yang masih beribu-ribu hektar yang belum diterokai atau kilang prosesan bahan mentah ini akan dapat membuka peluang yang sangat meluas kepada pengusaha-pengusaha tempatan dan juga pelabur asing.
Ini kerana sebarang setentunya akan menyemarakkan lagi penanaman rumput dan industri perkilangan yang bukan saja mampu untuk membekalkan bahan-bahan mentah dalam negara, tetapi juga menembusi pasaran antarabangsa, mafhumnya sekuriti makanan kita akan terjamin, insya Allah dan pada masa yang sama ianya akan menaikkan fiskal negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana. Dalam kita berusaha untuk menerokai sektor baharu yang berpotensi menjana hasil fiskal dan juga pertumbuhan ekonomi negara. Izinkan kaola menyuntik kembali satu produk atau perkhidmatan yang sudah lama kitani ada yang kaola percaya, (audio tidak jelas) yang kaola maksudkan ialah Sijil Halal dan Logo Halal Brunei yang sangat dipercayai di peringkat global seperti juga yang dinyatakan oleh rakan Ahli Yang Berhormat kemarin, dan laporan yang kaola rujuk dari The Daily Express bertarikh Januari 2026 bahawa industri halal telah muncul sebagai salah satu dari sektor yang berkembang cepat di peringkat global, ia bukan sahaja lagi produk makanan dan minuman tetapi juga bagi produk-produk seperti kosmetik, perubatan, logistik, kewangan dan pelancongan.
Dari perangkaan yang diterima dari Malaysia, Digital Economic Cooperation, nilai pasaran global industri halal mencecah USD2 trilion setahun dan dijangka akan meningkat USD2.8 trilion pada tahun akan datang. Pertumbuhan pasaran halal ini didorong oleh perkembangan produk dan perkhidmatan halal yang bukan sahaja dipakai oleh umat Islam tetapi juga umat bukan Islam yang mengutamakan nilai-nilai keselamatan, hygiene kesucian dan etika keyakinan berkaitan dengan piawaian halal atau pensijilan halal.
Dalam hubungan inilah, kaola mencadangkan agar pensijilan halal negara dengan logo Halal Brunei yang sudah sekian lama diiktiraf di peringkat global untuk dimanfaatkan sepenuhnya, bukan sahaja untuk kegunaan pasaran dan keperluan domestik tetapi juga di peringkat global. Satu produk yang terbukti berpotensi ialah daging di mana tempat penyembelihannya di luar negara yang perlu ada sijil dari pihak berkuasa di Negara Brunei Darussalam. Dengan adanya sijil halal diperolehi oleh pusat penyembelihan luar negara itu, bukan sahaja manfaatnya kepada pengimportan ke negara ini tetapi juga boleh digunakan untuk pemasaran daging pusat berkenaan di peringkat global. Apa yang negara kita dapat manfaat ialah kadar royalti atau lesen yang boleh negara tetapkan dan ini adalah untuk negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Izinkan kaola untuk meneruskan sedikit lagi. Dua minit
(Yang Berhormat Yang Di Pertua berisyarat bersetuju)
Dan perspektif lain pula, belanjawan yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, mencatatkan hasil pendapatan perusahaan dari BND25.9 bilion pada tahun 2015 meningkat kepada BND35.4 bilion pada tahun 2024. Ini bermakna purata hampir BND1 bilion setahun pada 10 tahun kebelakangan. Persoalannya, berapakah hasil pendapatan fiskal kerajaan dari hasil perusahaan ini? Kaola yakin memang sudah ada dalam pemikiran pihak Kerajaan untuk mengubah dasar cukai korporat dilaratkan kepada semua jenis perusahaan sama ada enterprise, Seksyen 16 dan 17, agar Kerajaan dapat memaksimakan hasil fiskal negara.
Dan dari sudut lain lagi, tuntutan pembayaran balik tunggakan dari orang ramai dan pihak syarikat kepada Kerajaan adalah juga salah satu usaha untuk mengumpulkan hasil fiskal negara. Tunggakan yang kaola maksudkan antara lainnya ialah bayaran balik pemilikan rumah di Skim Perumahan Negara yang dianugerahkan sejak dari dulu lagi, tunggakan cukai-cukai tanah dan pintu, tunggakan pembayaran air dan tunggakan pajakan tanah Kerajaan yang sudah bertahun tidak dibayar oleh individu dan pihak syarikat negara yang memajak tanah persendirian.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana dan Ahli-ahli Yang Berhormat.
Sebagai penutup, seperti yang baru dibahaskan, kaola menyokong sepenuhnya Rang Undang-Undang Perbekalan 2026/2027, dan minta maaf Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana kerana memakan masa 1 minit 56 saat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman.
Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat pagi dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Alhamdulillah, dengan limpah rahmat dan izin Allah Subhanahu Wata’ala, kaola berdiri pada hari ini untuk turut mengambil bahagian dalam membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahunan bagi Tahun Kewangan 2026/2027, yang telah dibentangkan bagi membolehkan sejumlah wang dikeluarkan daripada kumpulan wang yang disatukan untuk membiayai perkhidmatan-perkhidmatan Kerajaan.
Berdasarkan perbincangan telah dikongsikan, jumlah belanjawan negara bagi tahun kewangan 2026/2027 adalah sebanyak BND6.3 bilion. Pada khidmat kaola, jumlah ini mencerminkan satu amanah yang besar bukan saja dalam memastikan, melangsungkan pentadbiran dan penyatuan negara, malah dalam menentukan keutamaan-keutamaan strategik negara dalam suasana ekonomi global yang masih belum menentu.
Dalam keadaan dunia yang masih berdepan dengan pertumbuhan global yang sederhana, ketegangan geopolitik, perubahan struktur perdagangan antarabangsa, perkembangan teknologi yang makin pesat serta tekanan perubahan iklim, maka belanjawan negara adalah benar-benar berfungsi sebagai alat untuk memperkukuhkan daya tahan, meningkatkan produktiviti dan mempersiapkan negara bagi masa hadapan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola mengambil maklum bahawa belanjawan ini digerakkan dalam kerangka tema “Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035”, dengan tiga keutamaan utama iaitu memperkukuhkan kestabilan fizikal dan tadbir urus kewangan, memperkasakan ekonomi melalui transformasi dan inovasi serta menjaminkan kelestarian sosial dan pembangunan masa hadapan.
Kesemua keutamaan ini sememangnya amat penting namun pada pandangan Kaola, terdapat satu persoalan pokok yang mesti diberi perhatian yang lebih tajam dalam menilai keberkesanan belanjawan ini, iaitu sejauh manakah belanjawan ini benar-benar mampu menangani isu pengangguran dan pada masa yang sama memperkasa modal insan tempatan supaya selaras dengan keperluan ekonomi negara. Bagi kaola, ini antara ukuran paling penting kepada keberhasilan sebenar sesuatu belanjawan.
Yang Berhormat Yang Di-pertua.
Kita sememangnya boleh berbangga dengan beberapa praktik yang positif sebagai contoh hasil pendapatan perusahaan telah meningkat daripada BND25.9 bilion pada tahun 2015 kepada BND35.4 bilion pada tahun 2024. Begitu juga jumlah pekerjaan di sektor swasta meningkat daripada 100,028 orang pada tahun 2014 kepada 155,200 orang pada tahun 2024. Manakala kadar penyertaan sektor swasta juga meningkat daripada 53 peratus kepada 70 peratus. Ini menunjukkan bahawa sektor swasta terus berkembang dan memainkan peranan yang semakin penting dalam ekonomi negara. Namun demikian pencapaian ini tidak seharusnya menyebabkan kita terlepas pandang terhadap cabaran-cabaran yang masih wujud dalam pasaran tenaga kerja.
Berdasarkan laporan awal Kajian Tenaga Kerja 2025, kadar pengangguran bagi penduduk berumur 18 tahun ke atas ialah 5.0 peratus, manakala meningkat berbanding 4.7 peratus pada tahun 2024. Walaupun peningkatan ini kelihatan kecil dari sudut angka namun pada hakikatnya ia membawa mesej yang jelas bahawa isu pengangguran masih belum dapat dianggap selesai.
Lebih daripada itu, pembentangan juga menunjukkan bahawa sekitar 60 peratus majikan masih menghadapi cabaran untuk mendapatkan dan membetulkan pekerja tempatan. Sedangkan sekadar kenyataan tenaga buruh pada tahun 2024 ialah 67.4 peratus. Ini menandakan bahawa cabaran yang kita hadapi bukan sekadar kekurangan peluang pekerjaan tetapi juga menyentuh soal ketidakpadanan kemahiran, kesesuaian sikap kerja, produktiviti dan keupayaan tenaga kerja tempatan untuk memenuhi kehendak industri.
Justeru kaola berpandangan bahawa isu pengangguran perlu dilihat secara lebih mendalam dan tidak seharusnya dibincangkan hanya dalam konteks angka semata-mata. Isu ini adalah isu struktur, isu ini adalah isu daya saing dan isu ini juga adalah isu masa depan modal insan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Dalam hubungan ini, kaola ingin menggariskan bahawa fokus utama belanjawan ini sewajarnya adalah pembangunan modal insan. Hal ini kerana dalam apa juga keadaan ekonomi, aset paling penting yang dimiliki negara adalah rakyatnya sendiri. Slaid pembentangan dengan jelas mempertengahkan beberapa cabaran struktur negara termasuk ketidakpadanan kemahiran dengan keperluan industri dan kepesatan perubahan teknologi termasuk Artificial Intelligence, AI.
Pada pendapat kaola, perkara ini perlu ditangani dengan lebih tegas dan lebih pantas. Kita tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan lama dalam menyediakan tenaga kerja bagi tenaga baru, kita memerlukan Sistem Pendidikan Latihan dan Pembangunan Kemahiran yang benar-benar dinamik, responsif dan berpaksikan keperluan sebenar industri. Kita memerlukan graduan dan pencari kerja yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi juga kemahiran teknikal, kemahiran digital dan daya tahan, disiplin, kebolehsuaian dan nilai profesionalisme yang tinggi.
Kaola mengambil maklum bahawa dari segi pencapaian, negara mempunyai asas yang membanggakan. Antaranya Universiti Brunei Darussalam berada di tangga ke-347 dunia pada tahun 2025 sekaligus meletakkan dalam 25 peratus institusi terbaik dunia negara. Negara juga berada di kedudukan 43 daripada 175 negara dalam Global Talent Competitiveness Index 2025 iaitu dalam kalangan sekitar 32 peratus negara teratas dunia.
Pencapaian ini wajar dihargai, namun itu persoalan lebih besar adalah sejauh manakah pencapaian ini diterjemahkan kepada kebolehpasaran graduan, meningkatkan produktiviti dan pengurangan pengangguran dalam kalangan rakyat tempatan? Pada pandangan Kaola, ini masalah untuk kita memperkukuhkan hubungan yang lebih nyata atau antara pendidikan latihan dan pasaran kerja. Apa yang diajar mesti relevan dengan apa yang diperlukan, apa yang dilantik, dilatih, mesti selari dengan apa yang sedang berkembang dan apa yang dirancang dalam belanjawan mestilah mampu melahirkan tenaga manusia yang benar-benar dapat mengisi ruang dalam sektor-sektor strategi negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Dalam pandangan juga, diingatkan di negara memberi tumpuan kepada 5 sektor keutamaan iaitu Aliran Minyak Dan Gas, Makanan, Perkhidmatan, Pelancongan dan ICT. Ini adalah petunjuk yang sangat jelas mengenai arah ekonomi negara. Ertinya pembangunan modal insan tidak boleh lagi bersifat umum dan terlalu luas tanpa fokus.
Sebaliknya, pembangunan modal insan mestilah benar-benar berkisarkan untuk memenuhi keperluan sektor-sektor keutamaan ini. Jika negara mahu memperluaskan sektor ICT, maka latihan digital, Kemahiran data, automasi, keselamatan siber dan AI mestilah dipergiatkan. Jika negara mahu memperkukuh sektor makan dan agrimakanan, maka latihan dalam pengeluaran moden, standard keselamatan makanan, teknologi pertanian, logistik dan penjenamaan produk serta juga mesti diperkasakan. Jika negara mahu memajukan sektor perkhidmatan dan pelancongan, maka kemahiran bahasa, hospitaliti, pemasaran dan customer experience perlu dipergiatkan. Tanpa penjelasan seperti ini, kita akan terus berdepan dengan keadaan di mana peluang pekerjaan diwujudkan, tetapi tenaga kerja yang sesuai masih sukar diperoleh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Dalam masa yang sama, kaola juga menghighlightkan satu lagi usul yang sangat penting dalam perbahasan belanjawan ini, iaitu peranan pengusahaan tempatan khususnya mereka yang menghasilkan produk-produk tempatan yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi. Pada hemat kaola, pengusaha tempatan tidak boleh lagi dilihat hanya sebagai pemain kecil yang beroperasi di pinggiran ekonomi. Disebaliknya, mereka perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategik negara dalam memperluaskan nilai tambah domestik, mencipta pekerjaan, meningkatkan eksport dan membina daya tahan ekonomi.
Dalam pembentangan tersebut, beberapa inisiatif penting telah diketengahkan bagi memperkukuh perusahaan tempatan termasuk MSME Roundtable pada Disember 2025, Enterprise Growth Connect 2025, Brunei Startup Summit, Employment Series Workshops dan Youth Opportunities Unlocked 2025. Semua ini adalah langkah yang baik dan menunjukkan komitmen untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan. Namun demikian, kaola berpandangan bahawa kejayaan sebenar pengusaha tempatan tidak hanya diukur dari segi jumlah penciptaan dalam program atau bengkel, tapi jua sejauh mana mereka mampu menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti, berdaya saing melalui piawaian dan mampu menembusi pasaran yang lebih luas.
Inilah sifat apa yang kaola melihat satu isu kualiti pengeluaran sebagai perkara yang sangat mustahak. Jika kita benar-benar mahu melihat produk tempatan mempunyai nilai pasaran yang tinggi di peringkat domestik dan global, maka pengusaha tempatan perlu dibantu. Bukan sahaja dari segi pemasaran, tapi juga dari segi teknologi pengeluaran, pematuhan standard, pensijilan, analisa mutu, pembungkusan, penjenamaan dan akses kepada rangkaian pasaran eksport.
Dalam hal ini, kaola tertarik dengan penubuhan Brunei Integrated Analytical Laboratory atau BIAL iaitu makmal ujian makanan pertama yang dikenalkan oleh pihak swasta. Kemudian ini sangat penting, kerana ia dapat mempercepat proses ujian berkaitan keselamatan makanan, sisa kimia, DNA dan keperluan pengurusan halal. Sekaligus membantu pengusaha tempatan memenuhi keperluan piawaian pasaran serantau dan antarabangsa.
Pada hemat kaola, inilah jenis infrastruktur, sokongan benar-benar memberi impak. Ia bukan hanya membantu perusahaan bertahan, tetapi membantu perusahaan naik kelas. Produk tempatan yang baik mestilah dapat dibuktikan baiknya melalui standard dan produk tempatan yang mahu bersaing di luar negara, mestilah dapat membuktikan kualitinya secara konsisten.
Selain daripada itu, Kaola juga melihat perkembangan seperti Brunei Week di Singapura pada September 2025 dan penciptaan 12 syarikat tempatan dalam China-ASEAN Expo sebagai langkah yang sangat positif. Usaha seperti ini penting membuka pasaran mengangkat jenama Brunei dan menunjukkan bahawa produk tempatan kita mempunyai potensi untuk berada di peringkat, ah, di pentas serantau. Tapi, untuk benar-benar berjaya, produk tempatan mesti mempunyai nilai tambah keunikan, konsisten itu dan kapasiti pengeluaran yang mampu memenuhi permintaan pasaran.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola jua menyentuh bahawa peranan pengusaha tempatan perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar iaitu sebagai rakan penting dalam menyelaraskan isu pengangguran. Apabila perusahaan tempatan berkembang, apabila produk tempatan meningkat nilainya, apabila rantai pengeluaran domestik menjadi diperkukuh, maka lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk rakyat tempatan. Dalam hubungan ini, kehadiran 25 syarikat FDI yang telah mula beroperasi setakat Disember 2025 dan mewujudkan sekitar 4,000 peluang pekerjaan dengan 48 peratus diisi oleh anak tempatan adalah perkembangan yang baik. Tambahan pula, 18 lagi syarikat FDI masih dalam fasa perusahaan dijangkakan menjadikan sekitar 3,000 peluang pekerjaan lagi.
Namun, Kaola ingin membawa manfaat pelaburan asing ini mestilah benar-benar mengambil ke dalam ekonomi domestik, maksudnya perusahaan tempatan perlu diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada rantai bekalan perkhidmatan pelancongan, logistik, penyelenggaraan, pengeluaran bersama dan pemberian teknologi.
Dalam erti kata lain, kita bukan hanya perlu mahu pelaburan datang, tetapi kita mahu pelaburan itu memberi keupayaan tempatan. Di sinilah pentingnya pendekatan seperti Enterprise Growth Connect 2025 yang berupa menghubungkan PMKS dengan peluang perniagaan strategik dan meningkatkan in country value. Kaola berpandangan bahawa pendekatan seperti ini perlu terus diperluas, kerana ia menyumbang kepada dua bertambah besar serentak iaitu memperkasa perusahaan tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih meluas.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola juga ingin menyatakan bahawa langkah-langkah penguatkuasa Perintah Pekerjaan, upah minimum kepada tujuh institusi bermula 1 April 2025 adalah satu langkah yang wajar dalam melindungi kesejahteraan pekerja. Namun untuk memastikan faktor gaji yang lebih mampan pada masa hadapan negara perlu menumpukan perhatian kepada peningkatan kemahiran produktiviti dan nilai-nilai kerja.
Gaji baik tidak akan kekal dan produk yang tinggi tidak akan tercapai tanpa modal insan yang benar-benar berkualiti. Oleh itu, kaola berpendapat bahawa belanjawan ini perlu diukur kejayaan bukan hanya pada kadar penjimatan, bukan hanya pada tahap perbelanjaan tetapi pada sejauh mana ia mampu menghasilkan tiga natijah yang jelas: Pertama, pengangguran berkurangan; Kedua, modal insan tempatan menjadi lebih kepada...
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli Yang Berhormat. Masanya sudah tepat.
Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman
Boleh lagi? Sikit lagi.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ya Sudah.
Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman
Sudah? Terima kasih
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih Ahli Yang Berhormat. Sila duduk.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman
Bismillahir Rahmanir Rahim.(Doa dibaca). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu kaola mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana telah memberi laluan bagi kaola untuk ikut serta dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan bagi Tahun Kewangan 2026/2027.
Kaola mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II atas pembentangan belanjawan bagi Tahun Kewangan 2026/2027 yang panjang lebar dan terperinci dan jelas akan arah tuju Belanjawan 2026/2027 dan objektif yang ingin dicapai. Tema belanjawan bagi tempoh lima tahun bermula tahun 2026 ialah “Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035”. Sebanyak BND6.3 bilion secara keseluruhan telah dikeluarkan dari kumpulan wang yang disatukan. Sebanyak BND3.53 bilion hasil dari kutipan pendapatan dan sementara selebihnya adalah merupakan defisit.
Sebahagian besar dari belanjawan ialah bagi emolumen iaitu sebanyak 36.7 peratus, perbelanjaan berulang 38.8 peratus. Sementara bagi projek-projek pembangunan BND400,080. Tren defisit ini memberi kekhuatiran kerana kita telah mengalami defisit sekian lama seolah-olah tidak ada jalan keluar. Mungkin perlu dilihat option lain untuk menambah pendapatan kerajaan. Option yang tidak membebankan rakyat agar kestabilan kewangan negara dapat dijamin.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola menyambut baik pembentangan belanjawan ini yang kaola sifatkan sebagai pro-growth kerana memberi penekanan serius terhadap usaha kepelbagaian ekonomi dengan mengutamakan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur, inovasi dan sumber manusia. Kaola gembira sebanyak BND576.085 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan bagi perkembangan pendidikan dan perkembangan mahir di negara ini. Ini tidak termasuk jumlah peruntukan yang diberikan kepada institusi-institusi tinggi. Peruntukan ini adalah untuk menambah baik kualiti pendidikan negara ini termasuk digital literacy dan vocational training kepada pelajar-pelajar agar mereka sedia untuk pasaran pekerjaan masa depan iaitu ready for future job market, insya Allah.
Alhamdulillah, seperti yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan begitu juga oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, pelajar-pelajar dan institusi-institusi pendidikan di negara ini telah meraih kejayaan di pelbagai peringkat di dalam dan di luar negeri. Kaola mengucapkan syabas dan tahniah kepada yang telah berjaya dan juga kepada Kementerian Pendidikan. Ini adalah atas usaha semua pihak yang berkenaan dalam pendidikan supaya pendidikan di negara ini mencapai taraf dunia. Semoga kejayaan ini dapat dijelmakan menjadi satu kejayaan yang membawa impak kepada kemajuan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola yakin belanjawan bagi tahun 2026/2027 dan belanjawan-belanjawan yang akan datang mampu menyokong usaha kerajaan menjayakan Wawasan Brunei 2035 jika kita kekal memfokus kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035 ini. Ini disebalik pertumbuhan ekonomi yang perlahan pada masa ini, situasi konflik global yang memberi gangguan kepada rantaian bekalan yakni supply chain, memberi gangguan kepada pengangkutan dan pelaburan kita di luar negeri. Di samping itu, negara juga berdepan dengan cabaran perubahan iklim yang sudah kita alami baru-baru ini. Kesan yang boleh saja menganggu apa jua perancangan yang dibuat.
Wawasan Brunei 2035 tidak akan mudah dicapai jika kita masih beranggapan kehidupan kita akan berterusan dalam zon selesa yakni dalam comfort zone. Jika kita beranggapan kita masih boleh bersandar kepada pendapatan dari sumber minyak dan gas semata-mata seperti yang kita nikmati sejak 1970an di mana hasil pendapatan minyak lebih separuh dari keseluruhan keluaran kasar negara. Kini pendapatan hasil minyak dan gas amat berkurangan, maka adalah penting kita berusaha untuk mempelbagaikan ekonomi sebagai sesuatu yang perlu diusaha dan dicapai secepat mungkin.
Kita tidak ada alternatif lain selain daripada mempelbagaikan ekonomi. Beberapa negara di rantau ASEAN telah mampu keluar dari garis kemiskinan melalui kepelbagaian ekonomi. Negara kita berada di posisi yang lebih baik dari negara-negara tersebut dan koala yakin kita akan dapat menyaingi mereka.
Untuk mencapai kestabilan ekonomi koala menyokong pelaburan dalam sumber manusia yang memperkasa rakyat melalui pendidikan dan latihan, meningkatkan kecekapan-kecekapan perkhidmatan kerajaan agar lahir generasi yang berinovasi dan kreatif, progresif, berimpak tinggi dan mesra ICT dan AI yang mampu meneroka dan mengungkayahkan industri-industri yang mempunyai potensi besar seperti industri downstream, agromakanan, akuakultur dan perikanan, industri binaan, pelancongan, digital ekonomi dan lain-lain.
Justeru itu, koala menyokong sepenuhnya belanjawan 2026/2027 yang memberi fokus kepada:
Pertama, kepelbagaian ekonomi secara aktif dan berkesan dalam beberapa sektor-sektor yang sudah dikenal pasti boleh menyumbangkan kepada peningkatan KDNK seperti hiliran minyak dan gas, makanan yakni food production, perkhidmatan pelancongan dan ICT;
Kedua, pelaburan dalam pendidikan untuk melahirkan generasi yang berpendidikan tinggi, yang siap siaga menghadapi pekerjaan yang akan datang di mana kepakaran dalam ICT dan AI adalah diperlukan;
Ketiga, pelaburan dalam meningkatkan tahap kecekapan penjawat awam yang boleh menjalankan tugas dengan cekap, berintegriti, profesional dan berinovatif. Mereka seharusnya menjadi aset yang penting bagi sesuatu kementerian, jabatan atau di mana saja mereka bertugas;
Keempat, penyediaan kemudahan awam seperti bekalan tenaga elektrik, tenaga bekalan air, jalan raya, perumahan, pengangkutan awam yang selesa dan selamat; dan
Kelima, pelaburan dalam penjagaan kesihatan seperti menyediakan kemudahan rawatan hospital dan klinik dan tenaga kerja yang diperlukan.
Alhamdulillah, Kementerian Kesihatan juga telah pun memperuntukkan wang sebanyak BND646 juta pada belanjawan tahun ini. Di samping itu, kaola menyambut baik apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II untuk menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dan sektor-sektor swasta dan ini diharapkan termasuk memberi mereka insentif sama ada dari segi akses kepada kewangan mahupun pemudah cara pendaftaran, perlesenan, pengambilan kerja, akses ke pasaran dan sebagainya.
Terdapat banyak contoh di negara-negara ASEAN di mana bermula dari SME dan pengusaha kecil menjadi big industry players. Seterusnya menggunakan modal Public Private Partnership, PPP untuk membiayai projek-projek Kerajaan. Ketiga, berusaha terus menarik pelaburan asing ke negara ini. Dan keempat, semua perkara ini bukanlah perkara baru dan sering sudah disuarakan di Dewan yang mulia ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kaola berpendapat apa yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II adalah kunci untuk membolehkan kita mencapai pertumbuhan yang mampan yang sepatutnya yang kita beri perhatian yang amat serius untuk dilaksanakan. Kejayaan kita menarik beberapa pelabur asing di negara ini seperti Hengyi, Brunei Fertilizer, Mitsubishi dan lain-lain yang dinyatakan di dalam pembentangan Yang Berhormat Menteri yang menunjukkan negara kita mempunyai potensi untuk menarik lebih banyak lagi pelaburan dengan insentif-insentif yang menarik. Kita berhadapan dengan perkembangan ekonomi yang rendah di kalangan negara-negara ASEAN. Pengangguran masih di paras yang tinggi, pelaburan langsung asing dan jumlah pelancong yang juga rendah. Keadaan ini perlu ditangani dengan bijak dan segera.
Di sini kaola ingin memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara pada hari Khamis lalu, 22 Ramadan 1447 Hijrah bersamaan 12 Mac 2026 di mana baginda mahu tindakan pelaksanaan yang lebih agresif serta ketahanan dalam merangka dasar dan strategi pembangunan negara khususnya ke arah Wawasan Brunei 2035 termasuk usaha berterusan dalam meneroka pelaburan strategik dalam sektor-sektor yang boleh merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan usaha mengukuhkan fiskal Kerajaan. Akhir titah.
Kita perlu agresif dalam mendatangkan pelabur asing, agresif dalam memajukan sektor pertanian, kita perlu agresif dalam menggalakkan perusahaan tempatan PMKS dan agresif dalam banyak-banyak hal. Pertumbuhan ekonomi kita yang positif adalah dinantikan oleh rakyat dan penduduk negara ini kerana impak positif kepada rakyat dan penduduk negara ini dari segi wujudnya peluang-peluang pekerjaan, pendapatan yang tinggi, kemudahan awam yang lebih baik dan masa hadapan yang lebih terjamin dan cerah, insya Allah.
Maka di Dewan yang mulia ini, kaola sekali lagi mengatakan sehubungan kepada peruntukan yang telah pun dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II dan kaola menyokong sepenuhnya supaya apa pun telah dicatat dalam Economic Blueprint, Social Blueprint dan akan dapat dilaksanakan dengan begitu agresif kerana masa hadapan kita bergantung kepada suksesnya Wawasan Brunei 2035 dan rakyat kita menunggu sejauh mana kita akan mencapai apa pun telah pun kita catatkan dalam blueprint-blueprint tersebut.
Sekian sahaja yang ingin kaola sampaikan, Yang Berhormat Yang Di-Pertua dalam perbahasan dalam menyokong Rang Undang-Undang (2026) Perbekalan, 2026/2027. Kaola sudahi dengan berdoa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan seluruh kerabat diraja akan sentiasa dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan. Amin Ya Rabbal Alamin. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih Yang Berhormat atas penyertaan dalam perbahasan yang telah pun kita jalankan sejak beberapa hari kebelakangan ini. Sekarang, saya kira adalah sesuai bagi kitani untuk berehat sebentar selama 15 minit dan kita akan menyambung semula perbahasan bagi membolehkan Ahli-Ahli Yang Rasmi Kerana Jawatan pula membuat apa namanya ni, contribution mereka masing-masing. Saya tangguhkan mesyuarat ini.
(Majlis Mesyuarat berehat sebentar)
(Majlis Mesyuarat bersidang semula)
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Bismillahir Rahmanir Rahim. Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekarang majlis ini bersidang semula bagi kita menyambung semula perbahasan kita telah pun mendengar hujah-hujah yang telah pun dikemukakan oleh Yang Berhormat Ahli-Ahli Yang Dilantik dan sekarang saya akan mempersilakan pula Yang Berhormat Ahli-Ahli Rasmi Kerana Jawatan dan mengenai dengan perkara yang sama dalam perbahasan peringkat dasar ini.
Saya ingin mengingatkan bahawa Yang Berhormat Menteri-Menteri diberikan masa selama 30 minit untuk memberikan hujah-hujah mereka dan sebagaimana yang telah pun juga saya berikan kepada Ahli-Ahli Yang Dilantik, sekiranya diperlukan saya bersedia untuk mendengar hujah-hujah tambahan tertakluk kepada keadaan kini.
Sekarang untuk memulakan senarai yang ada pada saya bagi perbahasan seterusnya saya persilakan sekarang Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II. Silakan Yang Berhormat.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua membagi kaola peluang untuk mengongsikan di Dewan yang mulia ini fokus utama dan hala tuju Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri pada tahun ini dan tahun akan datang.
Terlebih dahulu kaola bagi pihak kementerian dengan segala hormat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di atas peruntukan yang disokong bagi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri untuk Tahun Kewangan 2026/2027 yang berjumlah dalam lingkungan BND124 juta. Dengan peruntukan tersebut, kementerian bolehlah dan akan terus menjalankan tugas-tugasannya dalam memperkukuh kepentingan serta dasar luar Negara Brunei Darussalam melalui diplomasi dua hala dan berbilang hala bagi menjamin kemakmuran, keselamatan dan kedaulatan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Beberapa tahun kebelakangan, landskap antarabangsa telah berubah dengan pantas dan keadaan geopolitik dan geoekonomi terus menjadi semakin kompleks dan tidak menentu. Dalam perkara ini kaola, saya sangat menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa membuka Majlis Mesyuarat Negara tahun ini iaitu negara perlu sentiasa peka dengan pergolakan geopolitik antarabangsa dan kesannya terhadap cabaran ekonomi global. Maka pada masa ini, kita menyaksikan situasi konflik di rantau Timur Tengah iaitu perang di antara Amerika Syarikat bersama rejim zionis terhadap Republik Islam Iran. Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengutuk keras tindakan tersebut. Pada waktu yang sama, Negara Brunei Darussalam juga mengesali bahawa peperangan tersebut telah melibatkan serangan balas terhadap negara-negara jiran Republik Islam Iran.
Dalam perkara ini, kita telah mengambil usaha-usaha diplomatik dengan negara-negara di Timur Tengah yang terkesan akibat peperangan ini. Peperangan ini yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat bersama rejim zionis telah memberi banyak penghancuran kepada rantau tersebut. Kaola telah membuat panggilan telefon kepada menteri-menteri luar di rantau tersebut termasuklah menteri-menteri luar Oman, Qatar, Kuwait, Bahrain, Arab Saudi, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu dalam hari-hari dan minggu berikutan serangan tersebut. Di mana kaola/saya telah menyatakan kebimbangan yang amat mendalam mengenai situasi yang dihadapi oleh negara-negara berkenaan dan juga memberikan solidariti, sokongan solidariti Negara Brunei Darussalam.
Negara Brunei Darussalam juga telah bekerjasama dengan negara-negara ASEAN untuk mengeluarkan satu kenyataan yang menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap serangan yang dimulakan oleh Amerika Syarikat dan rejim zionis serta tindakan balas oleh Republik Islam Iran.
Negara Brunei Darussalam juga menaja bersama ataupun co-sponsor satu resolusi di Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai dengan tindakan Republik Islam Iran terhadap negara Majlis Kerjasama Teluk ataupun GCC. Peningkatan ketegangan ini bukan saja menjejaskan kedaulatan dan integriti wilayah negara-negara tetapi ini juga menimbulkan impak yang serius dan berpanjangan terhadap rantau tersebut serta peringkat global.
Kita juga melihat persaingan di antara kuasa-kuasa besar dan pertikaian perdagangan yang memberi kesan kepada ekonomi serantau dan global. Pada masa yang sama perubahan pada pendekatan dasar luar negara kuasa besar telah menjejaskan dan melemahkan aturan antarabangsa yang sedia ada. Sementara konflik di antara Ukraine dan Rusia, konflik di Palestin pun masih terus berlarutan dan ada juga semakin tegang. Dalam perkara ini, negara kita terus menerus mengulangi pendirian menentang penggunaan kekerasan dan menyeru bagi dihormati sepenuhnya undang-undang antarabangsa dan prinsip-prinsip piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Kita juga menggesa semua pihak untuk menahan diri, self-restraint menghentikan persengketaan serta mengutamakan usaha-usaha untuk meredakan keadaan dan meneruskan dialog serta diplomasi demi memelihara keamanan dan kestabilan serantau.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Laut Cina Selatan adalah merupakan laluan maritim global yang strategik. Lautan ini menjadi sandaran kepada banyak negara di rantau ini mahupun di luar termasuk jua Negara Brunei Darussalam khususnya dalam pergerakan dan perdagangan antarabangsa. Oleh yang demikian, negara kita mempunyai kepentingan dalam memastikan Laut Cina Selatan sentiasa kekal sebagai laut yang aman dan stabil.
Dalam pada itu, Negara Brunei Darussalam akan terus bekerjasama aktif dengan negara-negara berkenaan secara dua hala mahupun berbilang hala bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan Laut Cina Selatan. Ianya termasuk menekankan kepentingan bagi penyelesaian Code of Conduct of Parties in The South China Sea ataupun COC yang kita jangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun ini. Langkah yang amat penting ini akan menyumbang kepada keselamatan dan perkembangan ekonomi negara yang berterusan.
Dalam konteks pergolakan dunia dan cabaran-cabaran strategik ini, kementerian akan terus berusaha untuk memastikan Negara Brunei Darussalam sentiasa peka, berwaspada dan bersedia untuk menyesuaikan pendekatan dasar luar negara sentiasa relevan.
Matlamat kementerian ini jelas iaitu untuk mengamalkan dasar luar yang positif dan bersikap berbaik-baik dengan negara-negara lain dan menjaga kepentingan negara dalam memastikan kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan wilayah Negara Brunei Darussalam, ensuring our independence, our sovereignty and our territorial integrity. Pendekatan ini penting bagi menggalakkan persekitaran antarabangsa yang aman dan stabil, sekaligus menjamin keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran negara dalam jangka masa panjang.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dengan peruntukan yang dicadangkan dan dengan cabaran-cabaran antarabangsa yang semakin kompleks, kementerian ini terus komited dalam memperkukuh kepentingan serta memperluas peranan Negara Brunei Darussalam melalui diplomasi dua hala dan pelbagai hala di peringkat antarabangsa. Perkara ini dilaksanakan melalui dasar luar negara yang berkesan dan pragmatik berlandaskan prinsip-prinsip yang telah menjadi tunjang kekuatan negara sejak empat dekad yang lalu.
Ini termasuk dialog dan penyelesaian secara aman. Hubungan seimbang dengan negara-negara kuasa besar, menekankan kepentingan bagi menegakkan perundangan antarabangsa serta menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah negara. Pendekatan ini menekankan pendirian yang seimbang, terbuka dan konstruktif dengan semua negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Mengambil kira keadaan dunia kita lalui masa ini dan mungkin kita hadapi melangkah ke masa depan, kaola dan saya ingin mengongsikan beberapa agenda keutamaan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri bagi tahun 2026.
Pertama, Negara Brunei Darussalam akan terus memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama strategik terutamanya dengan negara-negara jiran seperti Malaysia, Singapore dan Indonesia. Hubungan kejiranan yang baik adalah asas kestabilan, ia juga menyokong keselamatan negara dan pembangunan ekonomi. Di luar rantau Asia Tenggara pula Negara Brunei Darussalam akan terus meluaskan kerjasama dengan negara-negara sahabat termasuk rakan-rakan strategik seperti Republik Rakyat Cina, negara-negara di Timur Tengah dan negara-negara barat.
Alhamdulillah, kita juga telah melihat banyak perkembangan yang baik termasuk perlaksanaan dialog-dialog strategik dengan negara-negara seperti United Kingdom, Australia dan Jepun. Kerjasama ini turut dilaksanakan dengan pelan-pelan strategik masing-masing dalam bidang-bidang keutamaan. Melalui pendekatan ini lebih banyak peluang perdagangan dan perniagaan dapat diterokai ke arah memacu pertumbuhan ekonomi negara serta menjadikannya lebih berdaya tahan.
Dalam hubungan dengan kuasa-kuasa global, Brunei akan terus mengekalkan pendirian yang berprinsip dan pragmatik, berfokus kepada dialog dan penyelesaian aman demi meraih faedah bersama dan memajukan kepentingan negara. Justeru itu, kerjasama dengan negara-negara rakan akan terus diperkukuhkan melalui pertukaran lawatan, mekanisme konsultatif dua hala di pelbagai peringkat serta inisiatif yang lebih strategik bagi mengenal pasti bidang-bidang utama dan potensi yang memberikan faedah bersama.
Kedua, Negara Brunei Darussalam akan terus menyokong usaha-usaha ASEAN ini bagi memastikan ASEAN kekal relevan bersatu padu dan berdayatahan. Kita juga akan terus menekankan ASEAN centrality dalam regional architecture. Keahlian Negara Brunei Darussalam dalam ASEAN membawa nilai dari pelbagai aspek iaitu ekonomi, strategik mahupun sosiobudaya. Oleh itu, ASEAN kekal menjadi teras utama dasar luar Negara Brunei Darussalam bagi menguatkan negara kecil ini di dalam dunia yang semakin mencabar.
Dari sudut ekonomi, perjanjian perdagangan bebas ASEAN serta perjanjian ASEAN dengan rakan-rakan dialog memudahkan para pengusaha dan peniaga tempatan meneroka dan menembusi pasaran serantau dan antarabangsa dengan lebih mudah. Dari segi sosiobudaya ASEAN, rakyat Negara Brunei Darussalam khususnya belia, mempunyai peluang untuk meningkatkan pengalaman dan pendedahan yang bernilai. Ini melalui program-program pertukaran kesukarelawanan dan aktiviti-aktiviti pembangunan belia yang selaras dengan perkembangan semasa.
Kita turut memanfaatkan bantuan teknikal dan pembangunan kapasiti. Ini merangkumi pelbagai bidang seperti pengurusan bencana, perubahan iklim, pengurusan awam, keselamatan makanan, isu keganasan dan undang-undang maritim dan laut. Pada masa yang sama kita boleh mengambil bahagian dalam menangani cabaran rentas sempadan yang semakin membimbangkan seperti perubahan iklim, keselamatan maritim, siber dan ketahanan ekonomi. Negara kita boleh memperluaskan peluang kerjasama dengan rakan-rakan dialog ASEAN dalam bidang-bidang berkepentingan termasuk ekonomi, pembangunan, keselamatan, digital dan juga AI. Negara Brunei Darussalam boleh juga ikut serta dalam program biasiswa, kursus dan pertukaran kepakaran yang ditawarkan oleh rakan-rakan dialog ASEAN.
Negara turut menyumbang kepada agenda ASEAN untuk mencapai masa depan rantau yang lebih resilient, inovatif dan inklusif dalam lanskap global yang berubah-ubah ini. Ini termasuk dalam sama-sama memajukan visi komuniti ASEAN 2045. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Negara Brunei Darussalam merupakan negara penyelaras atau country coordinator bagi hubungan dialog ASEAN dan kesatuan Eropah ataupun European Union pada tahun 2024 hingga 2027.
Dalam perkara ini, negara akan menyelaras dan mempengerusikan kerjasama strategik di antara ASEAN dan EU. Ini melibatkan penganjuran beberapa mesyuarat-mesyuarat termasuk Mesyuarat Menteri Luar ASEAN-EU Ke 25 pada penghujung bulan April ini di Negara Brunei Darussalam. Menerusi mesyuarat tersebut negara-negara ASEAN dan negara-negara EU berpeluang membincangkan kemajuan kerjasama ASEAN-EU khususnya dalam bidang-bidang keutamaan bersama serta mengenai hala tuju masa depan hubungan dialog ASEAN-EU. Dengan itu juga, Negara Brunei Darussalam dapat mengambil peluang untuk mengeratkan lagi hubungan bekerjasama dengan negara-negara Eropah ke arah mencapai kemanfaatan bersama.
Keutamaan ketiga, adalah hubungan di peringkat pelbagai hala ataupun berbilang hala. Negara Brunei Darussalam akan terus aktif dan konsisten di forum antarabangsa. Bagi negara kecil sistem berbilang hala ataupun multilateralism yang berasakan peraturan adalah amat penting. Ia melindungi kedaulatan dan memastikan peluang yang adil dan setara dalam menangani pelbagai cabaran global.
Oleh yang demikian, Negara Brunei Darussalam akan terus menyokong multilateralism. Kita juga akan menegaskan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa dan prinsip piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ia termasuk menghormati kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan wilayah di semua negara. Di peringkat antarabangsa, Negara Brunei Darussalam juga terus menyuarakan pendirian ini melalui kenyataan kebangsaan dan penglibatan aktif di forum-forum yang berkenaan. Ini mencerminkan komitmen negara dalam menegakkan keamanan, kestabilan dan keadilan antarabangsa.
Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam akan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan di peringkat pelbagai hala demi memajukan kepentingan ini. Pendirian negara terhadap isu Palestin juga konsisten dan kekal dan berteraskan prinsip di mana negara terus menyuarakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Palestin dan rakyatnya khususnya mengenai two-state solution with 1967 borders and the inalienable rights to self-determination.
Ini termasuk mengundi menyokong resolusi antarabangsa berkaitan Palestin sebagai manifestasi sokongan dan solidariti negara terhadap perjuangan rakyat Palestin. Sebagai ahli masyarakat antarabangsa yang prihatin dan bertanggungjawab, negara dan orang ramai juga menyumbang dalam menangani krisis kemanusiaan yang disebabkan oleh bencana atau konflik. Ini mengikut keupayaan yang ada. Ini termasuk penyaluran sumbangan dan bantuan kepada Myanmar pada April tahun lepas, kepada Syria pada bulan Jun 2024, kepada Republik Turkiye bulan Mei 2024 berikutan kejadian gempa bumi dan bencana alam yang melanda negara tersebut.
Bantuan yang dihulurkan juga dibuat melalui kerjasama dengan negara-negara rakan dan komuniti antarabangsa. Negara Brunei Darussalam telah bekerjasama dengan Jordan bagi menyampaikan bantuan awam ke Gaza dan menyalurkan sumbangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestine di Asia Barat UNRWA. Selain itu, Negara Brunei Darussalam menunjukkan komitmennya dalam menyokong peranan PBB untuk menjamin keamanan global dengan menyertai misi pengaman Pasukan Interim PBB ataupun UNIFIL yang terletak di Lebanon sejak tahun 2008 selaras dengan mandat Majlis Keselamatan PBB. Semua usaha ini menzahirkan pendekatan negara yang berprinsip dan bertanggungjawab dalam memperkasa kerjasama antarabangsa dan memperkukuhkan multilateralism.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Selain keutamaan yang kaola sebutkan tadi, kementerian ini juga menjaga kesejahteraan rakyat Negara Brunei Darussalam di luar negara melalui 43 buah pejabat perwakilan yang ada pada masa ini. Pihak Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri akan sentiasa bertindak sewajarnya sekiranya berlaku situasi kecemasan yang boleh membahayakan keselamatan rakyat kita di luar negara. Ini termasuk kejadian bencana alam, pandemik, kekacauan awam, keadaan darurat ataupun ancaman sekuriti di negara berkenaan.
Seperti yang kaola, saya sampaikan kelmarin, mana-mana rakyat Brunei Darussalam yang merancang dan sedang berada di luar negara adalah disarankan untuk mengamalkan, mendaftar melalui sistem e-Register dalam laman web Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri. Kementerian juga menekankan kepada orang ramai untuk mendapatkan insurans perjalanan atau perubatan sebelum melakukan perjalanan ke luar negeri. Ianya sangat penting bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan serta juga memberi ketenangan jiwa ataupun peace of mind individu tersebut khususnya jika berlaku kecemasan kesihatan atau perbelanjaan di luar jangkaan seperti kemalangan, jatuh sakit, pengurusan dan membawa balik jenazah.
Mengenai dengan pergolakan di Timur Tengah, kementerian akan terus memantau situasi dan bersedia memberi nasihat dari semasa ke semasa. Semua rakyat Brunei yang kini berada di rantau tersebut yang berjumlah 760 orang dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang sewajarnya dengan mengutamakan keselamatan diri.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri juga akan terus meningkatkan dan memperkukuhkan lagi peranan pejabat-pejabat perwakilan di luar negeri. Pejabat-pejabat perwakilan kita ini berfungsi sebagai contact point atau penghubung antara agensi-agensi Negara Brunei Darussalam dengan agensi-agensi di luar negara. Ini termasuk menyokong dan memudah cara usaha-usaha agensi utama ataupun lead agencies kita bagi memperluaskan lagi peluang-peluang perdagangan, pelaburan, pertanian, pelancongan serta menerokai bidang kerjasama yang berpotensi.
Pada masa yang sama, kementerian sentiasa menitikberatkan hal ehwal kebajikan para pegawai dan diplomat kita yang bertugas di luar negara bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan serta keupayaan mereka sentiasa terjamin, terjaga dan developed, dibangunkan. Begitu juga dengan pekerja ambilan tempatan yang berkhidmat di pejabat-pejabat perwakilan kita yang merupakan aset sumber manusia penting dalam memastikan kelancaran operasi pejabat perwakilan. Segala pencapaian dan kejayaan dasar luar Negara Brunei Darussalam memerlukan sokongan padu dan kerjasama serta komitmen penuh daripada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dan semua agensi-agensi kerajaan.
Melalui pendekatan whole of government, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi kerajaan yang lain dalam memelihara dan memperjuangkan kepentingan negara ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Sekian sahaja yang dapat kaola, saya sampaikan mengenai fokus-fokus utama dan juga hala tuju Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri. Wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Sekarang saya persilakan, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. (Selawat dibaca). Assalamualaikum warrahmatullahi ta’ala wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Yang peramba, kaola, saya hormati. Pertama, kaola mengucapkan terima kasih di atas kebenaran Yang Berhormat Yang Di-Pertua untuk kaola menyampaikan ulasan di Dewan yang mulia ini berkaitan dengan fokus Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2026/2027, khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah merangka serta menyusun pelbagai inisiatif mengikut keutamaan yang telah ditetapkan selaras dengan aspirasi yang digariskan dalam Pelan Strategik Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri 2023 - 2027 yang berteraskan keselamatan dan kesejahteraan iaitu dalam usaha untuk mendukung tema Belanjawan Negara iaitu ‘Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035’ dengan berpandukan tiga fokus utama Belanjawan Negara yang telah ditetapkan.
Dalam hal ini, peranan kementerian merangkumi beberapa bidang utama. Antaranya, kawalan imigresen dan pendaftaran kebangsaan, pengawalseliaan tenaga kerja serta pemeliharaan persekitaran pekerjaan di sektor swasta, keselamatan, menangani kebakaran dan operasi penyelamatan, pengurusan bencana, pengurusan institusi penjara serta pentadbiran daerah dan perbandaran. Pendekatan ini dilaksanakan secara bersepadu dan inklusif dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemimpin di peringkat akar umbi berteraskan visi kementerian iaitu ‘Bersama Mengekalkan Brunei Darussalam Yang Aman, Makmur dan Dinamik’.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Menyentuh mengenai fokus pertama Belanjawan Negara iaitu memperkukuh kestabilan fiskal dan tadbir urus kewangan. Alhamdulillah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya telah melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan penggunaan sumber kewangan secara lebih berhemah dan efisien.
Antaranya, termasuk pelaksanaan pajak sewa bagi kenderaan operasi jabatan sebagai sebahagian daripada inisiatif Fiscal Consolidation Program. Ini termasuklah inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan di tahun-tahun kewangan yang lalu yang pernah kaola kongsikan di Dewan yang mulia ini iaitu semasa Mesyuarat Majlis Mesyuarat Negara pada tahun 2025.
Dalam menyokong fokus kedua Belanjawan Negara iaitu memperkasa ekonomi melalui transformasi dan inovasi, Kementerian turut memberi penekanan kepada usaha pendigitalan proses kerja serta peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan antaranya melalui Projek One MOHA System yang akan merangkumi komponen sistem pengurusan kecemasan yang bersepadu dan efficient yang melibatkan orang ramai dan pendigitalan proses kerja dalaman kementerian serta penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.
Selain itu, sistem Immigration and National Registration System atau INRS di bawah Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan turut dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengurusan maklumat Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.
Di samping mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai, sistem ini merangkumi beberapa modul utama seperti kad pengenalan, pengurusan sempadan, visa dan pas kewarganegaraan, permit masuk, pendaftaran kelahiran kematian dan anak angkat serta penguatkuasaan undang-undang. Setakat ini, 6 modul telah pun digunakan, manakala yang lain masih di peringkat uji cuba dan insya Allah dijangka siap dalam Tahun Kewangan 2026/2027 ini.
Di samping itu, kementerian juga melaksanakan penyatuan penyelenggaraan bagi sistem INRS iaitu Immigration National Registration System dengan National Labour Management System, NMLS. Langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh tadbir urus sistem serta memastikan infrastruktur ICT sentiasa berada pada tahap optimum dan selamat.
Inisiatif ini juga membantu memastikan keselamatan rangkaian dan sistem sentiasa terpelihara daripada ancaman siber serta mengurangkan risiko gangguan terhadap sistem kritikal kementerian. Dengan penyatuan penyelengaraan ini, ia turut menyokong fokus pertama belanjawan negara iaitu memperkukuh kestabilan fiskal dan tadbir urus kewangan.
Selaras dengan fokus ketiga belanjawan negara yang menekankan menjamin kelestarian sosial dan pembangunan masa hadapan, kementerian turut merancang pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada pengukuhan keselamatan dan kesejahteraan awam, pembangunan komuniti serta penambahbaikan kemudahan awam. Dari sudut pengukuhan keselamatan awam, kementerian memberi keutamaan kepada peningkatan infrastruktur keselamatan awam serta keupayaan respon kecemasan.
Antara inisiatif utama ialah pembekalan 30 buah Water Tender Ladder, di mana 10 buah daripadanya telah tiba pada bulan November 2025. Selain itu, di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-12, kementerian turut melaksanakan pembelian strategik antaranya pembelian Light Fire Attack Vehicle, LFAV, jentera bomba baharu termasuk onboard equipment serta latihan kepada anggota bomba dan penyelamat dengan nilai keseluruhan BND2.9 juta.
Dengan kelengkapan yang lebih moden dan efisien ini, ianya akan meningkatkan lagi keupayaan, kesiapsiagaan serta mempercepatkan tindak balas pasukan bomba ketika menghadapi kecemasan dan bencana. Kenderaan ini juga direka khusus bagi membolehkan operasi dijalankan di kawasan pedalaman atau laluan yang sukar diakses oleh jentera bomba bersaiz besar. Sekaligus meningkatkan keupayaan pasukan sebagai first responder dalam situasi kecemasan.
Manakala dari segi kesiapsiagaan masyarakat, kementerian melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan terus melaksanakan pelbagai program kesedaran awam berkaitan bencana dan keselamatan. Tujuan utama program-program ini adalah untuk memastikan masyarakat lebih bersedia memahami risiko yang dihadapi serta mengetahui tindakan yang perlu diambil semasa berlakunya kecemasan. Dalam usaha memelihara kesejahteraan masyarakat, kementerian memberi penekanan kepada pengukuhan proses tapisan filem dan hiburan awam agar kandungannya sentiasa selaras dengan falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja.
Di samping itu, di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12, Projek Pembangunan Penjara Maraburong fasa 4 dan fasa 5 turut diteruskan dengan tujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan, memperkemas pengurusan banduan secara lebih bersistematik serta menambahbaik keupayaan institusi penjara dalam melaksanakan fungsi kawalan, pemulihan dan pengintegrasian semula banduan secara lebih berkesan. Status kesiapan fasa 4 ini mencapai 96.21 peratus dan sasaran siap pada bulan Mac 2026, manakala fasa 5 adalah masih di peringkat reka bentuk dan dijangka siap pada tahun 2028.
Selain itu, projek penaiktarafan pos-pos kawalan darat di sempadan negara turut dilaksanakan bagi memperkukuhkan keselamatan sempadan melalui penyediaan kemudahan operasi yang lebih bersistematik serta pembinaan bangunan kekal yang memenuhi keperluan operasi semasa.
Pelaksanaan projek ini juga dijangka meningkatkan kelancaran aliran keluar masuk di sempadan negara, memberikan keselesaan kepada orang ramai serta menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif bagi pegawai dan kakitangan yang bertugas. Pada masa ini, projek berkenaan masih di peringkat reka bentuk dan dijangka akan dibukakan tawaran pada bulan Julai 2026.
Dari sudut kemaslahatan masyarakat, kementerian juga telah menyediakan peruntukan bagi menambahbaik pelbagai kemudahan awam yang menjadi keperluan asas harian orang ramai. Ini termasuk kerja-kerja menambahbaik jambatan di Kampong Ayer serta menaik taraf dewan-dewan kemasyarakatan, tandas awam, gerai dan tamu. Ini termasuklah projek penambahbaikan dan menaik taraf 32 buah jambatan sepanjang 5 kilometer serta 6 buah jeti yang bertujuan meningkatkan tahap keselamatan accessibility serta menyokong aktiviti sosial ekonomi penduduk Kampong Ayer.
Di samping itu, 1 term contract juga telah diwujudkan bagi pembelian kayu untuk kerja-kerja membaik pulih jambatan sepanjang 1.25 kilometer yang akan dilaksanakan menggunakan tenaga kerja di Jabatan Daerah.
Kerja-kerja pembaikan dewan-dewan kemasyarakatan serta gerai dan tamu di keempat-empat daerah juga akan dilaksanakan dan dijangka akan mula dilaksanakan dalam Tahun Kewangan 2026/2027 yang bertujuan untuk menyokong aktiviti sosial dan ekonomi komuniti di samping meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat. Selain memastikan prasarana yang tersedia berada dalam keadaan baik dan selesa untuk digunakan oleh orang ramai dan para pengusaha, kementerian juga memberi perhatian kepada perkhidmatan kebersihan dan penyelenggaraan kawasan agar persekitaran sentiasa bersih, kemas dan selamat secara berterusan.
Seiring dengan usaha mendukung inisiatif ke arah kemaslahatan masyarakat, salah satu tumpuan penting kementerian ialah pengukuhan institusi mukim dan kampung. Dalam hubungan ini, kementerian akan terus memperkasa ekonomi komuniti melalui pengukuhan Program Satu Kampung Satu Produk dengan tujuan membuka lebih banyak peluang keusahawanan dan pekerjaan agar setiap kampung berupaya menjana sumber ekonomi tersendiri.
Usaha ini adalah selaras dengan hasrat kementerian untuk membentuk komuniti yang lebih berdikari, inovatif dan berdaya maju. Bagi menyokong usaha pemulihan reintegrasi banduan ke dalam masyarakat, peruntukan kementerian melalui Jabatan Penjara turut disalurkan kepada pelaksanaan program pemulihan dan reintegrasi melalui penyediaan latihan vokasional. Melalui inisiatif ini, para banduan diberi peluang untuk memperkasa diri dengan kemahiran yang relevan sekaligus mempersiapkan mereka untuk memperoleh pekerjaan dan memulakan kehidupan baharu yang lebih produktif setelah dibebaskan.
Dalam usaha memperkukuh kompetensi warga kerja dan pemimpin akar umbi, kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui jabatan-jabatan di bawahnya akan terus memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan sumber manusia melalui pelaksanaan program latihan dan pembangunan kompetensi yang dirancang secara bersistematik berdasarkan analisis keperluan serta jurang kompetensi semasa.
Di samping itu, kementerian turut mengutamakan sokongan terhadap penghulu mukim dan ketua kampung melalui pelaksanaan Skim Takaful bagi Penghulu Mukim dan Ketua Kampung. Sebagai barisan hadapan yang sentiasa berinteraksi secara langsung dengan penduduk, skim ini bertujuan memastikan kebajikan dan perlindungan pemimpin akar umbi sentiasa terpelihara, sekaligus menyokong keberkesanan penyampaian perkhidmatan di peringkat akar umbi.
Secara keseluruhannya, segala perancangan program dan projek yang dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri adalah berteraskan komitmen untuk memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kemaslahatan masyarakat sentiasa terpelihara. Usaha-usaha ini juga mencerminkan pendekatan whole of government dan whole of nation yang menuntut kerjasama erat antara agensi Kerajaan, sektor swasta pemimpin masyarakat serta seluruh lapisan rakyat dalam bersama-sama memelihara keamanan, kestabilan dan keharmonian negara.
Peranan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung sebagai pemimpin akar umbi merupakan penghubung utama antara Kerajaan dan masyarakat di samping memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan, memperkukuh kesejahteraan sosial serta memastikan setiap dasar dan inisiatif Kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan di peringkat komuniti. Justeru, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan para pemimpin akar umbi melalui pendekatan yang lebih inklusif dan bersepadu termasuk memperkasa kapasiti kepimpinan, memperluas penyertaan komuniti serta menggalakkan budaya kerjasama dalam menangani cabaran-cabaran semasa demi memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Dan dengan adanya sokongan dan dokongan berterusan daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat di dewan yang mulia ini serta kerjasama semua pihak. Insya Allah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan terus komited untuk memperkukuh keselamatan awam, meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan memperkasa komuniti selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Sekian, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca). Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu kaola ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada kaola untuk menyampaikan ulasan mukadimah berkaitan dengan perbahasan berkenaan Rang Undang-Undang (2026) Perbekalan, 2026/2027. Terima kasih jua diucapkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah turut serta membahaskan isu-isu terutamanya dibawah Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Kaola dengan penuh hormat dan takzim bagi mewakili seluruh warga Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Jabatan-jabatan dibawahnya ingin merafakkan sembah setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia perkenan bagi menyediakan peruntukan yang disokong untuk Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan bagi Perbelanjaan Tahun Kewangan 2026/2027 sebanyak BND88.76 juta.
Dikesempatan ini, kaola juga ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II atas pembentangan kertas cadangan Rang Undang-Undang (2026) Perbekalan, 2026/2027.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Penekanan utama dalam peruntukan yang disediakan bagi Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan bagi Tahun Kewangan 2026/2027 ini adalah bagi memberi fokus kepada perancangan dan pelaksanaan program dan inisiatif yang menjurus kepada usaha-usaha untuk:
Pertama mendukung pertumbuhan dan peningkatan keluaran industri di bawah sektor makanan;
Kedua, mendukung pertumbuhan dan pembangunan industri pelancongan; dan
Ketiga, ialah mendukung pembangunan dan pemuliharaan hutan negara demi menjamin keseimbangan alam sekitar yang bersih dan sihat.
Bagi memacu pertumbuhan dan peningkatan keluaran industri di bawah sektor makanan serta menjamin sekuriti makanan negara, strategi kementerian beralih daripada tumpuan terhadap pengeluaran primer kepada pendekatan ekosistem yang holistik. Ini merangkumi pemerkasaan industri pemprosesan dan penghasilan produk nilai tambah berasaskan pertanian dan perikanan. Keutamaan strategik akan diberikan kepada pengukuhan rantaian nilai secara menyeluruh bagi memastikan daya tahan sektor agrimakanan yang lebih kompetitif, bersepadu dan seterusnya menjamin keselamatan negara.
Seterusnya, kementerian komited untuk meningkatkan pengeluaran makanan domestik melalui perancangan strategik dengan mengukuhkan sinergi antara para pengusaha sebagai penggerak utama industri serta mengintegrasikan pendekatan whole of nation dan whole of government supaya kita berupaya untuk mengatasi cabaran sektor secara menyeluruh sambil meneroka prospek pertumbuhan baharu. Momentum inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2025 menjadi asas yang kukuh untuk memastikan kejayaan masa depan yang berlandaskan komitmen kolektif dari semua pihak berkepentingan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Keutamaan peruntukan bagi Tahun Kewangan ini akan difokuskan secara strategik bagi usaha-usaha menaiktaraf dan penyediaan infrastruktur asas. Matlamat kementerian adalah untuk memastikan setiap kawasan kemajuan pertanian dan perikanan dilengkapi dengan bekalan air, elektrik serta sistem saliran yang mencukupi dan kondusif. Penyediaan infrastruktur ini merupakan pemangkin utama untuk memudahkan para pengusaha memulakan dan mengembangkan segala perusahaan mereka sekaligus mengukuhkan food security negara secara mapan.
Untuk meningkatkan produktiviti ketahap optimum, peruntukan juga disalurkan untuk menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian dan perikanan. Selaras dengan ini, kementerian akan terus komited untuk mengukuhkan tadbir urus ladang yang cemerlang demi menarik minat para pengusaha baru terutama sekali generasi belia bagi menceburi sektor ini sebagai kerjaya.
Di samping itu, keutamaan juga diberikan kepada pengukuhan kapasiti jabatan-jabatan sebagai Competent Authority untuk memastikan keselamatan, kualiti makanan dan kemudahan akses ke pasaran global. Inisiatif ini disokong melalui penyediaan infrastruktur, fasiliti dan makmal rujukan yang diiktiraf serta pembangunan tenaga pakar bagi memenuhi piawaian antarabangsa. Ini termasuklah juga usaha untuk mengukuhkan rantaian sejuk, cold chain dan memudahkan proses logistik yang khusus untuk tujuan eksport.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Segala strategi dan penekanan ini adalah berlandaskan kepada Peta Jalan Industri Makanan, Food Industry Roadmap yang berperanan sebagai kerangka strategik bagi memacu pertumbuhan sektor makanan yang berdaya saing dengan penekanan khusus terhadap penghasilan produk yang halal, selamat dan berkualiti tinggi. Selain daripada itu, kementerian ini menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam pertanian dan perikanan termasuk aquaponics, tenaga solar, sistem titis, vertical farming dan sistem bermeja untuk kawasan banjir. Dalam akuakultur, Recirculating Aquaculture System, RAS dan Internet of Things, IoT digunakan untuk memantau kualiti sementara drone membantu penyemburan baja dan racun dan analisis data ladang padi.
Sebagai usaha proaktif kearah kelestarian, kementerian telah melaksanakan beberapa inisiatif strategik termasuk menggalakkan circular economy bagi memastikan persekitaran yang mapan. Ini termasuklah pelaksanaan inisiatif dibawah sektor-sektor kementerian antaranya Pertanian Regeneratif, Regenerative Agriculture. Pendekatan ini bertujuan untuk mengoptimumkan hasil tanaman melalui pemulihan kesuburan tanah secara semulajadi, dengan menggunakan kompos yang dihasilkan daripada bahan organik pertanian tanpa menjejaskan sumber semulajadi.
Yang kedua ialah, pesticide free bagi meningkatkan pemasaran produk pertanian yang premium dan berkualiti tinggi yang menekankan penggunaan bahan-bahan semula jadi dalam pengurusan tanaman dan kawalan perosak tanaman.
Yang ketiga ialah pengurusan sumber perikanan yang merangkumi program seperti melabuh takat-takat tiruan, artificial reefs bagi memperkayakan sistem perikanan marine; Program Pemulihan Udang, Shrimp Recovery Programme bagi menjamin kualiti udang laut tempatan; Pengawalan penangkapan dan penjualan udang bakara dan bekara dan ketam melalui saiz ukuran udang dan ketam yang bertelur bagi menangani ancaman kekurangan stok bekalan.
Program Diversification of Species melalui penubuhan fasiliti penternakan ikan seperti ikan pompano, ikan kerapu, ikan merah dan juga selain daripada ikan selongsong dengan menggunakan teknologi seperti Recirculating Aquaculture Systems, RAS dan Restocking Program dalam pelepasan benih udang galah di perairan Brunei Darussalam bagi mendukung meningkatkan populasi udang galah liar secara berperingkat bagi jangka masa panjang.
Seterusnya meningkatkan biosekuriti ladang di ladang-ladang pertanian dan perikanan dengan melaksanakan pensijilan Brunei Good Agriculture Practice, BGAP, Brunei Good Husbandry Practice, BGAHP dan Brunei Good Aquaculture Practice, BGAqP untuk memastikan aktiviti-aktiviti pertanian dan perikanan dijalankan dengan selamat, bertanggungjawab dan mampan dengan memberi penekanan kepada keselamatan makanan dan kesihatan ternakan dan menggalakkan peralihan kepada penggunaan sumber tenaga solar teknologi aqua-photovoltaic yang diintegrasikan dengan aktiviti penternakan di kolam seperti yang dilaksanakan oleh salah sebuah syarikat aquaculture di negara ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Melalui trajektori pertumbuhan yang positif dan pengukuhan ekosistem rantaian nilai secara bersepadu, sektor ini dijangka akan memberi sumbangan yang signifikan terhadap peningkatan KDNK, mengukuhkan sekuriti makanan serta nilai eksport negara. Selaras dengan aspirasi negara untuk meningkatkan pengeluaran daripada sektor makanan, pelaksanaan strategi juga menumpukan pertumbuhan industry primer dan hiliran dilaksanakan dengan menarik penglibatan syarikat-syarikat Pelaburan Langsung Asing serta syarikat berkaitan kerajaan, GLCs untuk memperkukuhkan ekosistem rantaian nilai industri makanan.
Ini merangkumi penghasilan bahan input, penerokaan sumber bekalan dari pelbagai negara lain, peningkatan kapasiti dan kepakaran dan pelaksanaan pembangunan dan penyelidikan. Inisiatif ini bukan saja menggalakkan aktiviti ekonomi negara tetapi juga membuka peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan untuk memilih bidang pertanian dan perikanan sebagai pilihan kerjaya.
Pada masa yang sama, pelaksanaan dan pengukuhan ekosistem rantaian nilai industri makanan, export drive initiatives telah dilaksanakan untuk meningkatkan lagi sektor hiliran dan pemprosesan. Inisiatif ini dilaksanakan untuk memberikan sokongan kepada para pengusaha yang terlibat dalam rantaian nilai, merangkumi fasa pra-pengeluaran hingga akses pasaran. Dengan inisiatif ini, terdapat beberapa program yang dilaksanakan termasuk Program Product Enhancement, Program Penambahbaikan Bahan Input dan Sistem Penyimpanan, Penyediaan Tapak dan Program Peningkatan Kapasiti.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam usaha ke arah memperkukuhkan keluaran beras dan padi negara yang terus berkembang, kementerian ini akan meneruskan inisiatif penyelidikan padi bagi mengenalpasti varieti padi yang unggul, berhasil tinggi dan memenuhi citarasa pengguna di negara ini.
Dengan ini, sebuah fasiliti pusat penyelidikan padi telah ditubuhkan bagi melaksanakan program penyelidikan komprehensif dalam pembiakan padi hibrid serta teknik penanaman pertanian mampan yang dibiayai di bawah perancangan peruntukan RKN12 dan dijangka siap pada suku kedua tahun 2027. Kementerian juga masih dalam peringkat perundingan bersama negara jiran untuk menerokai peluang-peluang penanaman padi bagi menjamin sekuriti makanan negara ini.
Dari segi prestasi eksport, secara keseluruhan nilai eksport makanan bagi tahun 2025 adalah sekitar BND13 juta. Nilai eksport sektor pertanian dan agrimakanan telah mencatatkan peningkatan sekitar 52.4 peratus berbanding dengan tahun 2024 dengan komoditi-komoditi tertinggi ialah makanan ternakan dan telur ayam yang masing-masing menyumbangkan sebanyak 55 peratus dan 43 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport.
Pada tahun 2025, secara keseluruhannya nilai eksport bagi produk-produk yang berasaskan pertanian dan agrimakanan adalah sebanyak 4.7 tan metrik dengan nilai mencapai BND7.68 juta. Sekitar 22 juta biji telur ayam dengan nilai BND3.3 juta telah dieksport ke Singapura. Selain itu, beberapa produk agrimakanan baharu keluaran syarikat tempatan juga telah berjaya dieksport ke Singapura dan negeri jiran Sabah.
Bagi nilai eksport sektor perikanan adalah sebanyak 3.4 metric tonnes berjumlah, bernilai sebanyak BND5.68 juta dengan tiga komoditi tertinggi iaitu Tuna, Udang dan ikan selongsong yang masing-masing menyumbang sebanyak 70 peratus, 11 peratus dan 10 peratus. Selain itu juga, produk perikanan yang berjaya menembusi pasaran eksport baharu ialah Tilapia Marine ke Amerika Syarikat. Kejayaan penembusan pasaran antarabangsa ini mencerminkan keberkesanan inisiatif strategik kementerian dalam memperkasa pengusaha untuk meningkatkan pengeluaran makanan di negara ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Seterusnya bagi menjamin pertumbuhan dan pembangunan industri pelancongan, kementerian sedang mengoptimakan hala tuju dan inisiatif strategik dalam Pelan Hala Tuju Industri Pelancongan, Tourism Industry Roadmap bagi memastikan setiap pelaksanaan adalah relevan, mampan dan menepati sasaran industri. Kementerian akan terus memacu pembangunan sektor pelancongan menerusi pengurusan peruntukan yang berhemah namun berimpak tinggi. Kementerian kekal fokus dalam mengoptimakan sumber sedia ada untuk pengukuhan daya saing produk pelancongan berasaskan budaya, alam semula jadi dan kembara, culture, nature and adventure. Strategi ini akan disinergikan dengan peningkatan kualiti infrastruktur serta penyampaian perkhidmatan bagi memastikan nilai pulangan maksimum dalam menarik kehadiran pelancong ke negara ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Bagi memperkukuhkan profil destinasi, kementerian akan secara lebih aktif dan agresif melaksanakan agenda promosi dan pemasaran Brunei Darussalam melalui kempen pengiklanan strategik berimpak luas dengan pelbagai kaedah promosi seperti: iklan di akhbar dan news outlets antarabangsa, penyertaan ekspo, penggunaan perkhidmatan marketing consultant, menggunakan pelbagai platform sosial media dan bekerjasama dengan pempengaruh social media dan serta pemasaran digital dalam mempromosikan Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan yang menarik di rantau ini di peringkat global, keberadaan Brunei diperluas melalui penyertaan strategik dalam ekspo antarabangsa dan sesi jaringan perniagaan di pasaran utama seperti Dubai, Sydney, Jepun, Korea Selatan, Shanghai dan Taiwan bagi menerokai peluang kerjasama yang lebih dinamik.
Seterusnya pada tahun 2026, 6 pasaran sasaran baharu yang telah dikenalpasti untuk mempromosikan dan menarik pelancong ke negara ini termasuk Germany, Italy, France, Spain, Canada, USA dan juga Timur Tengah. Jabatan Kemajuan Pelancongan akan melantik wakil pemasaran di luar negeri bagi memperkukuhkan keberkesanan promosi tradisional dan digital, khususnya di pasaran dinamik seperti Korea, Cina dan Jepun. Inisiatif ini bertujuan mengatasi kekangan komunikasi serta akses terhadap platform digital tempatan yang bersifat geo-locked seperti Douyin, Naver and WeChat. Selari dengan usaha tersebut, jabatan juga dalam proses mendapatkan khidmat konsultasi pemasaran.
Langkah ini bertujuan merangka strategi komprehensif yang bukan saja memfokuskan kepada pasaran sedia ada, malah menerokai potensi pasaran jarak jauh (long-haul market) termasuk Timur Tengah, Amerika Utara dan Selatan dan Eropah bagi memastikan daya saing global yang mampan. Selain itu, kementerian bakal melaksanakan inisiatif Tahun Melawat Brunei 2027, Visit Brunei Year 2027 sebagai agenda nasional utama yang akan dilaksanakan mengambil berkat sempena Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki Takhta Ke-60 tahun. Sebagai langkah awal yang proaktif, fasa pelaksanaan Pra-Pelancaran Visit Brunei Year 2027 dijadualkan bermula pada suku kedua tahun ini bagi memastikan kesiapsiagaan infrastructure dan pemasaran dengan memposisikan Brunei sebagai destinasi utama bersempena sambutan gilang-gemilang tersebut.
Dalam hubungan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut menyambut baik inisiatif Tahun Melawat Brunei 2027 yang bertepatan dengan Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta sebagai satu pemangkin strategik bagi merealisasikan hasrat tersebut.
Justeru pelaksanaannya menuntut pendekatan yang tersusun, penyampaian yang berkesan serta komitmen padu daripada semua pihak agar inisiatif ini benar-benar mencerminkan aspirasi negara dan menjunjung titah baginda. Seterusnya bagi memperkukuhkan ekosistem pelancongan digital, sebanyak 700 aktiviti dan produk telah diintegrasikan di dalam direktori produk pelancongan melalui portal www.explorebrunei.gov.bn.
Produk-produk tempatan ini dikategorikan mengikut segmen khusus seperti budaya dan warisan, alam semula jadi dan pengembaraan bagi memenuhi pasaran yang pelbagai. Kementerian juga akan terus komited meningkatkan daya saing industri menerusi program Service Providers Enhancement serta Bengkel Pembangunan Pakej Pelancongan.
Inisiatif ini bertujuan untuk mempelbagaikan variety produk pelancongan sedia ada di samping memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan menepati piawaian antarabangsa. Di samping itu, kementerian akan terus memperkasakan kecemerlangan perkhidmatan dan standard industri menerusi penawaran 7 jenis kursus pembangunan kapasiti yang merangkumi industri pengkhususan seperti bird watching, kursus kemahiran bagi frontliners, story-tellings for tour guides, program keusahawanan dan lain-lain.
Strategi ini diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan dengan 12 siri taklimat di institusi Pendidikan bagi membina rantaian bakat pelancongan dalam kalangan generasi yang akan datang. Selain itu, usaha memperkasa profesionalisme tenaga kerja terus dipergiatkan melalui pewujudan 14 kompetensi dan laluan kerjaya di bawah seliaan Manpower Industry Steering Committee for Hospitality and Tourism.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Menyentuh mengenai perkembangan sektor pelancongan, jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 2025 telah mencatat sekitar 763 ribu pelancong yang menunjukkan peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding tahun 2024. Peningkatan ini disumbangkan oleh pecahan kemasukan pelancong melalui darat, udara dan laut. Masing-masing meningkat sekitar 14 peratus, 7 peratus dan 46 peratus yang mana peningkatan yang ketara adalah kedatangan pelancong melalui cruise ship atau kapal persiaran.
Dalam usaha mempromosikan negara kita sebagai destinasi budaya yang unggul, setiap ketibaan kapal-kapal persiaran diraikan dengan tarian tradisional, guling tangan dan hadrah. Inisiatif ini bukan sekadar satu sambutan, malah merupakan langkah strategik untuk memberikan impak yang mendalam bagi mempamerkan kekayaan warisan budaya negara kepada pelancong antarabangsa.
Dan pada tahun 2025, sejumlah 15 kapal persiaran telah berlabuh dan jumlah ini diunjurkan meningkat sebanyak 32 buah pada tahun 2026. Setakat bulan Mac ini, sebanyak 11 buah kapal persiaran telah berkunjung ke negara ini. Pada masa ini, sebanyak 62 ejen pelancong telah berdaftar dan berlesen secara rasmi di bawah Jabatan Kemajuan Pelancongan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 31 jumlah pelancongan aktif melaksanakan pelancongan inbound iaitu peningkatan sebanyak 210 peratus berbanding dengan hanya 10 ejen pelancongan yang aktif inbound pada tahun 2022.
Selain itu, projek-projek Rancangan Kemajuan Negara dan projek PPP juga telah dilaksanakan bagi menyediakan dan menambahbaik infrastruktur-infrastruktur khusus di destinasi-destinasi pelancongan di negara ini seperti penaiktarafan kemudahan awam dan pembinaan titian jambatan, Projek Pemasangan Papan-Papan Tanda Arah dan Maklumat dan projek PPP bagi tapak gazet di bawah Jabatan Kemajuan Pelancongan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Fokus penekanan utama peruntukan kementerian seterusnya adalah mendukung pembangunan dan pemeliharaan sumber hutan negara bagi menyokong pembangunan lestari selaras dengan dasar perhutanan negara dan Dasar Pembangunan Perubahan Iklim dan juga membantu memperkasakan industri ekopelancongan di negara ini.
Melalui program penghijauan dan pemulihan hutan yang komprehensif, usaha pemeliharaan sumber hutan akan terus dipergiatkan bagi mengoptimumkan kapasiti hutan sebagai penyerap carbon sink yang efektif. Strategi ini bukan sahaja bertujuan untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem, malah merupakan langkah proaktif negara dalam menangani impak perubahan iklim global serta memastikan warisan semula jadi Brunei kekal mampan untuk generasi akan datang dan bagi juga perkembangan industri ekopelancongan di negara ini.
Usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam sebagai sebahagian daripada pelaksanaan strategi keenam iaitu Penetapan Harga Karbon di bawah dasar perubahan iklim Negara Brunei Darussalam. Pada peringkat ini keutamaan diberikan kepada pengukuhan asas teknikal dan penilaian kebolehlaksanaan berkaitan karbon hutan negara. Inisiatif ini juga disokong melalui kerjasama dengan rakan strategik yang mempunyai kepakaran antarabangsa bagi memastikan pembangunan mekanisme karbon hutan negara adalah berasaskan data yang kukuh sejajar dengan piawaian antarabangsa serta berpotensi menyokong pelaksanaan yang mampan dari segi dasar, tadbir urus dan kewangan.
Dalam meningkatkan sumbangan sektor perhutanan kepada KDNK, kementerian komited memacu transformasi industri hiliran menerusi pengukuhan rantaian bekalan supply chain yang berintegrasi. Strategi ini memfokuskan kepada pengoptimuman penggunaan bahan kayu tempatan daripada industry primer untuk diproses menjadi produk akhir yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan pasaran dan pengukuhan pembangunan industri perkayuan tempatan, Ekspo Produk Perkayuan yang dianjurkan secara tahunan sejak 2021 telah menjadi platform strategik dalam mengetengahkan inovasi serta meningkatkan nilai komersil produk kraf kayu-kayu tempatan.
Usaha penjenamaan juga diperkukuhkan melalui pelaksanaan logo Brunei Wood Product semasa ekspo produk perkayuan 2024 yang berfungsi sebagai perakuan kualiti premium bagi menjamin kepercayaan pasaran domestik dan antarabangsa.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kementerian ini akan terus mengukuhkan kerjasama pelbagai hala melalui penglibatan dengan organisasi-organisasi antarabangsa antaranya seperti ASEAN Forest Cooperation Organization, dan Food and Agriculture Organization of the United Nations. Penglibatan ini tidak hanya memperkasakan pemindahan pengetahuan teknikal, tetapi juga memposisikan negara sebagai pemain utama dalam agenda kelestarian global.
Sebagai bukti komitmen negara terhadap penglibatan antarabangsa, negara akan menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah persidangan FAO Asia Pacific Regional Conference pada bulan April yang akan datang, yang dijangka akan dihadiri oleh lebih 40 negara anggota FAO. Persidangan ini akan membuka peluang kolaborasi, terutama dalam sektor pertanian dan perikanan dan secara tidak langsung memberi impak positif kepada sektor pelancongan di negara ini.
Seterusnya, memperkasakan penglibatan belia dalam sektor pertanian dan perikanan juga merupakan agenda strategik kementerian, memandangkan golongan ini adalah peneraju inovasi yang bakal menjamin kelestarian serta keterjaminan sekuriti makanan negara pada masa depan. Sehubungan dengan ini, kementerian melalui program-program di bawahnya giat aktif dalam melaksanakan ekosistem sokongan melalui program dan inisiatif seperti Program Pendedahan Belia, Program Rintis, Pembesaran Pengusahaan, Khidmat Nasihat dan program-program lain yang direka khas untuk menarik serta membina kompetensi para pengusaha, khususnya di kalangan belia.
Secara keseluruhannya, jumlah pengusaha belia yang terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti pertanian, perikanan, perhutanan dan pelancongan adalah seramai 118 orang pada tahun 2025 yang mana 86 orang mereka bergiat aktif dalam bidang pertanian, 7 dalam perikanan, 3 dalam bidang perhutanan dan 22 dalam industri pelancongan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kementerian juga melaksanakan inisiatif untuk mengukuhkan ekosistem industri sumber-sumber utama dan pelancongan sebagai usaha untuk mendiversifikasikan ekonomi negara, diversification. Usaha ini dizahirkan melalui penganjuran julung kali Ekspo Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan 2025 bertemakan ‘Innovative and Sustainable Primary Resources and Tourism’ yang berfungsi sebagai platform strategik untuk mengetengahkan pencapaian cemerlang pengusaha tempatan dalam sektor pertanian, perikanan, perhutanan dan pelancongan. Khususnya bagi yang telah berjaya menembusi pasaran export global. Kemuncak aspirasi ini telah diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Majlis Pelancaran yang melambangkan sokongan tertinggi negara terhadap pembangunan sektor ini.
Melalui gabungan bersama Ekspo Produk Tempatan Kali Ke-4, inisiatif ini telah membuktikan keberkesanan impak ekonominya dengan mencapai penjualan sebanyak BND200,000 dalam masa tiga hari penganjuran. Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan daya saing industri pengeluaran tempatan malah juga menunjukkan kebolehan pengusaha tempatan termasuk belia-belia yang semakin menggalakkan dan memberangsangkan. Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan bersama jabatan-jabatan di bawahnya melaksanakan komitmen ini yang tidak berbelah bagi untuk memperkasakan program yang sedia ada di samping merancang strategi baru untuk meningkatkan produktiviti serta pertanian, perikanan dan perhutanan serta pelancongan. Segala pencapaian dan perkembangan terkini yang telah kaola sampaikan ini merupakan mencerminkan iltizam kementerian dalam mendukung kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.
Kaola ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua di atas peluang yang diberikan untuk membentangkan amanah ini. Semoga usaha kita diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’ala demi masa depan tanah air yang gemilang. Sekian, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya kira cukup dulu kita bersidang pada hari ini. Saya cadangkan supaya mesyuarat kita tangguhkan sekarang. Insya Allah, kita akan bersidang semula pada esok hari iaitu hari Selasa, 17 Mac 2026 mulai sebagaimana lazim jam 9.30 pagi.
Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.