Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/03/2.-Edited-Penyata-Rasmi-hari-Kedua-Jumaat-13-Mac-2026-F-2.pdf

HARI KE-2 PAGI

Rumusan Bacaan

📖 Masa membaca: 41 minit
📊 Bilangan kata: 8,436 kata

13HB MAC 2026 PAGI

(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)

Yang Mulia Jurutulis

Bismillahir Rahmanir Rahim. Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari kedua pada hari ini, Jumaat, 23 Ramadan 1447 bersamaan 13 Mac 2026 dan didahului dengan Doa Selamat.

DOA SELAMAT

(Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustafa bin Haji Murat, Imam Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah).

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warrahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, kita dapat bersama-sama hadir pada pagi ini bagi hari kedua dalam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara.

Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Sayyidina Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam, kaum kerabat para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, dengan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala jua, pada sebelah pagi semalam, Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara telah selamat sempurna dilaksanakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Majlis ini sepenuhnya menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas keberangkatan baginda bercemar duli dan mengurniakan titah dalam Majlis tersebut.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam itu, sesungguhnya mengandungi panduan dan pedoman yang amat bermakna bagi Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara khususnya dalam memastikan dasar dan strategi pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.

Alhamdulillah, kita menjunjung setinggi-tingginya kepimpinan berwibawa dan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sentiasa mengikuti dengan penuh perhatian akan perkembangan Majlis Mesyuarat Negara. Sesungguhnya Baginda menaruh harapan agar Majlis Mesyuarat Negara ini terus berperanan sebagai wadah penting dalam membahaskan isu-isu strategik yang dihadapi oleh negara dan juga rakyat.

Sesungguhnya jelas nampak keprihatinan Baginda terhadap pelbagai sudut dan aspek kehidupan rakyat termasuk kesejahteraan sosial, pertumbuhan ekonomi negara, infrastruktur dan kemudahan awam, keselamatan negara dan tadbir urus pentadbiran awam yang mana kesemuanya mencerminkan kepimpinan Baginda yang sentiasa meletakkan kesejahteraan dan kemajuan rakyat sebagai keutamaan di samping memastikan kemakmuran dan kestabilan negara terus terpelihara.

Dalam hal ini, saya menyeru semua pihak yang berkenaan untuk sama-sama menghayati dan menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu dengan penuh gigih, komitmen, bertanggungjawab dan bersama-sama berganding bahu melalui pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh negara dalam tindakan pelaksanaan yang lebih agresif serta berketahanan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya kira Ahli-Ahli Yang Berhormat semua akan dapat meneliti sepenuhnya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah dikurniakan semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Majlis Mesyuarat Pertama Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara terutamanya harapan Baginda kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara akan sama-sama berganding bahu dengan kerajaan Baginda untuk mencari penyelesaian cabaran-cabaran dan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan negara kita.

Sesungguhnya Majlis ini merasa amat terhormat dan menjunjung kasih setinggi-tingginya di atas keberangkatan baginda ke Istiadat semalam, Majlis Mesyuarat Negara, dalam keadaan baginda yang mana jelas memperlihatkan semangat dan iltizam baginda yang tinggi dalam memelihara serta mengambil berat akan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Di kesempatan ini, kita semua terus berdoa semoga baginda akan dikurniakan kesihatan yang berterusan dan berpanjangan serta sentiasa berada dalam perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan pada tahun ini adalah agak istimewa sedikit, yang mana ianya berlangsung dalam bulan yang penuh mubarak ini. Ini juga bermakna kita mengadakan mesyuarat dalam keadaan yang sedikit berbeza dan memerlukan kita untuk menyesuaikan diri dengan cabaran-cabaran yang kita hadapi.

Ke arah ini, saya berharap agar Ahli-Ahli Yang Berhormat akan dapat memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya agar kita dapat memastikan urusan mesyuarat kita mendapati keperluan semasa. Saya percaya dengan semangat muafakat dan profesionalisme yang tinggi, kita mampu melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan bagi mencapai keputusan yang terbaik demi kepentingan rakyat dan negara.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, di hadapan kita ada beberapa perkara yang perlu kita selesaikan dan saya bercadang agar kita berpindah pada perkara yang seterusnya.

Yang Mulia Jurutulis

Usul menjunjung kasih yang akan dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama

Kaula sukacita mengusulkan bahawa Majlis ini bersetuju meluluskan satu usul menyembahkan sepenuhnya menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda ke Majlis ini dan atas titah perutusan baginda yang mana Majlis menjunjung kasih dengan sepenuh-penuhnya.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, sesungguhnya keberangkatan baginda semalam iaitu pada hari Khamis, 22 haribulan Ramadhan 1447 Hijrah bersamaan 12 haribulan Mac 2026 sangatlah disyukuri dan Yang Berhormat Pehin sendiri telah pun menyatakan dengan sejelas-jelasnya maksud sedemikian itu. Ianya berupa keberangkatan pertama baginda ke Majlis Kenegaraan dalam tempoh pemulihan rawatan baginda setelah menjalani pembedahan yang lebih awal dirancang.

Kaula dapat mengatakan Yang Berhormat Pehin betapa kita di Dewan ini dan hadirin di dalam Dewan dan lain‑nya di luar Dewan di seluruh negara, mengikuti siaran langsung Istiadat Pembukaan Rasmi semalam itu adalah turut sama bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan menjunjung tinggi keberangkatan baginda yang tampil dalam keadaan sihat dan ceria dan sangat mengembirakan sekalian rakyat yang mengasihi dan menyanjung tinggi kepimpinan berwibawa lagi berwawasan baginda.

Maka sesungguhnya keberangkatan sedemikian adalah menandakan bahawa baginda sangat mementingkan Majlis Mesyuarat Negara ini sebagai institusi kenegaraan dan mahu memastikannya berfungsi sewajarnya. Kerana itu baginda bertitah Persidangan Majlis Mesyuarat Negara bukan setakat pertemuan tahunan tetapi ia juga adalah wadah strategik untuk membahaskan isu-isu sebenar yang dihadapi oleh negara dan rakyat berdasarkan penelitian mendalam dan fakta yang kukuh.

Lalu dalam konteks ini baginda memuji serta menghargai pendekatan sesi dialog dan permuzakarahan Ahli-Ahli Yang Berhormat Yang Dilantik dari ketiga-tiga kategori lantikan, iaitu dialog. Sesi dialog pendekatan bersama Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan perlu dimanfaatkan sebaiknya yang mana pendekatan sedemikian pada pendapat baginda telah pun terbukti berkesan dalam merapatkan lagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan masyarakat dalam memeduli keperluan serta untuk mendengar keluhan rakyat.

Sedemikian itulah perhatian dan harapan baginda kepada Majlis Mesyuarat Negara selaras dengan tujuan mewujudkannya sebagai instrumen permesyuaratan sejak ia ditubuhkan semula di bawah Perlembagaan Negara Pindaan 2004. Sesungguhnya, kaula percaya bahawa Majlis Mesyuarat Negara merupakan instrumen permesyuaratan negara di zaman modennya yang kekal dengan sifat kebruneiannya yang Islami, kekal antik bijaksana dan telah terbukti berjasa menyelamatkan Brunei walaupun sejarah wujud wilayahnya sekarang ibarat tinggal seampap jari namun ia telah selamat dengan survivalnya dan rakyat telah tetap terpeduli serta merasakan selamat bernaung di bawah payung negara berpemerintahan beraja yang pemedulian akan susah senang rakyatnya.

Sesungguhnya corak kepimpinan yang pemedulian sedemikian adalah menepati kriteria kepimpinan yang diredhai oleh Allah Subhanahu Wata'ala sesuai dengan firmanNya yang memaparkan contoh kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagaimana yang difirmankan dalam Ayat 128 Surah At-Taubah (Ayat Al-Quran dibaca). Ayat ini terjemahannya “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri iaitu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu yang sangat tamak, inginkan kebaikan bagi kamu dan ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayang kepada orang-orang yang beriman.

Walaupun ayat ini, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, masyhur di kalangan orang Brunei sebagai ayat penimbul ni. Lurus mangkali ah, au kalau dibacakan dalam laginya orang, orang yang terkena ketumbukan atu beangkat berpapan tu, beangkat berpapan atu angkat stretcher lah pada masa ani.

Tetapi dalam konteks sebenar-benarnya ayat itu ialah ayat mengenai corak kepimpinan. Maka Yang Berhormat Yang Di-Pertua, dengan kepimpinan yang berkepedulian rakyat sedemikian itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan bertitah negara perlu sentiasa peka dengan pergolakan geopolitik antarabangsa dan kesannya terhadap cabaran ekonomi global.

Menurut baginda, negara kita juga tidak terlepas dari menerima kesan cabaran ini, lebih-lebih lagi jika kesan itu menjejaskan harga komoditi tenaga yang menjadi sumber pendapatan negara. Lalu baginda seterusnya menitahkan “Di sinilah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk menangani sebarang ketidakpastian yang timbul”.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola dengan sedar insaf bahawa sesungguhnya adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk tidak setakat berwaspada bahkan seperti yang dititahkan baginda bahawa baginda mahu melihat tindakan pelaksanaan yang agresif serta ketahanan dalam merangka dasar yang strategi pembangunan negara khasnya ke arah matlamat Wawasan Brunei 2035 termasuk usaha berterusan dalam menerokai pelaburan strategik dalam sektor-sektor baharu yang boleh merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan usaha mengukuhkan fiskal kerajaan.

Bagi sikap dan pendekatan yang sedemikian itu Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaula menaruh keyakinan bahawa kita tidak, terutama sekali kerajaan, tidak akan sampai dilihat memilih pendekatan agresif yang semata-mata berharap untuk kejayaan dalam makna sukses yang berisiko jangka panjang kepada negara.

Kaula yakin, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, bahawa kerajaan kita yang berpemerintahan beraja seperti yang terbukti dan diyakini sentiasa pemedulian terhadap rakyatnya dan untung nasib negara dalam jangka panjang tidak mudah goyang, goncang dengan projeksi gelap mendung ekonomi dan kewangan negara, lalu kita diajak di sini, yang masing-masing, rakyat sekaliannya diajak yang masing-masing dengan tanggungjawab mengekalkan, mengukuhkan dasar falsafah pemedulian itu akan terdorong memilih usaha dan ikhtiar yang menjejaskan kepentingan jangka panjang yang sekarang tidak jelas kelihatan risikonya namun kemudian-kemudian hari ternyata berisiko buruk terhadap keutuhan negara. Kaula percaya bukan sedemikian itulah yang dihasratkan oleh baginda dalam titah tersebut.

Namun demikian Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaula menaruh kepercayaan kepada kita semua di sini, generasi pemangkin dan generasi muda sekarang yang ditakdirkan berperanan masing-masing untuk menjayakan negara, memaju dan mengembangkannya, semua sektornya, yang berat dan yang yang ringan, menurut bersaiz kapasitas dan kapasiti masing-masing akan sentiasa berusaha dalam bentuk penuh bersemangat meneruskan usaha ikhtiar menjayakan taklif atau tasking yang memajukan negara terutama ke arah Wawasan Brunei 2035 selepasnya itu.

Bagi kaola, Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kita sekarang ini sudah mempunyai tenaga-tenaga profesional yang pada masa zaman, yang sempat kaola hidup iaitu selepas tahun 59 umpamanya. Inda kitani terdapat orang-orang sedemikian itu kan mendangani Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum pada masa itu.

Jadi inilah yang mengenangkan kaola bila munculnya generasi muda sekarang ini dalam pelbagai-bagai bidang profesional Yang Berhormat Yang Di-Pertua, sangat mengharukan kaola dan sudah masanyalah mereka ini akan tampil untuk memikirkan dan memilih cara-cara yang selamat bukan saja untuk apa yang dikatakan mendapatkan keuntungan ataupun faedah-faedah yang kita rasakan dalam jangka panjangnya yang sedemikian itu menggiurkan tapi namun kita tidak tau risiko-risikonya.

Pernah ada sejarah Brunei ini Yang Berhormat Yang Di-Pertua, dalam survivabilitynya adalah antaranya menyebutkan rentetan-rentetan bahawa untuk membangun Brunei ini diperlukan orang-orang luar. Estet yang besar memerlukan orang-orang luar kerana tidak ada orang Brunei yang sanggup untuk jadi penoreh getah.

Untuk membuat jalan raya memerlukan orang-orang luar, buruh-buruh, jurutera-jurutera untuk mengembangkan lagi ekonomi dalam sektor-sektor sesuatu perniagaan dan sebagainya memerlukan orang luar tetapi pada masa itu, Alhamdulillah, kepimpinan pada masa itu memilih bukan sedemikian itu untuk membukanya tetapi apa yang diperlukan setakat expatriate dan atulah seterusnya kerjasama dengan kerajaan British pada masa itu. Dan kita dapat membendung influx orang luar yang memang berdasarkan pengalaman negara-negara yang terlebih dahulu daripada kita akan mengakibatkan sesuatu yang tidak kita jangkakan.

Jadi dengan adanya sedemikian itu, insya Allah, kita ini akan mempunyai pemilihan-pemilihan jalan yang tentu bagi pemerintahan kepimpinan Beraja akan tentu tidak dapatnya orang melepaskan tanggungjawab legasi sebagai sebuah pemerintahan di mana rakyat bernaung di bawahnya dan menjamin masa depan negara keutuhannya.

Demikian Yang Berhormat Yang Di-Pertua, ucapan sembah menjunjung kasih dalam persidangan Majlis Mesyuarat yang kaola ditakdirkan berada di dalamnya setakat ini, dengan izin Allah jua. Kaola mengucapkan terima kasih atas kebenaran serta kesabaran Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Yang Berhormat rakan-rakan serta Yang Berhormat sahabat-sahabat kaola dalam Dewan Majlis yang berkehormatan ini mengikuti celoteh kaola, seorang lansia.

Hajat kaola semata-mata dengan dorongan hasrat inginkan negara kita ini kekal dalam keberkatan sebagaimana menepati sifatnya negara yang terjumlah dalam firma Allah Subhanahu Wata’ala, Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur.

Akhirnya kaola memohon ampun dan maaf. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita telah mendengar satu Usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan sekarang saya mempersilakan seorang Ahli untuk menyokong Usul ini.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola menyokong sepenuhnya Usul yang telah dicadangkan.

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Usul yang dibawakan telah pun disokong sepenuhnya oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II. Sebelum membuka Usul ini untuk dibahas, saya ingin mengingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat bahawa perbahasan Usul adalah dihadkan kepada 15 minit bagi setiap Ahli Yang Berhormat.

Sekarang bagi memulakan Perbahasan Usul ini, saya persilakan Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II. Silakan Pehin.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi dan salam sejahtera. (Doa dibaca).

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Peramba, kaola, saya terlebih dahulu sukacita merakamkan ucapan terima kasih di atas peluang yang diberikan untuk berucap ringkas pada menyokong Usul Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama iaitu Usul menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas limpah kurnia titah baginda bersempena keberangkatan ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara pada hari Khamis, 22 Ramadan 1447 Hijrah bersamaan 12 Mac 2026 Masihi semalam.

Sesungguhnya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memberikan panduan yang jelas, menyeluruh dan berpandangan jauh kepada Majlis yang mulia ini mengenai cabaran semasa serta keutamaan negara dalam memastikan pembangunan Negara Brunei Darussalam terus dilaksanakan secara inklusif, mampan dan berdaya tahan.

Titah baginda bukan sahaja mencerminkan wawasan yang jauh ke hadapan dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini malah turut menggambarkan keprihatinan mendalam dan komitmen berterusan baginda dan kerajaan baginda dalam memelihara kemakmuran negara serta memperkukuh hala tuju pembangunan selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.

Dari pengamatan peramba, kaula, saya terhadap kandungan titah baginda itu, terdapat tiga perkara utama yang sukacita peramba, kaula, saya ketengahkan dalam Majlis yang mulia ini.

Pertama, titah baginda menekankan dan menegaskan bahawa Majlis Mesyuarat Negara bukan sekadar satu perjumpaan tahunan tetapi merupakan wadah strategik untuk membincangkan isu sebenar negara dan rakyat. Titah baginda menekankan pendekatan dialog dan permuzakarahan yang berkesan antara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.

Majlis ini hendaklah dimanfaatkan sebagai forum tertinggi negara untuk bertukar pandangan secara terbuka, membincangkan cabaran semasa secara objektif dan merumuskan pendekatan yang lebih berkesan berasaskan fakta serta penelitian yang mendalam.

Pendekatan ini termasuk juga penglibatan masyarakat, para peniaga, pertubuhan bukan kerajaan dan golongan belia yang mana pendekatan yang sudah kita amalkan bagi memperkasa perbincangan serta memastikan setiap dasar dan inisiatif mencerminkan realiti sebenar negara.

Pendekatan sedemikian bukan sahaja sejajar dengan semangat syura dalam Islam malah berlandaskan lunas-lunas Perlembagaan Negara. Mencerminkan tadbir urus yang inklusif, berpandangan jauh dengan mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan, perbincangan dasar dapat diperkayakan dan penyelesaian yang dirumuskan menjadi lebih pragmatic, berkesan serta berpaksikan kepentingan negara.

Perkara kedua yang disentuh dalam titah baginda ialah hakikat bahawa Negara Brunei Darussalam, negara berdaulat mencipta kedamaian ini tidak terlepas daripada tempias cabaran global. Turun naik harga komoditi tenaga, perubahan iklim, krisis kesihatan global yang tidak disangka dan perkembangan geopolitik antarabangsa merupakan antara cabaran yang memerlukan perhatian serious dan pendekatan yang lebih strategik.

Titah baginda menekankan, tindakan pelaksanaan yang agresif dan berstrategi untuk mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 termasuk meneroka pelaburan strategik dalam sektor baharu.

Selain itu titah baginda juga menekankan kepentingan mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh peranan sektor swasta dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, PMKS sebagai pemacu utama daya tahan ekonomi negara.

Baginda turut mengingatkan bahawa pembangunan negara hendaklah disertai dengan perbelanjaan yang berhemah dan pengurusan sumber secara optimum. Setiap peruntukan kerajaan perlu menumpukan kepada inisiatif yang berimpak tinggi dan mampu memberikan pulangan bernilai dan bermakna yang berpanjangan kepada negara.

Pendekatan ini amat penting bagi memastikan kemampanan fiskal kerajaan serta memanfaatkan sumber negara secara strategik demi kepentingan rakyat dan generasi akan datang.

Perkara ketiga, peramba, kaula, saya sukacita ketengahkan daripada kurnia titah baginda ialah penekanan bahawa pembangunan negara hendaklah sentiasa berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat. Titah baginda menekankan kepentingan penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam yang berkualiti dan selamat. Baginda turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap insiden kemalangan jalan raya yang mengorbankan nyawa yang mengingatkan kita semua mengenai kepentingan memperkukuh kepentingan keselamatan jalan raya dan meningkatkan kesedaran bersama pengguna-pengguna jalan raya.

Selain itu titah baginda menekankan tadbir urus yang cemerlang, integriti dan usaha membenteras rasuah serta salah guna kuasa tanpa kompromi. Ini selaras dengan aspirasi membina negara yang progresif, inovatif dan berpandangan jauh sambil memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Pendekatan ini penting bagi memastikan tadbir urus negara berlandaskan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Peramba, kaula, saya sangat menyanjung tinggi kurnia titah baginda yang sarat dan padat dengan wawasan dan pandangan jauh mengenai masa depan negara ini, di samping sensitif dengan keadaan ataupun environment pada masa kini dalam usaha terus membina Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang progresif dan berdaya tahan.

Kurnia titah baginda merupakan peringatan bermakna dan tepat pada masanya bahawa dalam menghadapi cabaran masa hadapan kita perlu memperkukuh kecekapan, membudayakan kreativiti serta mempertingkatkan kerjasama antara semua sektor dalam melaksanakan dasar serta inisiatif pembangunan negara. Wawasan dan titah nasihat baginda sewajarnya diberikan sebagai pandangan bersama agar kita dapat melangkah dengan lebih yakin, merancang tindakan yang lebih strategik serta mencapai kemajuan yang lebih cemerlang bagi negara kita tercinta, Negara Brunei Darussalam yang berpaksikan falsafah Melayu Islam Beraja.

Sehubungan itu, peramba, kaola, saya yakin semua Ahli-Ahli Berhormat Yang Dilantik juga menyedari kepentingan untuk bersama-sama memanfaatkan Majlis ini sebagai medan perbincangan yang terbuka, matang dan berlandaskan semangat syura, mengemukakan pandangan serta cadangan yang bernas mengenai isu-isu kepentingan negara termasuk cabaran global baharu.

Semoga persidangan Majlis ini akan terus menjadi medan untuk berunding dengan penuh integriti, berfikiran kreatif serta bertindak secara strategik. Insya Allah, segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan berasaskan fakta, data yang relevan dan amalan terbaik akan dapat menyumbang kepada kemajuan, kesejahteraan dan kemakmuran negara bumi bertuah ini yang sama-sama kita cintai.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Sebelum peramba, kaola, saya mengakhiri Usul Menjunjung Kasih, peramba, kaola, saya sukacita mengambil kesempatan istimewa ini untuk mengucapkan selamat meneruskan ibadat puasa fardu Ramadan dan amalan-amalan lain dalamnya terutama kita sudah sekarang berada dalam 10 hari terakhir bulan Ramadan. Kepada seluruh umat Islam, semoga dikurniakan kesejahteraan, kesihatan dan kekuatan dalam beribadah puasa serta mendapat kerahmatan, keredaan dan keampunan dari Allah Subhanahu Wata’ala.

(Doa dibaca). Ya Allah, berilah keselamatan pada kami untuk menghadapi Ramadan, berikanlah kesejahteraan Ramadan untuk kami dan terimalah Ramadan, ibadah dari kami.

Insya Allah, kita akan meraikan hari kemenangan Aidilfitri di penghujungnya nanti. Akhirnya, peramba, kaola, saya sukacita menyembahkan sekali lagi peramba ucapkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Raja yang kita kasihi atas limpah kurnia titah baginda dengan iringan doa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia sentiasa mendapat taufik dan hidayah dari Allah Subhanahu Wata’ala dan dikurniakan-Nya keafiatan yang berpanjangan serta dalam kebahagiaan, kekal karar memerintah di atas singgahsana, Amin Allahuma Amin.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof

Bismillahir Rahmanir Rahim (Doa dibaca). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Alhamdulillah, kerana dengan limpah rahmat, taufik serta hidayah Allah Subhanahu Wata'ala jua mengizinkan kita semua menghadiri Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara bagi tahun 2026.

Kaola bagi mewakili Ahli-Ahli Yang Dilantik di kalangan Orang-Orang Bergelar, dengan segala hormatnya sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberikan peluang untuk menyertai perbahasan dalam menyokong sepenuhnya Usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama bagi menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke atas keberangkatan baginda dan seterusnya mengurniakan titah bersempena Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara pada 22 Ramadan 1447 bersamaan 12 Mac 2026, apatah lagi bersukut baik pada bulan Ramadan yang penuh mubarak dan maghfirah.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kita perlu sentiasa peka mengenai pergolakan geopolitik antarabangsa dan kesannya terhadap cabaran ekonomi global seperti terputusnya rantaian perbekalan, perhubungan, kenaikan harga komoditi, keselamatan, makanan dan perdagangan. Kesemua ini memerlukan pelan tindakan berstrategik dan pendekatan senegara bagi mengurangkan apa jua impak dari sebarang ketidakpastian serta domino effect.

Alhamdulillah, apabila kita bersama-sama mengamati serta menghayati akan kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah sangat berpandangan jauh, merangkumi pelbagai hikmah nasihat yang amat tinggi nilainya di mana mencerminkan kebijaksanaan, kewibawaan, keprihatinan dan wawasan baginda dalam memimpin serta menerajui pemerintahan Negara Brunei Darussalam, yang sangat penting untuk digalas, diambil perhatian yang serius seterusnya diikuti dengan tindakan yang sewajarnya demi menjamin kemaslahatan serta kesejahteraan rakyat dan negara. Alhamdulillah, abiskaola dan juga Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Dilantik, insya Allah akan meneruskan dalam menanai kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Apa yang abiskaola amalkan dengan mengadakan sesi muzakarah dan juga perjumpaan dan bahkan bukan saja dengan Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan akan tetapi sesi dialog dan perjumpaan juga melibatkan masyarakat, ahli-ahli profesional, NGO dan juga dewan-dewan perniagaan.

Dapatan-dapatan serta feedback daripada orang ramai telah pun abiskaola kongsikan kepada pihak kerajaan. Ini selaras dengan kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di mana baginda ingin Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara berganding bahu dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian terhadap cabaran-cabaran dan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan negara. Ke arah ini, ada baiknya penglibatan bersama-sama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara perlu dipertimbangkan dalam apa jua perancangan dan merangka dasar dan strategi pembangunan negara khasnya ke arah matlamat Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Hasrat murni baginda juga adalah untuk melihat negara ini bergerak maju, berinovasi, lebih agresif serta ketahanan dalam merangka dasar dan strategi pembangunan negara ke arah khasnya matlamat Wawasan Brunei 2035. Ini termasuk juga terus menerokai pelaburan baharu yang lebih strategik dan berimpak tinggi yang boleh merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan usaha mengukuhkan fiskal kerajaan.

Dalam mendokong dan menanai kurnia titah baginda tersebut, abiskaola berpandangan dan terus-menerus menyarankan pihak-pihak yang berkepentingan khususnya dalam kerajaan supaya melaksanakan transformasi yang terkandung dalam ketiga-tiga blueprint iaitu Manpower Blueprint, Economic Blueprint dan Social Blueprint secara lebih efektif, berkesan, progresif dan dinamik. Terutamanya yang berkaitan dengan dasar berhubung kait dengan daya tarikan pelabur asing yang lebih strategik, memperkasakan ease of doing business dan menjadikan persekitaran ekosistem bisnes yang lebih kondusif di negara ini. Ini termasuklah juga mensejajarkan dasar kerajaan yang sehaluan untuk dipraktikkan oleh agensi-agensi kerajaan.

Pada masa yang sama, usaha mengukuhkan dan meyakinkan persekitaran perusahaan industry-ready, juga perlu disokong dan diselaraskan dengan memperluaskan penyediaan infrastruktur dan utiliti yang reliable dan infrastruktur digital, connectivity dan accessibility yang lebih kondusif.

Apa yang mustahak yang perlu juga diambil perhatian dari aspek memperluaskan dan memperkukuhkan lagi persediaan sumber tenaga manusia dalam pelbagai kemahiran profesional dan berteknologi tinggi diselaraskan dengan sistem pendidikan negara dengan berorientasikan TVET, mengikut piawaian antarabangsa dan memenuhi keperluan industri.

Insya Allah, dengan mewujudkan dasar transformasi yang lebih berdaya tahan dan progresif sudah setentunya mampu menjana spin-off effect dan multiplier effect dan seterusnya impak signifikan kepada mengembangluaskan dan menggerak-rancakkan lagi kepelbagaian aktiviti perniagaan dan perindustrian termasuk industri hiliran di Negara ini. Limpahan daripada rantaian pelbagai aktiviti perekonomian ini juga akan dinikmati dalam usaha menggerak aktifkan lagi pihak swasta, apatah lagi di kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat.

Abdi kaola menjunjung tinggi dan mendokong sepenuhnya berhubung dengan titah Baginda yang membuktikan keprihatinan serta perhatian tinggi yang bersungguh-sungguh dalam memperkukuhkan budaya kerja yang bersih, beretika, berintegriti dan tadbir urus yang cemerlang merentasi semua sektor.

Malahan baginda bertitah, Kerajaan baginda tidak akan bertolak ansur dalam membanteras gejala rasuah kerana jika tidak dibendung ia akan mengancam keselamatan negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita sebagai rakyat dan penduduk negara ini, apatah lagi yang bermastautin di negara ini, seharusnyalah bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa’taala kerana dengan kewibawaan dan berkat kepimpinan serta pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerajaan baginda, di mana Negara Brunei Darussalam, Alhamdulillah, sentiasa berada dalam keadaan stabil, aman, damai, makmur serta kehidupan yang sejahtera dalam perlindungan Allah Subhanahu Wa’taala.

Apatah lagi menikmati dan memanfaatkan pelbagai bentuk kemudahan yang disediakan serta InsyaAllah, pihak Kerajaan akan terus menerus merancangkan apa jua projek-projek bagi kemanfaatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Dengan kita semua bersyukur ke Allah Subhanahu Wa’taala, Insya Allah, kenikmatan dan kerahmatan ini akan bertambah. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa’taala yang boleh dijadikan tatapan bersama dan diiktibar seperti dalam Surah Ibrahim, Ayat 7. (Ayat Al-Quran dibaca).

Antara lain bermaksud, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari nikmatKu, sesungguhnya azabKu benar-benar sangat keras.”

Semogalah kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba yang bersyukur dan memelihara amanah dipertanggungjawabkan, di samping itu terus-menerus berusaha dengan lebih dedikasi serta berkarih lebih hebat lagi dengan bersama-sama berperanan dalam kita mengembang luaskan lagi perkembangan sosioekonomi negara yang kita cintai ini.

Marilah kita bersama-sama berdoa kehadarat Allah Subhanahu Wa’taala serta mohon syafaat junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat Diraja sekalian sentiasa dikurniakan taufik, hidayah, rahmat dan inayah Allah Subhanahu Wa’taala, dilanjutkan usia serta dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan dalam keadaan penuh keafiatan di bawah perlindungan dan diredhai oleh Allah Subhanahu Wa’taala. Amin, Amin Ya Rabbal Alamin.

Akhir kalam, dalam kesempatan ini abis kaola dengan bagi mewakili Ahli-ahli Yang Berhormat yang Bergelar, sukacita mengucapkan selamat mengerjakan ibadah puasa yang mubarak dan semoga setiap amal ibadah, kita semua akan diterima dengan penuh kerahmatan lagi diredhai oleh Allah Subhanahu Wa’taala. Amin, Amin Ya Rabbal Alamin.

Sekian wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam.

Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. (Doa dibaca). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Awal kalam kaola memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wa’taala kerana dengan limpah rahmat dan redhaNya jua kita serta seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang dicintai ini, terus dikurniakan nikmat keamanan dan kesejahteraan yang berpanjangan.

Alhamdulillah, terlebih dahulu kaola merakamkan penghargaan dan terima kasih yang setulus-tulusnya kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberikan peluang kepada kaola selaku salah seorang wakil rakan-rakan Ahli Yang Berhormat daripada Kumpulan Orang-orang yang Mendapat Kecemerlangan untuk turut serta menyokong usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama bagi menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan Baginda serta berkenan mengurniakan titah di Istiadat Pembukaan Rasmi, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara pada hari Khamis yang lalu, 22 Ramadan 1447 bersamaan dengan 12 Mac 2026.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam itu yang amat padat dan jelas mencerminkan keprihatinan dan kebijaksanaan kepimpinan Baginda dalam memastikan ekonomi negara terus berkembang dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Abis kaola amat menjunjung kasih dan berbesar hati atas pengiktirafan Baginda terhadap peranan Majlis Mesyuarat Negara ini serta terhadap pendekatan sesi dialog dan permuzakarahan yang diusahakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang dilantik bersama pihak-pihak berkepentingan dari sektor kerajaan dan juga swasta.

Pengiktirafan ini menjadi pendorong kepada abis kaola untuk meneruskan usaha ini sebagai salah satu saluran alternatif bagi memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran negara, membincangkan isu-isu berkeutamaan yang memberikan implikasi langsung kepada pembangunan negara serta menyampaikan suara rakyat melalui perbincangan dua hala yang lebih telus, terbuka dan konstruktif demi rakyat dan negara yang berdaulat ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat. Baginda juga telah menitahkan mengenai pentingnya meningkatkan usaha bagi memperkasakan ekonomi negara yang turut terkesan oleh perkembangan geopolitik di peringkat antarabangsa.

Dalam hal ini kita juga, harus berwaspada akan kesan pergolakan geopolitik ini terhadap national food security kita memandangkan sebahagian besar bekalan makanan negara diperolehi melalui import. Kepentingan sektor swasta dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dalam mempelbagaikan ekonomi negara juga menjadi perhatian baginda. Usaha ini memerlukan sokongan padu dari semua agensi kerajaan yang berkepentingan termasuk dengan cara mempermudah dasar-dasar yang sedia ada dan mempercepatkan proses-proses yang berkaitan.

Dalam hal ini juga, abis kaola menyokong usaha berterusan Kerajaan menarik pelabur-pelabur asing untuk melabur di negara ini. Namun dalam masa yang sama, Kerajaan juga wajar menilai semula dasar-dasar pelaburan yang ada bagi memacu penglibatan pelabur-pelabur tempatan. Inisiatif dan strategi yang kurang menunjukkan hasil positif perlu dikaji semula bagi mencari alternatif yang lebih proaktif dan berpaksikan pencapaian hasil.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, dari aspek keselamatan, saya amat terharu dengan keprihatinan Baginda mengenai musibah kemalangan yang mengorbankan dua penunggang basikal baru-baru ini.

Dalam hal ini juga, saya ingin menarik perhatian semua kepada isu gangguan bekalan air yang berlaku sebelum ini akibat insiden tanah runtuh yang berpunca daripada fenomena perubahan iklim. Kejadian-kejadian ini mengingatkan kita tentang keperluan untuk sentiasa siap siaga menghadapi risiko yang tidak dijangka, serta pentingnya melakukan penilaian semula secara kritikal terhadap semua prasarana utama negara.

Sehubungan itu, meningkatkan prasarana dan kemudahan awam termasuk pengangkutan awam adalah satu keperluan yang mendesak bagi menjamin keselamatan, kelangsungan hidup dan kesejahteraan rakyat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, integriti adalah asas kepada urus tadbir yang baik serta menjadi tonggak kestabilan dan kemajuan negara.

Gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan menjejaskan kepercayaan rakyat serta melemahkan sistem pentadbiran negara sekiranya tidak dibenteras dengan tegas.

Oleh itu, proses-proses siasatan terhadap kes-kes berkaitan integriti hendaklah dipercepat dan diperkukuh dengan peruntukan sumber-sumber yang bersesuaian, termasuk bagi kes-kes yang tertangguh untuk sekian lama. Ketegasan kerajaan dalam hal ini mencerminkan komitmen untuk memastikan pentadbiran negara kekal telus, berwibawa dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Akhir kalam, bagi pihak rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, sekali lagi abis kaola menyembahkan ucapan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kepimpinan Baginda yang sentiasa memayungi negara ini dengan kebijaksanaan dan keprihatinan yang tinggi.

Dengan mengambil sukut keberkatan bulan Ramadan al-Mubarak ini, marilah kita bersama-sama memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata`ala agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerabat-kerabat Diraja, serta seluruh rakyat dan penduduk negara ini sentiasa dikurniakan petunjuk, rahmat, kesihatan dan kesejahteraan di bawah perlindungan-Nya jua. Amin Amin Ya Rabbal Alamin.

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.

Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin

Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. (Doa dibaca)

Kaola bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dan dengan keizinan dan rahmat-Nya jua serta menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, atas kurnia perkenan Baginda bercemar Duli ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kedua Puluh Dua Majlis Mesyuarat Negara yang telah berlangsung pada 22 Ramadan 1447 Hijrah bersamaan 12 Mac 2026 Masihi dan seterusnya mengurniakan titah di Dewan yang mulia ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Dewan yang mulia ini adalah kaola dan rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang Cemerlang yang lainnya, menjunjung kasih sepenuh-penuhnya.

Kaola dan rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, menjunjung kasih di atas Titah Baginda bagi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara sebagai wadah strategik untuk membahaskan isu-isu sebenar yang dihadapi oleh negara dan rakyat berdasarkan penelitian mendalam dan fakta yang kukuh termasuk melalui sesi-sesi dialog dan permuzakarahan bersama dalam usaha memeduli keperluan serta untuk mendengar keluhan rakyat yang kaola dan rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang lain percaya telah dan perlu diadakan secara berterusan di antara satu persidangan ke satu persidangan yang seterusnya.

Harapan baginda yang mahu melihat pertumbuhan ekonomi negara yang rancak dan usaha mengukuhkan fiskal kerajaan melalui tindakan pelaksanaan yang lebih agresif serta ketahanan dalam merangka dasar dan strategi pembangunan negara menuju Wawasan Brunei 2035 termasuk penerokaan pelaburan strategik dalam sektor-sektor baharu, akan juga kaola dan rakan-rakan Yang Berhormat yang lain menjunjung setinggi-tingginya.

Insya Allah perkara ini dan juga perkara-perkara yang melibatkan kesejahteraan rakyat akan kaula dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain menitikberatkan sebagai garispandu dalam mengajukan dan meneliti perkara-perkara dan isu-isu strategik dan dasar yang akan kaula dan rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang lain bangkitkan dalam dewan yang mulia ini.

Usulan-usulan atau cadangan-cadangan bagi penambahbaikan kepada sektor-sektor yang sedia ada berpotensi dalam mempelbagaikan lagi pertumbuhan ekonomi negara telah diajukan oleh kaula dan rakan-rakan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain di dalam Dewan yang mulia ini pada sesi-sesi Majlis Mesyuarat Negara sebelumnya. Penekanan baginda bagi keperluan untuk mewujudkan ekosistem kondusif ke arah pemerkasaan peranan sektor swasta serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana iaitu PMKS melalui pendekatan-pendekatan baharu, perlu kita ini ambil perhatian dan tindakan yang serius, tepat dan cepat.

Alhamdulillah, langkah baik agensi kerajaan yang berkenaan pada beberapa bulan yang lepas dengan membawa sebilangan pengusaha PMKS dengan bantuan yang berpatutan dan berhemah, adalah satu langkah yang bijak demi membawa produk-produk mereka keluar negara untuk memperluaskan lagi pasaran mereka bukan sahaja mampu untuk bekalan bagi pasaran dalam negara yang kita ini fahami terhad malah keluar negara untuk memastikan pasaran yang meluas dan urusniaga yang mampan serta bertaraf antarabangsa.

Langkah ini perlu diteruskan bukan sahaja di sektor permakanan tetapi juga di sektor yang lain.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain, mengenai dengan kelangsungan sosioekonomi rakyat dan pengusaha-pengusaha kecil, kaola dan rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang lain juga bersyukur dan ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih dan syabas kepada tampuk pimpinan dan Pejabat Daerah di atas tindakan yang baru-baru ini memeduli rakyat yang berniaga di salah satu kawasan di negara ini dengan memeduli kelangsungan perniagaan mereka.

Alhamdulillah, kaola juga merista jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian yang membuat dan melakukan tindakan yang sama sebelum ini dengan doa semoga semua mereka yang terlibat akan dimurahkan rezeki yang meluas oleh Allah Subhanahu Wataala.

Tindakan sedemikian adalah satu tindakan yang baginda harapkan dan yang kita ini mahukan dari segenap lapisan warga perkhidmatan awam. Koala dan rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang lain, berharap salah satu tindakan ini dijadikan ikutan yang berterusan bagi jabatan dan kementerian yang lain di negara ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam Dewan yang mulia ini, seperti pada musim permesyuaratan sebelum ini, fokus kaula dan juga Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain sentiasa berkisar mengenai dengan strategi dan hala tuju kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan dalam usaha berkayuh bersama dengan pemikiran yang bersepadu dan berkesan demi untuk kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara dan kelangsungan kehidupan sosioekonomi rakyat.

Dalam mengadaptasikan perihal semasa dalam Permesyuaratan Musim bagi tahun 2026 ini, kaula dan rakan-rakan yang lain akan tetap menyentuh dan mengaitkan dengan perkara di atas di samping fokus penekanan perihal pentingnya penggunaan peruntukan yang berhemah tapi membuahkan hasil yang munasabah, yang ada kemajuan - apa saja yang dihasratkan dalam mencapai matlamat dan Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua bijaksana. Sekian itulah saja yang dapat kaula sampaikan. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Saya persilakan Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin.

Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin

Terima kasih Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh (Selawat dibaca).

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa ta'ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua kita dapat berhimpun di Dewan yang mulia ini.

Pada kesempatan ini, kaola ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada kaola untuk menyatakan sokongan terhadap Usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, bagi menyembahkan ucapan menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah kurnia perkenan baginda berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara serta berkenan mengurniakan titah pada 22 Ramadhan 1447 Hijrah bersamaan 12 Mac 2026, hari Khamis kemarin.

Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dengan penuh takzim, kaola menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan Baginda bercemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara serta atas titah Baginda yang penuh bijaksana dan memberikan hala tuju yang jelas kepada negara dalam menghadapi cabaran semasa.

Dalam menanai hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar Majlis Mesyuarat Negara terus memainkan peranan sebagai wadah yang bermakna dalam membahaskan isu-isu negara dan rakyat, kaola berpandangan bahawa perbahasan di Majlis ini bukan sahaja berfungsi sebagai saluran pandangan, tetapi juga sebagai ruang untuk memperkukuhkan kefahaman bersama mengenai isu-isu negara serta menyumbang kepada usaha menambah baik perlaksanaan dasar-dasar kerajaan.

Titah baginda mengenai perkembangan geopolitik antarabangsa dan kesannya kepada ekonomi global juga mengingatkan bahawa kestabilan ekonomi negara tidak boleh hanya bergantung kepada faktor luaran.

Antara perkara yang boleh terus diperkukuh ialah kegiatan ekonomi yang berasaskan kekuatan domestik, termasuk pengeluaran makanan, pertanian komersial serta perkembangan perusahaan tempatan. Apabila asas ekonomi dalam negara menjadi lebih kukuh, negara akan lebih bersedia menghadapi perubahan dan ketidaktentuan yang berlaku di peringkat global.

Dalam hubungan ini juga, perkembangan perusahaan tempatan mempunyai peranan yang amat penting. Usahawan dan syarikat tempatan boleh menjadi antara pemacu utama kepada kegiatan ekonomi negara sekiranya mereka terus diberi ruang untuk berkembang serta mengambil bahagian dalam peluang-peluang ekonomi yang wujud. Apabila lebih banyak kegiatan ekonomi digerakkan oleh kekuatan tempatan, manfaat pembangunan ekonomi akan dapat dirasai dengan lebih meluas oleh masyarakat.

Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, titah baginda mengenai keperluan untuk melaksanakan pembangunan negara secara lebih berkesan juga membawa makna bahawa keberhasilan sesuatu dasar tidak hanya bergantung kepada perancangan yang baik, tetapi juga kepada keupayaan untuk memastikan perlaksanaan berjalan dengan tersusun dan memberi hasil yang jelas.

Dalam hal ini, usaha memperkukuh penyelarasan antara agensi serta memastikan agar setiap inisiatif dilaksanakan dengan fokus yang jelas kepada hasil yang ingin dicapai boleh membantu memastikan bahawa manfaat pembangunan benar-benar sampai kepada rakyat.

Berhubung dengan keselamatan jalan raya, kaola dengan penuh kesedaran mengambil maklum peristiwa musibah yang berlaku baru-baru ini yang mengingatkan bahawa keselamatan jalan raya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan negara dalam jangka panjang.

Infrastruktur jalan raya yang dirancang secara berpandangan jauh bukan sahaja memudahkan pergerakan kenderaan, tetapi juga memastikan ruang jalan raya dapat digunakan dengan selamat oleh semua pengguna termasuk penunggang basikal dan pejalan kaki. Dengan mengambil kira keperluan ini, sejak peringkat perancangan sistem jalan raya dapat berkembang secara lebih teratur, selamat dan sesuai dengan perubahan corak mobiliti masyarakat pada masa hadapan.

Sebagai Ahli Mesyuarat Negara, kaola mengambil maklum sepenuhnya harapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar Dewan ini terus berperanan sebagai medan untuk menilai dengan teliti isu-isu yang memberi kesan kepada negara dan rakyat. Persidangan ini memberi peluang kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat untuk menyumbangkan pandangan yang berpandukan kepada pengalaman, pemerhatian serta kefahaman terhadap keadaan semasa agar setiap perbahasan yang berlangsung dapat memberi nilai tambah kepada usaha kerajaan dalam memastikan kemajuan negara terus terpelihara dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Sesungguhnya kaola akan terus berusaha memainkan peranan dengan sebaik-baiknya dalam menyokong segala usaha kerajaan bagi memastikan pembangunan negara berjalan secara seimbang, mampan, inklusif dan berintegriti selaras dengan aspirasi baginda agar Negara Brunei Darussalam terus aman, stabil makmur dan selamat untuk semua rakyat serta mencapai Wawasan Brunei 2035.

Untuk akhirnya, sekali lagi kaola ingin menyembahkan ucapan menjunjung kasih yang setinggi-tingginya kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia titah baginda.

Kaula berdoa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat Diraja dan seluruh rakyat Negara Brunei Darussalam sentiasa dalam lindungan Allah, dikurniakan kesihatan, keberkatan dan redha Allah. Amin ya rabbal alamin. Sekian, wabilillahi taufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Dan sekarang saya persilakan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.

Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, abiskaola dengan penuh takzim merafakkan sembah menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda sempena pembukaan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara pada Musim Permesyuaratan Pertama, Tahun 2026.

Sesungguhnya Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia mencerminkan keprihatinan baginda yang berterusan terhadap kesejahteraan rakyat serta kemajuan dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.

Abiskaola menjunjung tinggi penekanan baginda mengenai kepentingan memperkukuhkan kerjasama antara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan agensi-agensi kerajaan melalui sesi muzakarah dan perbincangan yang berterusan.

Pendekatan ini amat penting bagi memastikan wujudnya sikap keterbukaan, saling memahami serta kesediaan kedua-dua pihak untuk bersama-sama mengemaskinikan dasar-dasar yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara.

Melalui pendekatan ini juga, ia menjadi landasan kepada kesefahaman yang lebih kukuh dalam menangani isu-isu strategik negara, khususnya perkara-perkara yang menjadi keutamaan rakyat.

Dalam masa yang sama, abiskaola juga menjunjung perhatian baginda terhadap perkembangan situasi global yang semakin tidak menentu, termasuk konflik dan peperangan yang boleh memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dunia. Ketidaktentuan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan harga komoditi tenaga seperti minyak dan gas yang menjadi sumber utama ekonomi negara.

Sehubungan itu, usaha memperkukuhkan sumber ekonomi alternatif negara sewajarnya dilihat sebagai satu keperluan yang mendesak dan bukan lagi sekadar satu pilihan. Kepelbagaian ekonomi perlu digerakkan dengan lebih agresif melalui pembangunan sektor-sektor berpotensi seperti pertanian, pembuatan, industri kreatif serta industri hiliran berasaskan sumber negara.

Bagi menjayakan usaha ini, pembangunan sumber tenaga manusia tempatan hendaklah diberikan keutamaan. Tenaga kerja tempatan perlu diperkasakan dengan kemahiran, kepakaran dan pengetahuan yang relevan supaya mereka dapat memainkan peranan yang lebih signifikan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam masa yang sama, dasar-dasar ekonomi negara hendaklah sentiasa dikaji semula dan dikemaskinikan agar selari dengan perkembangan semasa. Pendekatan ini penting bagi merangsang aktiviti perniagaan serta menggalakkan pelaburan yang berterusan.

Persekitaran ekonomi yang kondusif akan terus mengekalkan keyakinan para pelabur untuk melihat Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang selamat dan berpotensi untuk pelaburan, di samping mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan peniaga tempatan agar terus berdaya maju.

Selain itu, patik juga menjunjung titah baginda mengenai kepentingan mengamalkan budaya perbelanjaan negara secara berhemah. Inisiatif pembangunan yang mempunyai impak tinggi hendaklah menjadi keutamaan supaya setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat yang berkesan kepada rakyat.

Dalam hubungan ini, usaha meningkatkan produktiviti industri tempatan melalui penggunaan teknologi moden dalam penghasilan produk tempatan amatlah dialu-alukan. Produk yang dihasilkan oleh anak-anak tempatan perlu diperkasakan agar mampu bersaing dengan produk dari negara luar. Bagi merealisasikan matlamat ini, kerjasama yang erat antara pihak kerajaan dan sektor swasta hendaklah terus diperkukuhkan serta dilaksanakan secara telus dan berintegriti.

Dalam pada itu, budaya rasuah dan amalan pilih kasih hendaklah dibanteras sehingga ke akar umbi agar sistem pentadbiran negara sentiasa berlandaskan prinsip integriti, ketelusan dan keadilan.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, menyentuh mengenai kesejahteraan rakyat, saya juga ingin menarik perhatian mengenai isu infrastruktur jalan raya yang sering menjadi kebimbangan masyarakat. Keadaan jalan yang rosak, berlopak dan kurang diselenggarakan bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya, bahkan turut meningkatkan risiko kemalangan. Perkara ini sewajarnya terus diberikan perhatian serius oleh pihak-pihak yang berkepentingan agar kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

Selain itu, isu gangguan bekalan elektrik dan air juga merupakan antara perkara yang sering disuarakan oleh rakyat. Keadaan ini lebih dirasai apabila gangguan berlaku pada waktu malam atau pada hari-hari cuti, iaitu ketika keluarga berkumpul dan berehat bersama. Adalah diharapkan agar isu-isu ini dapat ditangani dengan lebih berkesan demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Semua usaha ini adalah selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, iaitu ke arah membentuk sebuah negara yang maju, berpendidikan tinggi serta mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi.

Akhirnya, ahli-ahli dan rakan-rakan dengan penuh takzim menyokong Usul menjunjung kasih ini sebagai tanda penghargaan dan sokongan padu terhadap kepimpinan serta wawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Sebagai rakyat yang setia, kita semua hendaklah terus berusaha meningkatkan keupayaan diri, memperkukuhkan komitmen serta memainkan peranan masing-masing dalam menyumbang kepada kemajuan negara.

Sesungguhnya kejayaan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui perancangan yang baik atau blueprint yang hebat, tetapi yang lebih penting ialah apabila segala perancangan tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya dan manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh seluruh rakyat.

Sekian Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita telah pun membahaskan Usul bagi Majlis Mesyuarat Negara menyembahkan sepenuh-penuhnya menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara pada hari Khamis 22 Ramadan 1447 bersamaan dengan 12 Mac 2026. Saya berpandangan ada baiknya Usul ini sekarang kita undi.

Ahli-Ahli Yang Berhormat bersetuju supaya kita meluluskan Usul ini, sila angkat tangan.

(Ahli-Ahli Berhormat yang bersetuju mengangkat tangan setelah undian)

Terima kasih. Nampaknya semua Ahli-Ahli Yang Berhormat bersetuju, maka Usul ini diluluskan.

(Tukul diketuk)

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita telah pun meluluskan Usul menjunjung kasih.

Saya kira cukuplah kita berunding, bersidang pada pagi ini, saya cadangkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan dan insya Allah kita akan bersidang semula pada esok hari iaitu hari Sabtu, 14 Mac 2026 sebagaimana lazim mulai daripada 9.30 pagi.

Sekian Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.